Tip-tip untuk semua
Setelah kita hurai Bismillah, bahas dan nilai, barulah terasa munasabah selepas itu kita puji Tuhan. Yakni selepas bismillah, alhamdulillah...
Setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan, setelah kita sudah terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan, setelah kita terasa kita ini hambaNya yang patut merendah diri pada Nya, sebab pada Tuhan ada segalanya, yang mana pada Dia lah keselamatan kita, setelah kita rasa patut kita cintai dan takut denganNya.
Maka barulah rasa sedap hendak sebut alhamdulillah itu. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah. Kalau tidak, kita sebut alhamdulillah, kita tidak rasa apa-apa.
Tamsilnya ibarat kita kenal seseorang A yang dia itu orang yang baik dan membantu, tentu kita akan cerita dengan orang lain iaitu B yang tidak tahu sangat hal A itu. Kita puji A itu baik sebab kita yang memujinya terasa dan tahu A itu suka menolong dan suka memberi. B yang kita ceritakan padanya tentang kebaikan A tadi, mungkin percaya atas dasar kita puji. B mungkin tidak terasa apa-apa sebab itu bukan pengalaman dia. Sekadar dia baik sangka sahaja terhadap A.
Begitulah selama ini kita puji Tuhan tidak terasa apa-apa. Kadang-kadang alhamdulillah jadi wirid pula Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, baik sangka, merasakan ia perkataan baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.
Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Berbeza sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.
Sama ada yang mata boleh melihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Maka dalam keadaan itu, bila dia puji Tuhan, dia sangat terasa, sangat terhibur, sangat bahagia, sangat terbangun perasaannya. Orang yang begitu bila puji Tuhan, terutama bila dijadikan zikir, sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia sebab ada satu rasa yang tidak boleh hendak digambarkan.
Sebab dia puji Zat yang Maha berkuasa, yang sudah memperlihatkan pada dirinya, rahmat dan nikmat Tuhan itu. Seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat Tuhan itu macam salji turun. Maka indahlah bila dia sebut alhamdulillah.
Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak terasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, dia baca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan syahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa. Maka patut sekali Tuhan letakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahi rahmanir rahim. Kalau kita faham Bismillah itu seperti yang disyarahkan, maka kita pun cakap Alhamdulillah... ia akan jadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti. Kalau tidak, kita tidak akan rasa apa-apa. Maha Besar Tuhan.
Mari pula kita terokai isi atau intipati alhamdulillah. sama ada yang bersifat mata, akliah atau rohaniah. 'Segala puji bagi Tuhan'. Apakah 'puji' itu?
Erti Puji: Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (kalau orang) atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.
Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, kalau kita kata Alhamdulillah, maka bagaimanakan segala puji bagi Tuhan itu berdasarkan takrif tadi?
Bagaimanakan untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu? baiknya Tuhan, hebatnya Tuhan, maha kuasanya Tuhan, pemurahnya Tuhan dan maha agungnya Tuhan. Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu. Kalau Tuhan izinkan, katalah kita boleh hidup sejuta tahun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis.
Mengapa? Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas.
Kalau Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak cukup kerana ia tidak ada kesudahan. Maha besar Nya Tuhan.
Patutlah selepas Bismillah, ialah alhamdulillah sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh buat.Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan Nya, tidak akan ada stop.
Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian Alhamdulillah.
Memuji Tuhan ini ada 3 peringkat :
1.Memuji dengan yang ada hubungan dengan Zatnya
2.Memuji dengan yang ada hubungan dengan sifat-sifat Nya
3.Memuji atas rahmat dan nikmat Nya
Jadi memuji Tuhan itu adakalanya berhubung dengan Zat Nya, adakala berhubung dengan sifat-sifat Nya dan adakala atas rahmat dan nikmat Nya. rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan, yang ada yang bersifat mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.
1.Contoh kita memuji Tuhan atas di atas Zat Nya:
"Wahai Tuhan, Engkau yang maha kekal. Wahai Tuhan, Engkau maha esa. Wahai Tuhan, Engkau tidak perlukan ruang. Wahai Tuhan, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baru. Ya Tuhan maha suci Engkau dari mengambil tempat, berada dalam masa dunia dan akhirat".
2..Contoh pujian kita ke atas Tuhan berkait dengan sifat-sifat Nya: "Engkau Maha pengasih, Maha penyayang. Engkau maha pengampun. Engkau maha lembut. Engkau maha qahhar (keras) dan jabbar. Engkau maha bersykur, Engkau maha lemah lembut. Engkau maha agung, Engkau maha tinggi, Engkau maha pemarah (Tuhan memang layak)" Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.
3.Memuji Tuhan di atas pemurah dan penyayang Nya:
"Pemurahnya Engkau Tuhan, Engkau beri aku makan, beri aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat akli). Terima kasih Tuhan kerana kenalkan Diri Mu padaku. Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan aku (itu nikmat dan rahmat). Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak, pakaian, kesihatan, beri pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."
Jadi memuji Tuhan itu, yang semuanya layak untuk Tuhan, adakalanya pada Zat Nya, adakala pada sifat-sifatNya, adakala pada nikmat dan rahmat Nya.
Pembahagian pujian itu pula ada 5 iaitu:
1.Puji Tuhan pada diri Nya.
Tuhan memuji diri. Ini banyak terdapat dalam Al Quran dan Hadis.
Contohnya:
"Aku Tuhan, sembahlah Aku."
"Tidak ada Tuhan selain Aku."
"Aku adalah qahhar."
"Aku jabbar."
"Aku pengasih dan penyayang."
Dia memuji diri Nya. Ada Hadis mengatakan, "Aku kasih pada hamba Ku, lebih dari seorang ibu mengasihi anaknya."
Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri Nya?
Sebab Tuhan memang layak. Lagi pun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau dia hendak puji diri Nya, siapa yang hendak hukum Dia. Kalau kita hendak puji diri sendiri, nanti ada yang lebih atas yang akan tegur sebab ada orang yang lebih layak. Kalau Tuhan puji diri Nya, Dia pun memang tiada tandingan.Sebab itu ada amalan-amalan khusus kerana kita tidak mampu untuk puji Tuhan maka kita berkata, "Aku puji Engkau Tuhan sebanyak mana Engkau puji diri Engkau sendiri. Anggaplah ini juga pujianku untuk Mu". Ini termasuk rahmat Tuhan. Ini cara short cut sebab kita pun tak larat hendak puji Tuhan. Tuhan boleh terima, kan ini tidak boleh masuk akal. Secara logik mana boleh kongsi tetapi itulah yang disebut rahmat Tuhan itu luas. Dengan Tuhan tidak payahlah ikut prosedur yang logik-logik macam kepercayaan sesetengah golongan.
2. Pujian Tuhan pada hamba Nya:
Contohnya:
"Aku suka pada orang yang bertaubat."
"Aku suka orang yang bertaqwa"
"Aku suka orang yang pemurah"
"Aku suka orang yang buat dosa dan kemudian bertaubat atas dosanya"
"Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosanya daripada tasbih para aulia"
3.Pujian seorang hamba pada Tuhannya.
Itu mudah kita faham. Selemah-lemah kita, kita mesti ada puji Tuhan.
4.Puji hamba kepada hamba.
Contohnya: A kata B ini pandai dan sabar. Tetapi elok memuji dibelakangnya, takut dia tak tahan hendak bawa. Sebab puji di depan itu macam letak kayu balak di bahu. Ada ke orang yang boleh pikul kayu balak 10 ton atas bahunya?
Pujian dibolehkan kerana hakikatnya dia puji Tuhan. (Barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia, hakikatnya dia tidak bersyukur pada Tuhan). Kalau kita puji manusia, hakikatnya kita puji Tuhan. Sebab orang itu dapat nikmat dari Tuhan. Nikmat itu bukan hakiki
5.Pujian seseorang atas dirinya sendiri.
Itu tidak boleh kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Tetapi itu kena berhati-hati.
Contohnya: Nabi-nabi terpaksa puji dirinya. Macam Rasulullah SAW kata, ,"Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan." Kalau Rasulullah tidak sebut, umat akan terkeliru. Jangan ada orang yang anggap, ada orang yang lebih takut pada Tuhan dari Rasul. Dia ceritakan nikmat Tuhan pada dirinya bukan kerana megah tetapi kena berhati-hati. Takut berbunga di dalam hati.
Rasulullah mengatakan,"Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Sebab menyebut huruf dhad itu susah. Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan seperti oleh Rasul setelah diilhamkan.
Selepas sebut Bismillah, baru seronok hendak katakan alhamdulillah, iaitu segala puji hanya layak bagi Tuhan. Yang lain tidak layak dipuji. Itulah huraian dan tafsirannya bagi yang dikatakan "Segala puji hanya layak bagi Tuhan” itu.
Tip-tip untuk semua
Friday, June 4, 2010
6. Kuliah Al Fatihah: Ayat Ke Dua - Alhamdulillah
5. Kuliah Al-Fatihah: Ayat Pertama - Bismillahirrahmaanirrahiim 2/3
Tip-tip untuk semua
SOALAN:
Nampaknya untuk membuatkan hati manusia sampai dapat dimanfaatkan, itu bukanlah satu kerja yang mudah.
Dalam pendidikan sekular, orang mengasah akal untuk sampai dapat dimanfaatkan, itu juga bukan mudah.
Ternyata, hati itu adalah simpulan yang kalau kita tidak pandai membuka simpulan itu menyebabkan hati itu buta. Butanya hati itu menyebabkan manusia tidak nampak sebesar-besar perkara.
Apakah program untuk membuka semula hati yang tertutup?
JAWAPAN:
Dalam ajaran Islam, Rasulullah SAW sudah ingatkan,"awaludin ma'rifatullah". Mula-mula sekali dalam Islam itu ialah mengenal Allah iaitu dari kecil atau dari tadika -taman didikan kanak-kanak [kindergarten]
Itu asas untuk menggerakkan hati dan mencelikkan hati. Kalau hendak celikkan hati, mesti diketuk dengan Tuhan. Sila ambil perhatian.
Kalau diketuk dengan harta, maka nafsu yang akan celik.
Asas mencelikkan hati ialah kenalkan Tuhan dari tadika. Kalau dari tadika sudah selalu hatinya terhubung dengan Tuhan, bila dewasa, ia sudah mudah. Sudah ada asas.
Bila tidak ada asas, setelah berusia 30 tahun baru sedar maka bukan senang. Tapaknya sudah lama terlajak. Hati sudah terbiar. Sekarang baru hendak kenal Tuhan. Sistem inilah yang tidak berlaku.
Orang sekarang yang diajar adalah atas dasar ilmu, ajar sepintas lalu, Tuhan tidak dikenalkan, maka roh tidak tercanai.Hendak beragama anak-anak lebih banyak diajar tentang syariat sedangkan Tuhan belum dikenalkan.
Kita ada bermacam-macam programmer untuk menjayakan pelbagai projek, tetapi sayang tidak ada programmer hati sehingga hati tidak diprogramkan untuk hidup. Kita harap ia hidup sendiri sedangkan hatilah yang paling susah untuk dihidupkan. Macam hendak dapat sagu, kena tebang rumbia, kena pecahkan ruyung. Ini ruyung tidak dipecahkan tetapi kita harap dapatkan sagunya.
Kesimpulan: Kerana Bismillah adalah sebahagian dari Al Fatihah, hakikatnya dari Bismillah itu Allah hendak menghadiahkan kita sebesar-besar hadiah. Kalau kita faham ini, kita tidak akan pernah terputus hati dengan Allah. Kunci keselamatan dunia dan akhirat iaitu Al Fatihah yang di dalamnya ada Bismillah, inilah kemuncak kebesaran yang diperolehi dari Bismillah itu.
Didalam Bismillah itu ada Allah yang Maha Baik, yang sangat mencintai kita dan dari sana kita akan dapat mengenal diri bahawa kita rupanya hamba yang amat memerlukan Tuhan setiap detik. Bila itu berlaku, manusia mendapat kebahagiaan yang sebenarnya, rahmat dan berkat.
Yang sebenarnya Allah hendak beri istana yang besar iaitu Al Fatihah yang pintunya adalah Bismillah.
Ibu bapa mengalami ketandusan kasih sayang dari anak-anak walhal dia sangat melimpahkan kasih sayangnya kepada mereka, kenapa? Kerana mereka itu tidak menunaikan satu daripada tanggungjawab iaitu memahamkan bahawa Tuhan itu adalah sebesar-besar kasih sayang.
Ibu bapa berikan anak-anak nasi setiap hari, mengapa anak-anak tidak diberi iman pun setiap hari?
"Orang yang mendidik anaknya dengan Tuhan, roh akan hidup tetapi orang yang mendidik anak dengan wang, rohnya akan mati."
Satu pengkhianatan besar oleh ibu bapa bilamana mendidik anaknya dengan wang. Sedangkan mendidik dengan Tuhan itu adalah ketepatan untuk menghidupkan roh dan kemanusiaan anak itu. Secara tak sedar kita sebagai ibu bapalah yang membunuh kemanusiaan anak kita sendiri.
Tip-tip untuk semua
4. Kuliah Al-Fatihah: Ayat Pertama – Bismillahirrahmaanirrahim 2/2
Tip-tip untuk semua
PETIKAN : "Orang yang mendidik anaknya dengan Tuhan, roh anak akan hidup, tetapi orang yang mendidik anaknya dengan duit, rohnya akan mati"
Tuhan suruh setiap kebajikan itu dimulakan dengan Bismillah. Ertinya dalam satu hari, berapa ratus kali kita baca Bismillah. Hendak makan, minum, pakai pakaian, hendak berjalan, kita baca Bismillah. Apa maksud lainnya?
Supaya kita ada rasa kehambaan. Rupanya kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan. Rasa kehambaan itu sifat tawadhuk yang wajib. Tuhan suka sangat hamba itu merasa hamba. Jadi bagi yang prihatin, dia menjadi tawadhuk, merasa perlu dengan Tuhan, dia merasa kalau tidak kerana Tuhan, dia tidak boleh hidup. Lahirlah rasa berTuhan. Akhirnya hati kita sentiasa berhubung dengan Tuhan. Rupanya Allah mennyuruh kita membaca Bismillah, kebanyakan kita pada hari ini tidak sampai kematlamatnya. Paling baik, baca Bismillah itu sekadar dapat berkat kerana ikut sunnah Rasullah SAW.
4.Hikmah lain yang tersirat, kalau kita tidak baca Bismillah dalam berpakaian, makan, minum ertinya apa yang kita buat tidak berkat. Kalau tidak berkat, Tuhan tidak bersama kita. Bila Tuhan tidak bersama, itu yang jadi masalah. Bila makan minum, penyakit pun banyak. Bila kita berpakaian, hati jadi lalai, rasa diri cantik dan hebat. Lalai itu adalah salah satu bala dari Tuhan.
Buat apa pun kalau tidak baca Bismillah, walaupun berjaya Tuhan beri cara istidraj. Maju di satu sudut tetapi negatif di sudut lain. Berniaga maju tetapi orang benci, anak isteri tidak harmoni. Oleh kerana Tuhan marah, diberi secara istidraj, untung disatu sudut, di lain sudut Tuhan tarik kasih sayang, makan banyak datang penyakit dan lain-lain lagi.
5. Kalau kita kaji dalam Bismillahi rahmanir rahim, terutama bila baca Al Fatihah sampai habis, kemudian sebelum baca ayat lain, baca Bismillah, selain hendak pertahankan berkat, kedudukannya sunat sahaja. Tetapi bagi Al Fatihah diwajibkan kerana ia satu ayat daripada surah itu. Kalau solat tidak baca Bismillah, batal Fatihah, batal solat.
Apa maksudnya?
Sebenarnya kita baca BIsmillah ini kasih sayang Tuhan. Bagi kita, Al Quran yang isinya ada di dalam Al Fatihah itu, kalau kita ada ilmunya, boleh fahami, hayati dan applykannya dalam kehidupan kita, itu rahmat dan nikmat Tuhan yang paling besar, yang mana kita akan selamat di dunia dan akhirat. Begitu kasih sayang Tuhan. Patutlah Tuhan suruh baca Bismillah di awal Al Fatihah sebab Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang. Patutlah wajib baca Bismillah pada Al Fatihah, tidak seperti surah-surah lain.
Inilah yang sebenarnya kemuncak hikmah Rahman dan Rahim Tuhan.Apa yang saya ceritakan di atas termasuk dalam isi Al Fatihah. Saya dahulukan supaya kita nampak, sebab nikmat yang lahir, mudah untuk kita faham dan cepat terasa. Nikmat yang bersifat rohaniah perlu dikaji dan dibahaskan baru terasa. Begitu juga rahmat dan nikmat Tuhan yang bersifat akliah lebih mudah kita rasa daripada yang bersifat ruhiyyah atau maknawiyah.
Sebab nikmat Tuhan ada 3 iaitu yang ;
1. bersifat mata,
2. bersifat akal dan
3. bersifat roh.
Mata cepat nampak nikmat tetapi itu pun payah untuk terasa.
Yang bersifat akliah, mungkin lambat sedikit untuk terasa manakala yang bersifat ruhiyyah itu lagilah lambat. Perlu dikaji, dicungkil dan diulaskan baru terasa.
Dulu saya belajar Al Fatihah 5 minit sahaja. Kemudian tukar surah lain. Tidak terasa besarnya Al Quran. Hanya ingat fadhilatnya sahaja. Ruhaniahnya tidak terasa.
Tip-tip untuk semua
3. Kuliah: Al-Fatihah: Ayat Pertama – Bismillahirrahmaanirrahiim ½
Tip-tip untuk semua
PETIKAN : Sebab itu kalau kita baca sejarah, orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah seperti salji yang turun. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.Bottom of Form
-----------------------------------------
Bismillahirrahmanirrahim.
Anak-anak yang dikasihi sekelian...
Kita sudah memperkatakan muqaddimah Ummul Kitab. Belum memperkatakan isinya. Baru menyentuh yang luar-luar. Kalau ibarat istana, kita belum tahu apa yang di dalamnya dan secantik mana ia. Kita baru lihat dari luar. Lihat dinding luar@pagar istana itu pun sudah terasa keindahannya. Kalau kita masuk istana, tentu lebih puluhan kali keindahannya. Marilah kita lihat lagi ke dalam ummul kitab yang merupakan seluruh intipati isi Al Quran dan sunnah, demi untuk keselamatan manusia dunia dan akhirat.
Ummul Kitab atau pun Al Fatihah itu, bagi siapa yang mengamalkannya akan mendapat kemenangan. Ia bukan sahaja surah pembuka Al Quran tetapi pengertian sebenarnya ialah surah kemenangan. Dengan maksud, kalau diamalkan, ia adalah penentu, pembawa kemenangan. Ia bukan surah pertama diturunkan tetapi isinya kalau difahami, dihayati, diamalkan dalam kehidupan dan perjuangan, maka ia boleh membawa kemenangan.
Al Fatihah dimulai dengan Bismillah...iaitu dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Di sini Tuhan sebut namaNya, yang mana Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini adalah sifat Tuhan yang termasuk Asmaul Husna yang 99. Ertinya sifat-sifat Tuhan yang disebut dalam Asmaul Husna, yang ada dalam Quran dan Hadis, itu semua merupakan satu pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah. Daripada keseluruhan itu, yang merupakan 1 pakej, yang Tuhan tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga. Ertinya kebesaran Tuhan dan keagungan Tuhan tidak ada kesudahan tetapi Tuhan hanya sebutkan 99.Anehnya kerana daripada 99 sifat Tuhan itu, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan Rahim Nya.
Sebab itu Hadis ada menyebut, “Setiap perkara-perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillah maka terputuslah berkatnya..'
Tuhan tidak pilih sifat-sifatnya yang lain. Contoh: Bismillahi Jabbar, Bismillahi Sobur atau Bismillahi Syakur. Mengapa Rahman dan Rahim yang dipilih? Bismi itu bukan sifat. Rahman dan Rahim itu sifat Allah. Allah itu dikatakan Ismu jalalah, nama yang Maha Agung. Nama bagi satu Zat yang dikatakan Dia lah Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi. Yang dipopularkan, dimasyhurkan dan dipopularkan ialah dua sifat Nya iaitu Rahman dan Rahim .
Mengapa Tuhan tonjolkan 2 sifat ini dan tidak yang lain?
Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:
1.Kalau kita prihatin, memang 2 sifat inilah yang tertonjol. Katalah As Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahhar boleh dilihat sekali sekala seperti gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh (!). Sekali sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah Nya. Tetapi Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik tertonjol tetapi aneh kita tidak prihatin!.
Sebab itu kalau kita baca sejarah, orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah macam salji yang turun.
Yang terkesan ialah sifatnya yang sekali sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran, sebulan orang perbualkan padahal beberapa tahun sekali ia berlaku. Ajaib sekali.Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku. Patutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan itu sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik ia berlaku. Buktinya, ia berlaku dari kita bangun tidur sejak pagi. Sedar-sedar sahaja kita boleh bernafas.“Hidup lagi aku... Sayangnya Tuhan dengan aku. Dengan nafas itulah aku boleh hidup.” Kita hidup itu adalah dari kurnia Rahman dan Rahim Tuhan.
Bila kita pergi bilik air, itu Rahman dan Rahim Tuhan. “Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku.”
Masuk bilik air, ada air lagi untuk mandi. Kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu , bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit itu dahsyat. Kena air, ¾ sakit hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Mandi, bernafas dalam bilik air. Lepas itu kita boleh sembahyang dengan Rahman dan Rahim Tuhan juga. Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik.
Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan.Kalaulah Tuhan jerluskan, bukankah dahsyat. Boleh berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah, “Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan.”
Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti di lambak-lambak dengan nikmat Tuhan,Kalau dia bukan seorang pemimpin manusia, perasaan yang dirasa untuk dirinya sahaja maka dia akan mabuk [sakr] dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang dipakai.Dia seperti orang gila kerana tidak tahan dengan Rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin dia sudah mabuk. Kalau sudah mabuk, sudah tidak boleh memimpin orang ramai.
Tetapi biasanya pemimpin-pemimpin itu Tuhan kawal perasaannya supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang mabuk.Sebab itu kalau kita lihat ahli sufi yang bukan memimpin, ramai yang aneh-aneh. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab dia perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.
Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjat dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia jika dia bukan pemimpin manusia. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, mereka hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Melihat muka mereka pun terasa terhubung hati kita dengan Tuhan. Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia jadi semacam mabuk bersendirian.
Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya prihatin, memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang di padang pasir, didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, begitu sekali pun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahi rahmanir rahim. Namun kita buat tidak tahu dan kita tidak rasa…
Padahal saya sebut tadi, dari bangun tidur, di bilik air, depan rumah, belum jauh pun kita melangkah, begitu banyak nikmat Tuhan. Jadi munasabahlah Tuhan suruh menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang tertonjol. Tetapi sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati sudah terlalu lalai. Kalau orang bukan Islam, kita tidak hairan. Ini orang yang masih solat, puasa dan naik haji pun tidak rasa. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja.
Ini samalah dengan contohnya: Mungkin kita ada kawan, orang kaya yang pemurah. Dia ajak kita bersiar-siar sekali sekala. Dia memberi kita pakaian, memberi kita hadiah untuk dibawa balik kepada anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita round2 dengan keretanya. Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita mula bercakap, “Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.”
Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, kita tidak pernah rasa ibu ayah sayangkan kita. Malah berfikir pula,”Sayang kah ibu aku ni?Jangan-jangan benci.”
Kita boleh terikat hati dengan orang luar padahal sekali sekala sahaja orang buat baik pada kita. Itu pun dia kata dia sudah sayang dengan orang itu. Padahal ibu ayahnya hari-hari berbuat baik padanya, menanggung makan dan minum, tidak terasa olehnya ibu dan ayahnya sayang.
Ini samalah dengan apa yang orang buat pada Tuhan. Tuhan Pemurah dengan mereka, setiap detik dan setiap saat tetapi tidak pernah pula disebut. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.
Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita bukan yang belanja sebulan sekali. Tetapi yang tidak logik itulah berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.
Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita berkata, “Apalah Tuhan ni!!”. Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji tetapi tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan hendak hidupkan hati susah sekali padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari. Jadi Tuhan suruh baca Bismillah kerana Tuhan hendak isytiharkan 2 sifat ini yang menonjol. Sifat yang lain hanya berlaku sekali sekala untuk kesedaran, untuk insafkan manusia.
2. Hikmah kedua: Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, rohaniah, jangan lupa baca Bismillah. Supaya lahir cinta terhadap Tuhan.
Apa rahsianya?
Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita baca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan. Faedahnya bukan untuk Tuhan.
Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan cinta sesama manusia. Untungnya sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan.
Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan. Kalau yang diluar pun kita tidak sedar, yang mata boleh lihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat. Kerana manusia ini, walaupun dia sembahyang tetapi hatinya sudah buta. Kalau Tuhan tidak ingatkan dengan Bismillah, teruslah buta hati kita
Walau sudah diingat-ingatkan pun tidak sedar. Macam anak kita yang setiap hari duduk di rumah, kita beri pakaian, pergi sekolah beri duit belanja, beri buku, tetapi tidak pernah dia rasa ibu dia sayang. Orang yang sekali belanja dia, dia kata,”Macammana saya tidak sayang dia sebab dia belanja.” Padahal orang itu belanja sebulan sekali. Sedangkan ibu dia setiap hari belanja, dia tidak sayang, manalah hati tidak menangis. Itu adalah kerana kita juga iaitu ibu dan ayah tidak pun jatuh hati dengan Tuhan maka Tuhan balakan...maka anak kita pun tidak dapat rasa kasih sayang kita. Itu antara anak , ibu, ayah dan orang luar. Yang kita pula, antara manusia dengan Tuhan. Pemberian manusia kita rasa tetapi pemberian Tuhan kita tidak rasa. Kita sama dengan anak kita.
Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak fikir macam mana hendak balas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat sebagai kesyukuran kepada Tuhan. Jadi patutlah Tuhan suruh kita baca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia cinta Tuhan.Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia.Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan.
Selama ini kita belajar Bismillah,”Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut sunnah ya.” Setakat itu sahaja. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya cinta kita sesama manusia.
Tip-tip untuk semua
2. Kuliah Al Fatihah : Muqaddimah II - [Tujuh Ayat]
Tip-tip untuk semua
Petikan : Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu.
Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita tolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyatlah yang akan dihadapinya
-----------------------------------------------------------------------
Bismillahirrahmanirrahim.
Anak-anak yang dikasihi sekelian,
Alhamdulillah, kita teruskan program kita. Moga-moga Allah beri kita ilmu untuk jadi panduan, bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah. Moga-moga hati kita ini jadi wadah yang boleh menerima ilmu-ilmu.
Soalan: Benarkah Bismillah sebagai ayat pertama Fatihah itu ikhtilaf?
Jawapan saya, itu bukan ikhtilaf. Bismillah itu sangat besar maksudnya, tidak boleh dikatakan ikhtilaf. Kalau kita mengaji ilmu tafsir, tujuh ayat dalam Al Fatihah itu dirangkapkan 2-2. Seperti bentuk sajak. Hujungnya disamakan,mim dengan nun, akhirnya dipasang-pasangkan.
Tujuh ayat Fatihah itu jangan kita anggap sebagai kebetulan.Agar hidup ini dipandang berat dan supaya tidak disia-siakan, janganlah kita anggap semua itu kebetulan.
Tawaf, perjalanan antara Safa dan Marwah juga 7 kali.Semua hal-hal yang berhubungkait dengan manusia, Tuhan ciptakan dengan bilangan tujuh.
Maha Suci Tuhan yang mentakdirkan Al Quran yang mempunyai 6,666 ayat, diringkaskan kepada 7 ayat yang menjadi satu matan. Yang mana Allah menetapkan bahawa 7 ayat itu sama dengan 6,666 ayat Al Quran. Maha Hebat Allah. Mengapa Allah berbuat begitu adalah diluar kemampuan kita untuk memahaminya.
Apa istimewanya angka 7 itu?
Cuba kita fokus kepada 7 ciptaan lain yang mana ia bukan merupakan huruf atau ayat tetapi bersifat maddi atau maknawi...ada 7 anggota badan, 7 langit, 7 syurga, 7 neraka, 7 hari dan 7 nafsu.
Hari juga diciptakan 7, tidak 8 atau 9. Mengapa tujuh? Allah yang Maha Tahu rahsianya. Itu manusia tidak boleh menjawabnya. Allah juga memilih untuk membuat anggota badan itu tujuh. Semua ciptaan-ciptaan yang berkait rapat dengan pengendalian hidup manusia, Tuhan samakan dengan Al Fatihah, ummul Kitab ini.
Cuba kita lihat nafsu yang ada 7 peringkat. Manusia akan bermula dengan paling jahat kepada paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya.Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk study dan praktikan berkaitan nafsu, manusia akan mampu membawa dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan pernah menjadi seorang yang bernafsu amarrah, pernah mencapai tahap nafsu lauwamah, mulhamah, mutmainnah,radhiah dan paling tinggi akan sampai ke mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai ke nafsu kamilah yakni nafsu yang paling atas.
Manusia biasa boleh menjangkau sampai mardhiah kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.
Setakat kita ini jika mencapai tahap mulhamah pun sudah OK, kalau boleh pergi sampai ke mutmainnah, itulah yang terbaik untuk kita.
Bagaimana untuk kita mengendalikan nafsu kita supaya sampai jadi taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan dapat merasai bagaimana dia merangkak dari satu tahap ke satu tahap.
Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi sangat berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya. Tetapi untuk itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ayat Al Quran terlalu banyak namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita tumpukan kepada tujuh ayat sahaja.
Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita menguasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka dengan cara itulah sahaja kita boleh mengendalikan nafsu kita.
Yang sebenarnya kalau kita boleh menguasai 7 ayat itu,kita boleh sampai ke peringkat ke tujuh nafsu kita yang mana nafsu itu kita boleh tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh berbuat hingga sampai peringkat ke tujuh itu. Rasulullah SAW boleh tetapi setakat kita yang hari ini makna Fatihah pun belum boleh faham, rasanya tidak sempat untuk kita sampai ke peringkat itu. Jika dapat peringkat mulhamah pun sudah cukup.
Allah menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan 7 ayat dari surah Al Fatihah itu. Allah menetapkan, kekuatan 7 ayat Al Fatihah itu boleh mengendalikan 7 peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama.
Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta 7 ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan 7 peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah wujudkan nafsu itu 7 peringkat. Kita lihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumi kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam 7 ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan 7 peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan.
Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu.
Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita tolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyatlah yang akan dihadapinya.
Sayangnya universiti-universiti tidak menetapkan ini untuk dikuasai.Hari ini orang hanya belajar bagaimana untuk menguasai lombong bijih dan minyak. Mereka tidak fikir untuk menggali lombong Al Fatihah, satu kekuatan untuk mendapat syurga atau neraka. Manusia akan masuk neraka mengikut kadar dia melihat Al Fatihah itu. Seorang yang inginkan syurga Allah maka kuasailah Fatihah itu.
Menyentuh tentang hari yang 7 pula, rupanya Allah jadikan hari-hari itu tidak sama. Seorang boleh menguasai harinya dengan baik apabila dia menguasai kekuatan Fatihah.
Tip-tip untuk semua
Kuliah Al Fatihah : Muqaddimah I
Tip-tip untuk semua
PETIKAN:
Tetapi yang ini ahli Sains tidak dapat kesan. Yang ghaib tidak dapat dikesan. Mereka hanya mampu mengesan yang lahir sahaja seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, hubungan bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kedurhakaan manusia.
-------------------------------------------------
Bismillahirrahmaanirrahiim
Anak-anak yang saya kasihi sekalian,
Alhamdulillah kita telah membincangkan tentang Kebesaran Al Quran. Kali ini apa yang hendak kita perkatakan atau kuliahkan ialah salah satu daripada surah dalam Al Quran iaitu Surah Al Fatihah.
Surah Al Fatihah itu adalah suratul Makiyyah. Ia turun 2 kali iaitu di Mekah dan Madinah.
Maksud ayat Makiyyah itu ialah setiap ayat yang turun semasa sebelum Rasulullah berpindah ke Madinah.
Yang disebut surah Madaniyah ialah setiap surah yang turun selepas hijrah ke Madinah, sekalipun ayat itu tidak turun di Madinah. Mungkin turun di Mekah, mungkin turun di Thaif atau mungkin dalam perjalanan.
Ia dikatakan surah Al-Fatihah atau surah pembukaan. Boleh juga dikatakan surah ‘yang mendapat kemenangan’ sebab dalam bahasa Arab, kemenangan itu dari perkataan fath, seperti Futuh Mekah, contoh: Sultan Muhammad Al Fateh (Muhammad yang dapat kemenangan). Mengapa disebut surah yang mendapat kemenangan? Kerana ia adalah ibu kitab. Ibu kitab yang tertulis di luh mahfuz ada di dalam Al Fatihah. Jadi kandungan Al Fatihah meliputi seluruh isi Al Quran. Kalau surah Al Fatihah dapat difahami dan dihayati intipatinya, itu pun sudah cukup untuk kita memahami intipati Al Quran. Bila ia menjadi ilmu lalu dihayati dan diapplykan, pasti akan mendapat kemenangan. Maksud yang biasa, yang selalu dibahas ulama ialah “Surah Pembukaan” kerana ia diletak di depan, di pintu Al Quran. Ertinya surah nombor 1. Tetapi aneh kerana ia bukanlah ayat yang mula-mula turun. Yang mula-mula turun ialah dari surah Al Alaq sebanyak 5 ayat. Sepatutnya surah pembukaan itu ialah Surah Al Alaq tetapi ia tidak disebut sebagai ‘Surah Pembukaan’ Mengapa? Di sini kita akan dapat rahsianya. Hikmahnya ialah kerana Al Fatihah itu merangkumi semua sama ada aqidah, syariat, akhlaq, dan terutamanya syariah. Kalau diperluaskan, syariah itu ialah peraturan atau undang-undang sistem hidup. Hikmahnya diturunkan Surah Al 'Alaq dahulu ialah Tuhan hendak menanamkan aqidah dahulu. Kalau aqidah belum ada, belum kenal Tuhan, tidak tahu kemampuan dan kuasa Tuhan, maka apa perlunya syariah. Oleh itu walaupun Surah Al 'Alaq diturunkan awal, ia tidak disebut sebagai surah pembukaan atau surah kemenangan kerana ianya hanya menyebut satu juzuk iaitu aqidah sahaja. Al 'Alaq tidak mewakili seluruh Al Quran. Sebab itu surah Al Fatihah dijadikan surah pertama walaupun ia bukan surah yang pertama turun.
Surah Al Fatihah ada 2 maksud:
1. Surah Pembukaan
2. Surah Kemenangan
Al Fatihah ada tujuh ayat, termasuk ayat Bismillah. Bismillahi rahmaanir rahim itu adalah ayat dari Al Fatihah tetapi fahaman wahabi tidak memasukkannya dalam Al Fatihah (ayatul min ayatilfatihah). Orang berfahaman Wahabi/tidak bermazhab, bila bersolat tidak membaca Bismillah. Terus sahaja membaca alhamdulillah. Kalau kita bersembahyang dengan Wahabi kita menjadi was-was sebab bagi kita Al Fatihah itu wajib/rukun solat..Patutnya kalau imam yang bijaksana, berhikmah, dan menghormati mazhab, kalau seorang imam berfikir mengenai masyarakat umum, membaca Bismillah itu lebih baik, jika pada keyakinannya Bismillah itu sunat, bukannya haram! Kalau dia membacanya pun dia akan mendapat pahala sunat. Kalau pada keyakinan seseorang Bismillah itu wajib dibaca [seperti kita], jadi batallah sembahyang kita. Ini tidak. Bagi mereka [imam fahaman Wahabi] membaca Bismillah ianya hanya sunat. Kalau imam itu bijak, jika dia membaca Bismillah, selain mereka mendapat pahala sunat dan menghormati mazhab selain mazhab mereka, ia juga menyelamatkan orang lain dari terbatal sembahyang.
Al Fatihah ada tujuh ayat. Mengapa 7? Ini ada hikmahnya .
Bukankah saya sudah kata tadi, intipati Al Quran yang 30 juz itu ada di dalam Al Fatihah. Katalah ada seorang pakar, yang Tuhan berikan dia ilmu. Katalah dia tidak membaca seluruh Al Quran tetapi dia berkata, “Mari kita huraikan Al Fatihah.” Mungkin dia akan syarahkan selama satu tahun kerana ibarat hendak menggali lombong, takkan memakai cangkul? Hendak mengeluarkan emas Al Quran!!
Selepas setahun dia memberi kuliah, maka bila kita lihat Al Quran, maka akan didapati apa yang disyarahkan dari huraian Al Fatihah itu akan sama dengan seluruh isi Al Quran. Tetapi tidak pernah ada orang yang hendak berbuat kerana tidak ada yang pakar.
Mengapa Al Fatihah ada 7 ayat? Ini ada hikmahnya yang besar. Ia ada hubungan dengan manusia dan dengan segala ciptaan Tuhan, secara isyarat.
1. Tujuh Ayat menggambarkan 7 hari dalam seminggu.
Dalam 7 hari itulah manusia hendak menjadi jahat atau baik. Hendak mendapat rahmat atau mendapat laknat. Hendak bahagia atau celaka. Hendak menjadi kafir atau mukmin. Hendak kaya atau susah. Hendak sakit atau sihat. Ertinya dalam masa seminggu, kalau Al Quran yang intipatinya ada dalam Al Fatihah itu berperanan, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatihah tidak berperanan dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru hara dan celaka.
2. Begitu juga dalam seminggu itu sama ada manusia hendak menjadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu, selain solat adalah rukun Islam yang kedua, di dalam sembahyang itulah segala anggota 7 itu digunakan Kalau agama lain, bila menyembah Tuhan, tidak melibatkan semua anggota. Dalam Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh. Kegunaan kepala bermacam-macam jenis. Tangan itu berapa banyak peranannya. Boleh buat baik atau jahat, boleh membunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang. Begitu juga kedua lutut dan dua kaki. Dalam sembahyang inilah anggota-anggota sujud. 7 anggota penting manusia terlibat dalam solat. Sebab itu dalam doa iftitah kita sebut, “hidup matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting pada badan kita ini sudah ikrarkan bahawa kita serah pada Allah. Apa yang disebut oleh bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan. Itu kalau kita sedari dan hayati.
3. Al Fatihah ini ada 7 ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib dia nanti sama ada neraka yang 7 atau syurga yang 7. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatihah. Kalau Al Fatihah berperanan dalam hidup, dia akan dapat salah satu dari 7 peringkat syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari 7 peringkat neraka.
Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Di langit ada bermacam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan 7 lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia.
Ramai ahli-ahli Sains yang membuat kajian, sudah mengesahkannya tetapi setakat yang lahir-lahir sahaja. Sebenarnya ia bukan berhubungan dengan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja.
Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat. Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia kepada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi yang ini ahli Sains tidak dapat kesan. Yang ghaib tidak dapat dikesan. Mereka hanya mampu mengesan yang lahir sahaja seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kedurhakaan manusia. Yang ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi Saintis tidak boleh.
Jadi 7 langit dan 7 bumi ada hubungan dengan manusia sama ada bersifat dunia atau akhirat. Jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli Sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Sebab itu, bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalau di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, ertinya jin itu dari Indonesia. Jin di Arab berbahasa Arab. Jadi jin menumpang bahasa manusia supaya nampaklah manusia itu lebih mulia dari jin. Jin belajar menumpang dengan manusia. Sekarang pun mereka menumpang belajar dengan kita. Eloklah jika tidak nampak. Jika nampak, tidak larat kita hendak lihat.
Begitu juga soal makan. Kalau jin kafir, mereka makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang kafir. Begitu juga jin Islam, mereka menumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Sebab itu hati-hati bila membuang tulang. Biarlah pada tempatnya. Kalau bersepah-sepah , jin makan, jin terlanggar anak kita, jadi masalah. Jadi Al Fatihah yang ada 7 ayat ini sangat berhubungan dengan kehidupan.
5) Yang terpenting dari itu, 7 ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh mendidik nafsu kita yang 7.
Semakin kita hayati, semakin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Isi Al Quran itu terkandung di dalam Al Fatihah. Kalau dihayati, nafsu boleh menjadi baik sebab nafsu itu yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatihah atau isi Al Quran dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat Mulhamah. Itu pun sudah agak OK. Itu ertinya nafsu orang soleh. Kalau mutmainah, itu nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap. Kalau mulhamah masih lagi goyang. Tidak mantap lagi. Nafsu ada 7 dan ayat ini ada 7 itu bukan kebetulan.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Al Fatihah padahal baru bercakap mengenai kulitnya. Baru muqaddimah sahaja. Baru di pintu Fatihah. Belum masuk lagi ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Sebab itu saya lebih suka mengatakan Al Fatihah itu surah untuk mendapat kemenangan daripada dikatakan ia pembukaan Al Quran. Kalau ulama mahsyurkan, dikatakan Al Fatihah itu surah pembukaan kerana diletak di depan Al Quran, itu pun tidak salah. Tetapi bagi saya elok dimahsyurkan yang kedua, yakni surah kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti syurga, neraka, nafsu dan lain-lain.
Bila disebut Surah Fatihah, bagi orang yang ada ilmu, tergambarlah rangka Fatihah secara umum. Kalau dikatakan Al Fatihah hanya pembukaan Al Quran, bukan salah tetapi itu hanya kecil dan sedikit sangat. Tetapi bila disebut Al Fatihah itu surah kemenangan, itu adalah intipati atau ibu. Baru muqaddimah pun sudah nampak besarnya. Maha BesarNya Tuhan. Cuba lihat, Allah gunakan ism fiil, ‘yang telah mendapat kemenangan’. Lebih baik makna ini kita mahsyurkan kerana Surah Fatihah itu menentukan seseorang itu akan menang atau tidak.
Tip-tip untuk semua
