//

Tuesday, April 12, 2011

Tomato; Cantikkan Kulit Wajah

Tip-tip untuk semua

Tomato atau nama saintifiknya Iycopersicon esculetum sememangnya digemari ramai. Sama ada diratah begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis masakan, tomato menjanjikan keenakan tersendiri. Hidangan Mediterranean dan Asia Barat menjadikan tomato sebagai bahan asas yang paling kerap digunakan.

Berasal dari keluarga Solanaceae, tomato kaya dengan zat besi, serat sertavitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan badan. Ia juga mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineralgaram.

Malah kajian di Amerika Syarikat mendapati pigmen merah pada kulit tomato mengandungi lycopene yang dikatakan mampu mengurangkan risiko barah prostat di kalangan kaum lelaki. Lycopene menawarkan khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Khasiat tomato juga berkait rapat dengan kecantikan kulit. Sayuran ini dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk juga mampu menyejukkan kulit yang kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, dan vitamin A dan C untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit.

Berikut adalah petua dan cara-cara penjagaan kulit menggunakan tomato.

Mengecilkan Liang Roma

Campurkan satu sudu jus tomato segar dengan 2 hingga 4 titik jus limau. Sapukan bahan tersebut menggunakan kapas pada kulit wajah dan urut perlahan-lahan. Biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air suam untuk mengecilkan lagi liang roma, selepas itu sapukan pelembap muka.

Merawat Jerawat

Hancurkan tomato segar dan sapu rata bahan tersebut pada kulit muka yang berjerawat. Biarkan sejam atau lebih sebelum dibilas dan dikeringkan. Buat setiap hari sehingga jerawat hilang.

Membersihkan Kulit Muka

Topeng muka menggunakan campuran tomato dan avokado amat sesuai untuk kulit kombinasi (berminyak, biasa dan kering) kerana ia menggabungkan astringen dan antiseptik yang boleh mengurangkan kandungan minyak serta noda hitam pada kulit.

Topeng penyegar muka ini kaya dengan vitamin A, C dan E - kesemuanya penting untuk kulit yang sihat. Untuk membuat topeng muka ini, hancurkan tomato dan avokado dalam mangkuk dan sapukan pada muka, bilas selepas 20 ke 30 minit.

Boleh juga sapukan campurkan jus tomato segar dengan jus timun pada kulit muka untuk mengawal minyak and jerawat.

Menyejukkan Kulit Yang Rosak

Kisar sebiji tomato  dan campurkan dua sudu yogurt.
Sapu bahan tersebut pada kulit muka dan biarkan selama 20 minit.
Bilas dengan air suam.

Gabungan tomato dan yogurt mampu menyejukkan kulit dan mengurangkan kesan kesakitan termasuk akibat selaran matahari dan kerengsaan kulit. Ini kerana yogurt merangsang protein pada kulit dan menjadikannya lembut manakala tomato menyejuk dan meneutralkan permukaan kulit.
Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Khasiat Tomato

Tip-tip untuk semua

Tomato buah berwarna merah dan boleh dimakan mentah. Namun, bukan semua orang menggemarinya! Tahukah anda tomato mengandungi pelbagai khasiat tersendiri, termasuk membantu mencegah penyakit berbahaya?

Warna merah itu ialah disebabkan likopena, iaitu karotenoid atau sebatian semula jadi yang memberikan warna merah kepada tomato dan pelbagai khasiat kebaikan antioksidan semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Selain mempunyai kebaikan antioksidan, makanan yang mengandungi likopena itu juga boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser dan penyakitjantung. Hasil kajian pakar penyelidik asing mendapati bahawa kandungan likopena begitu tinggi dalam pes tomato, sos tomato dan jus tomato.

Kenapa anda perlu mengambil buah-buahan yang kaya dengan anti-oksida? Berikut ialah fungsi dan kelebihan anti-oksida untuk tubuh badan kita :

* Membantu memulihkan kesihatan sel dan tisu badan
* Melancarkan perjalanan darah
* Menghalang pembengkakan dan keradangan
* Bertindak sebagai bahan anti bakteria, anti virus, anti kanser dan pelindung kepada alahan
* Membantu meningkatkan kekuatan dan keanjalan salur darah

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Monday, March 28, 2011

7 Ayat Penyelamat Dari Berbagai Bencana

Tip-tip untuk semua

Kata Saiyidina Ali kmh:
‘Barang siapa mengamalkan membaca pagi dan petang, maka akan merasa aman sentosa dari sebarang kebinasaan dan terpeliharalah daripada pedaya musuh dan bala, dengan izin Allah’

Menurut Syeikh Mohd Yaacob :

1. Apabila ayat tujuh ini di baca siang sekali dan malam (sesudah sembahnyanh Maghrib dan Subuh) insyaAllah di mudahkan rezekinya, dipanjangkan umurnya, terpelihara dari gangguan jin, syaitan dan fitnah di kasihi para hamba Allah serta di mudahkan atau di kabulkan segala apa yang di cita-citakannya.

2. Barang siapa yangmewiridkan pada tiap-tiap selesai sembahyang fardhu, InsyaAllah akan di mudahkan baginya sakratulmaut kelak dan memperolehi pahala yang besar pula. Jika di bacakan ayat ini kepada orang yang sakit, maka InsyaAllah akan menenangkan dan menyembuhkannya dengan segera.
InsyaAllah…

7 Ayat Penyelamat itu ialah;

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.
(Al-Taubah, 9:51)


وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

 Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)..
(Hud, 11: 6)

إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُمْ مَا مِنْ دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آَخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم

Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. (Hud, 11: 56)

وَكَأَيِّنْ مِنْ دَابَّةٍ لَا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Angkabut, 29: 60)

مَا يَفْتَحِ اللَّهُ لِلنَّاسِ مِنْ رَحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُ مِنْ بَعْدِهِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيم

Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Fatir, 35: 2)

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ أَفَرَأَيْتُمْ مَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ أَرَادَنِيَ اللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَاشِفَاتُ ضُرِّهِ أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَاتُ رَحْمَتِهِ قُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah (kepada mereka): Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu? Katakanlah lagi: Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. (Al-Zumar, 39: 38)

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Tip Jimat Elektrik

Tip-tip untuk semua

Antara perkara utama yang perlu dilakukan oleh pemilik kediaman untuk menjimat penggunaan tenaga elektrik secara menyeluruh adalah dengan memastikan perkara berikut dilaksanakan:

1. Penggunaan Elektrik Secara Am

• Menutup semua lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan (terutama pada plug).

• Membenarkan pengaliran udara semula jadi dalam rumah bagi menyejukkan ruang (mengurangkan penggunaan peralatan hawa dingin dan kipas).

• Mempraktikkan penggunaan tenaga yang cekap ketika menggunakan peralatan rumah.

• Memeriksa kadar penggunaan tenaga pada peralatan. Kadar bintang yang tinggi bermakna penggunaan tenaga yang lebih cekap.

2. Penggunaan cahaya dalam rumah 

• Gunakan mentol dan lampu jimat tenaga yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga hingga 80 peratus.

• Menggunakan kadar cahaya lampu yang betul seperti ketika membaca menggunakan cahaya yang terang dan apabila menonton televisyen atau video, menggunakan lampu yang malap (dimmer)

• Menggunakan kadar watt yang rendah pada koridor, laluan tangga atau bilik stor kerana ruang ini tidak memerlukan cahaya sekadar untuk menerangi.

• Lampu kalimantang (fluorescent) biasa lebih menjimatkan, berbanding lampu pijar (incandescent).

3. Jenis Penggunaan Peralatan Dalam Rumah

Peti Sejuk
• Pilih kapasiti peti sejuk yang sesuai dengan penggunaannya. Jangan sesekali terpengaruh dengan membeli peti sejuk berkapasiti besar tanpa mempertimbangkan penggunaannya. Penggunaan tenaga lebih tinggi apabila kapasiti semakin besar.

• Elakkan terlalu kerap membuka dan menutup peti sejuk untuk menghindari udara dingin keluar.


• Jangan masukkan masakan panas terus ke dalam peti sejuk. Dinginkan terlebih dulu hingga mencapai kadar suhu ruang sebelum memasukkannya.

• Guna peti sejuk yang mempunyai tenaga cekap kerana ini boleh menjimatkan kos elektrik hingga 25 peratus.

Mesin Basuh Baju 

• Pilih dan gunakan mesin basuh yang sesuai dengan kapasitinya. Mesin basuh yang digunakan melebihi kapasitinya akan mengakibatkan mesin terpaksa bekerja keras dan lebih cepat rosak.

• Pastikan jumlah kapasiti adalah penuh kerana jika dimasukkan separuh kapasiti, jumlah tenaga yang digunakan tetap sama.

• Gunakan fungsi pengering mesin basuh apabila perlu. Lebih baik mengguna sinar matahari untuk mengeringkan pakaian.

Alat Penghawa Dingin
• Pilih penghawa dingin dengan kapasiti yang sesuai mengikut keperluan dan keluasan ruang. Sebagai contoh, ruang bilik tidur seluas 3 X 4 meter adalah mencukupi menggunakan penghawa dingin berkadar 11/2 HP (kuasa kuda).


• Kadar suhu yang sesuai digunakan adalah antara 22 hingga 24 celsius. Elak menggunakan paras suhu yang sangat rendah kerana memaksa alat penghawa dingin bekerja lebih berat.

• Pastikan ruang tertutup rapat agar suhu tetap terjaga dan elakkan elemen yang menghalang udara dingin keluar dari alat penghawa dingin


Antara Tip-tip Lain :-

1: Padam semua lampu bilik atau ruang yang ada di rumah sekiranya tiada sesiapa di situ. Sebagai contoh, jika anda sekeluarga berehat di ruang tamu, pastikan lampu bilik tidur, ruang makan atau dapur di tutup.

2: Tutup semua suis peralatan elektrik dan elektronik jika tidak digunakan. Sebaik-baiknya jangan dibiarkan dalam mode ‘standby’.

3: Sebaik-baiknya gunakan kipas angin (kipas dinding atau kipas berdiri) dan elakkan penggunaan penyaman udara. Tapi kalau dah panas sangat dan tak tahan barulah gunakan penyaman udara.

4: Gunakan satu mentol lampu yang besar jika memerlukan lebih pengcahayaan berbanding menggunakan mentol yang bersaiz kecil tetapi banyak bilangannya.

5: Mendidik ahli keluarga yang lain agar menutup suis lampu, kipas atau alatan lain setelah meninggalkan sesuatu bilik atau ruang.

6: Pasangkan lampu di luar rumah jika perlu sahaja seperti menunggu kedatangan tetamu, menyambut sesuatu perayaan atau ketika mengadakan sesuatu majlis atau kenduri.

7: Elakkan penggunaan mesih basuh yang melebihi muatan (‘overload’) atau pun muatan penuh. Sebaiknya muatan tidak terlalu penuh. Selain hasil cucian yang kurang bersih ia juga mengakibatkan penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan.

8 :Pastikan pintu peti ais ditutup rapat setelah digunakan.

9: Rajin membersihkan habuk atau debu yang terdapat di koil peti ais anda.

10: Freezer yang penuh mengurangkan penggunaan tenaga. Jadi sekiranya ‘freezer’ peti ais anda kosong, isikannya dengan kiub ais atau bekas ais supaya tenaga tidak dibuang begitu sahaja.

11 :Elakkan menyimpan makanan yang panas atau yang baru dimasak dalam peti ais.

12: Jika menggunakan mesin basuh, sebaiknya keluarkan pakaian yang perlu digosok dari alat pengering ketika ia masih agak lembap. Ini bertujuan supaya ia tidak terlalu berkedut dan memudahkan untuk menggosok pakaian tersebut.

13: Elakkan ‘over dry’ pakaian anda.Kenapa agaknya tu?Semestinya agar ia tidak membazirkan tenaga letrik dan berkemungkinan besar menyebabkan pakaian anda mudah rosak. Contohnya- benang jahitan lebih mudah tertetas.

14: Seelok-eloknya pilih lampu dan warna yang ‘reflective’ untuk ‘ceiling’ serta dinding sesuatu ruang di rumah anda.

15: Letakkan peti ais pada tempat yang paling sejuk atau mempunyai pengudaraan yang baik di dapur anda.

16: Jika anda merancang untuk bercuti atau balik kampung, setkan peti ais anda pada suhu yang minima.

17: Fikir dulu sebelum nak buka peti ais. Apa yang ingin anda ambil? Elakkan dah buka peti ais baru terpinga-pinga apa benda yang nak diambil. Ia agak remeh tetapi tanpa anda sedari ia juga melibatkan penggunaan tenaga.

18: Pastikan mentol atau lampu tidak diselaputi habuk. Habuk terutamanya jika tebal akan memberi kesan kepada tahap pengcahayaan lampu tersebut.
~ Pssst…Jangan pula anda merungut apasal malap semacam je ni? Terutamanya masa nak baca surat khabar waktu malam.

19: Tanam pokok atau pohon yang rendang supaya keadaan di rumah anda tidak terlalu panas.

20: Anda bercadang nak membeli peti ais kedua? Fikir masak-masak adakah ia perlu.

21: Rancang pembelian perkakas elektrik dan elektronik. Pastikan anda membeli perkakas yang tahan lama serta mudah diselenggara. Jangan lupa mengambilkira kos pembaikannya apabila ia rosak kelak.
~ Pssst…Sebaiknya tanya dulu pada jurujual apa masalah yang sering dihadapi pelanggan terdahulu, berapa purata kos pembaikan dan bagaimana cara penggunaan yang terbaik.

22: Apabila hendak membeli pakaian, pilih fabrik yang tidak perlu atau mudah digosok.

23: Apabila memilih cadar, sarung bantal, kain langsir atau lain-lain fabrik, utamakan fabrik yang tidak perlu digosok. Jadi anda tidak perlu menggosok. Jimat elektrik dan tenaga gitu. Betul tak?

24: Sekiranya anda ingin bertukang sama ada menggantung ‘frame’ gambar atau lain-lain kerja pertukangan yang tidak mengerah tenaga yang banyak, gunakan saja alatan tangan biasa.

25: Jika anda menggunakan penghawa dingin, pastikan ruang tersebut tertutup sepenuhnya. Ia bertujuan menjimatkan tenaga.
~ Pssst..Nanti jangan pula anda mengeluh bilik tak sejuk-sejuk, walhal dah berjam-jam ‘air-cond’ di’on’ kan.

26: Penggunaan ketuhar gelombang mikro atau ‘microwave’ sebenarnya menjimatkan tenaga. Ia juga mengurangkan masa memasak anda sebanyak 15 hingga 20 peratus.

27: Sekiranya anda bercadang membeli alatan atau gadjet terbaru di pasaran, pertimbangkan dan pilih model yang menjimatkan tenaga. Nanti anda tak perlulah nak bimbang pasal nak selalu cas bateri atau sekurang-kurangnya dapat membantu menjimatkan elektrik.

28: Semak bil letrik bulanan anda. Pantau dari semasa ke semasa dan adakah ia konsisten, turun atau naik. Jika meningkat cuba tips yang telah diberikan. Analisa juga sama ada anda ada membeli peralatan elektik atau elektronik yang baru. Jika ada gunakannya secara bijak dan kawal penggunaannya.

29: Gunakan alat penjimatan elektrik. Ia membantu anda menjimatkan letrik dengan mudah. Ia sah di sisi undang-undang Malaysia dan disyorkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Saturday, March 5, 2011

Perjalanan Hidup: Didikan Ini Demi CINTA

Tip-tip untuk semua

True Love: A Practice for Awakening the HeartKalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, “semasa kami masih muda.” Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
bulan
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di ‘universiti kehidupan’ ini. ‘Kurikulum’ pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.

Alam adalah sebuah ‘universiti’ yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”

Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.

Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?

Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa ‘refer’ atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.

Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.

Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.

Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.

Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa ‘pokai’ setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya. Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.

Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah ‘pokai’ seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya… Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?

Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan ‘naik kelas’ dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkatkan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.

Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan… dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang lebih tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.

Jadi langkah pertama supaya kita ‘lulus’ dalam pelajaran hidup ialah kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran di sebalik semua ini?” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu ‘kesempitan’ wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.

Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik ‘pelajaran-pelajaran’ yang datang dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.

Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berubah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.

Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.

Sebaliknya kita akan patah, jika terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi ‘Pak Turut’ yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?

Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we can’t direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.

Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.

Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kala kita bersikap ‘selamba’ dan ‘relaks’ dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).

Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!

Ringkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?

Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. “Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik,” begitu selalu yang kita dengar. “Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah,” kata sesetengah yang lain. “Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah.” “Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!”

Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.

Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor ‘buruk’ anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan ‘accident’ dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk… itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.

Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).

Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie, “jangan gergaji habuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri… aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku. Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.

Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’ (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.

Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.

Sumber; Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Monday, February 28, 2011

Rahsia Disebalik Doa Antara 2 Sujud

Tip-tip untuk semua

Saya ingin mengajak para pembaca semua untuk bermuhasabah mengenai solat yang kita lakukan saban hari. Selama kita bersolat ni, adakah kita memahami maksud ayat atau doa yang kita lafazkan? Tahukah anda bahawa, salah satu cara bagaimana untuk kita dapat solat dengan khusyuk adalah kita faham maksud setiap bacaan yang kita lafazkan?

Dalam entri kali ini, saya ingin mengajak anda untuk menghayati ‘rahsia di sebalik doa antara 2 sujud‘ yang kita baca setidak-tidaknya 17 kali setiap hari.

Sedarkah kita betapa BESARNYA makna doa yang kita sering lupakan ini. Itulah doa semasa duduk antara dua sujud.

Dalam tidak sedar. Setiap hari kita memohon didalam solat kita…tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami. Sekadar menyebut dibibir, tetapi tidak tersentuh di hati, kerana kita gagal memahami maksud bacaan yang kita buat.

Marilah kita mula menghayati maksud doa ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat.


Dengan rendah hati, nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah melalui doa ini.

“Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)”
Diam sejenak, hayatilah maksud ini semasa membuat bacaan. Buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil. Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah. Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan.
Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,

“Warhamni (sayangi aku)”
Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima. Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup.
Kemudian, berturut-turut sampaikanlah permintaan-permintaan berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.

“Wajburnii (tutuplah aib-aibku)”

“Warfa’nii (angkatlah darjatku)”

“Warzuqnii (berilah aku rezeki)”

“Wahdinii (berilah aku petunjuk)”

“Wa’Aafinii (sihatkan aku)”

“Wa’fuannii (maafkan aku)”

Setelah selesai, diamlah sejenak, kemudian lahirkan rasa syukur kita kepada Robbi.


Lihatlah, betapa besarnya maksud dan nilai doa ini. Ia adalah satu doa yang kita hanya baca begitu saja (tanpa memahami maksudnya). Dalam tidak kita sedar selama ini, kita sebenarnya seperti sedang berpura-pura memohon sesuatu. Kerana kita memohon, tapi tidak memahami apa yang dipohon.

Renung-renungkan dan selamat beramal.

Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. (Hadis riwayat Al-Qudhi)

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Memburu Cinta Fatamorgana

Tip-tip untuk semua

Kali ini saya menulis tentang cinta orang tua. Mungkin ini berguna bukan hanya untuk orang tua, tetapi juga orang muda. Sejak kebelakangan ini terasa benar usia telah senja. Ketika melihat dan mengurut badan ayah yang telah tua baru-baru ini, saya mudah letih.

Barulah saya sedari bahawa yang mengurut (saya sendiri) rupa-rupanya telah tua. Ya Allah, semakin tawar kemanisan dunia di lidah, mata, telinga dan seluruh panca indera ku. Jemputan untuk pulang mula mengimbau…

Inilah hakikat dunia. Yang halalnya dihisab, yang haramnya diazab. Segalanya bagaikan fatamorgana jika tidak dijadikan ibadah dan dijadikan alat untuk meraih taqwa. Kemanisannya… sebentar cuma.

Bagaikan semalam keremajaan ku yang telah berlalu. Bagaikan sedetik keindahan yang diburu dulu. Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada MU. Jangan bebankan kami lagi dengan ujian keindahan-keindahan fatamorgana yang telah pun menipu kami berulang-ulang kali.

Ya Allah kami menyerah pasrah. Jangan dibiarkan pengawasan dan pemantauan diri ini kepada diri kami sendiri. Jangan, jangan walaupun sekelip mata wahai yang Maha Pengasih. Mungkin tulisan ini akan lebih lama bertahan daripada penulisnya. Entah yang dibaca lebih lama berkekalan daripada pembacanya.

Namun, detik yang ada ini aku ingin berkongsi rasa. Rasa yang datang daripada melihat dan mendengar… Janganlah hendaknya kita MEMBURU CINTA FATAMORGANA...


Kecuali mati dan tua, itu sahaja yang tidak boleh dielakkan oleh manusia. Keduanya pasti datang dalam hidup kita. Semua manusia pasti mati. Tetapi tidak semua manusia berkesempatan mencecah usia tua. Jika dilihat kepada jumlah keseluruhan manusia di dunia, ramai yang muda daripada yang tua. Itu petanda apa? Ya, ramai yang tidak sempat tua, masih muda tetapi sudah mati... sudah kembali. Jadi kalau kita sempat tua, bersyukurlah, Allah telah mengurniakan kita nikmat yang jarang diberikan kepada manusia lain.

Walaupun tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punya hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta, setua mana pun kita pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi di dalam hati. Apakah cinta yang seharusnya ada di dalam hati wanita atau lelaki tua? Tentulah cinta Allah. Sebab semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan kita menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah. Dan itu juga pulang menemui cintanya yang sejati dan abadi.

Justeru, apabila usia telah tua, semua nikmat yang bersifat lahiriah dan fizikal mula dicabut sedikit demi sedikit dan secara beransur-ansur. Nikmat makan, nikmat sihat, nikmat tidur, nikmat melakukan hubungan seks dan lain-lain lagi menjadi semakin menurun. Walaupun cuba dipertahankan dengan ubat, makanan tambahan, rawatan, senaman dan usaha-usaha yang lain, tua tidak dapat dielakkan. Ia hanya dapat diperlahankan. Ini sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah.

Mengapa Allah takdirkan begitu? Tentu ada hikmahnya. Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan-lahan menjelang usia tua agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah pada episod-episod terakhirnya dalam hidup. Seolah-olah manusia ‘dipaksa’ menumpukan fokus hatinya untuk mencintai Allah. Semua ‘kesayangan’ kita sudah diambil, maka usah berpaling lagi daripada Allah. Rebut dan nikmati cinta-Nya sebagai bekalan di akhirat nanti.

Apabila kelazatan dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke akhirat sudah dekat. Sediakan bekalan dengan cepat!

Inilah sudut pandang yang patut ada di dalam setiap hati orang tua. Ketika segala-galanya menjauh, datanglah mendekat kepada Allah. Kau tidak ada apa-apa lagi, kuatkan pecutan hati mu menuju Ilahi. Jangan dilalaikan lagi oleh cinta-cinta yang lain.


Namun malang sekali kalau di usia senja masih memburu cinta fatamorgana. Ada yang kembali memburu cinta yang tidak sampai pada usia mudanya dahulu. Sudah beranak, telah bercucu, tetapi hatinya si datuk dan si nenek ini kembali mengimbau nostalgia cinta hampa pada zaman remaja. Dulu kononnya terpisah kerana berbeza darjat, disekat oleh orang tua, berpindah tempat dan sebagainya… lalu masing-masing bertemu dengan jodoh masing-masing. Bercinta, berkahwin, beranak dan bercucu.

Tiba-tiba kekasih lama muncul semula. Mungkin menerusi pertemuan yang tidak disangka dan dijangka. Atau setelah bersungguh-sungguh ‘search’ lewat laman sosial Face Book, Twitter dan sebagainya. Dan cinta berbunga kembali. Uban di kepala si datuk dilihat bagaikan mahkota oleh si nenek. Kedutan wajah si nenek dilihat manis dan memikat oleh si datuk. Lalu berlakulah antara mereka hubungan cinta terlarang. Keduanya jadi mabuk cinta dan ada yang terjerumus ke lembah cinta yang curang dan haram.

Cucu-cucu tidak dihiraukan lagi. Anak-anak terpinggir. Ini semua gara-gara memburu cinta fatamorgana pada usia senja. Nostalgia lama diputar kembali untuk membuahkan realiti masa kini yang penuh cinta. Nenek dan datuk jadi asyik maksyuk. Ah, malu sekali bila mereka mengambil kesempatan ‘berdating’ sewaktu sama-sama menghantar cucu di sekolah atau berbalas-balas pesanan ringkas (sms) secara maraton di tengah malam atau menjelang dinihari.

Sungguh bijak syaitan menipu. Angkara dan strateginya tidak pernah berhenti. Sentiasa kaya dengan inovasi dan kreativiti. Hanya bermodalkan cinta yang ‘dikitar semula’ dia masih memburu untuk menyesatkan manusia. Mata si datuk yang seharusnya sudah merasakan kesejukan wuduk dan ketenangan solat, sudah dilekakan untuk mengerling si nenek kekasih lamanya. Masa untuk menatap al Quran semakin luput apabila asyik berpaut di skrin telefon bimbit untuk membaca ‘ayat-ayat’ cinta yang masih berbisa.

Ini bukan cerita yang diada-adakan. Tetapi cerita yang benar-benar berlaku bahana cinta sumbang pada usia senja. Cucu-cu jadi resah. Anak-anak menggelengkan kepala. Namun, nenek atau datuk ini, tidak menyedarinya atau telah sedar, tetapi kerana cinta semuanya tidak dipedulikan lagi. Memang cinta itu buta… bukan sahaja pada remaja yang matanya masih terang, tetapi juga untuk si tua yang matanya hampir buta!

Dunia menipu. Cinta memperdaya. Apa yang dilihat indah hanyalah umpama fatamorgana. Panas yang membahang disangka air. Lalu kita berebut-rebut mengejarnya. Nampak indah dari jauh, tetapi bila didekati kosong makna, kontang rasa. Begitulah cinta terlarang pada usia senja.

Pada yang mendapatnya (tentu sahaja terpaksa membeli dengan harga yang mahal – yakni dengan meninggalkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu), terasa sia-sia. Ah, pesona cinta tetap sama. Jika diburu berdasarkan nafsu percayalah… selagi belum dapat memang indah, tetapi bila sudah dapat, segala-galanya akan pudar. Apa yang diburu akan menjemukan bila sudah dalam genggaman.

Bila terjadi demikian hendak berpatah balik? Ah, air tempayan sudah dicurahkan tetapi guruh yang kedengaran berdentam-dentum sebelumnya, tidak langsung menurunkan hujan seperti yang dijangkakan. Pada waktu itulah jiwa yang lara akan menyebabkan diri menjadi lebih tua daripada sebelumnya. Kaki yang menggeletar yang tidak dirasakan dulu (semasa dilamun cinta) jadi tambah kronik. Langkah jadi capik. Semuanya menjadi kendur dan luntur semula. Paras cinta menurun, paras gula dan kolesterol yang sedia ada pula naik memuncak.

Pada yang muda jangan tersenyum. Ini bukan cerita mereka yang telah tua sahaja tetapi juga untuk anda yang muda. Ingat, kebaikan yang mampu kita lakukan pada usia tua hanyalah momentum yang dibina sejak usia muda. Dan begitulah dengan kejahatan. Siapa yang rajin beramal ibadah sewaktu muda, kerap-kali akan mewarisi tabiat yang baik itu apabila telah tua. Jadi rajinlah dan istiqamahlah dengan membuat kebaikan, mengerjakan solat, membaca al Quran sekarang, agar hati itu terisi… bukan sahaja kini tetapi nanti. Jangan ‘disantau’ oleh cinta fatamorgana pada usia tua.

Bagi remaja yang asyik memburu cinta terlarang sekarang ini, beringat-ingatlah. Jangan kita terpaksa memburu cinta palsu hingga ke akhir hayat. Kita akan diletihkan, ditipu dan dihancurkan oleh cinta itu berkali-kali. Usia muda terbuang, usia tua tersia-sia. Jangan begitu, orang mukmin tidak akan jatuh dalam lubang sama dua kali. Jika anda terus dibuai cinta palsu dan konon ‘bahagia’ dengan itu, insya-Allah anda akan disengat bisa cinta fatamorgana dua kali. Syaitan akan menggunakan senjata yang sama untuk memperdayakan kita kerana di situlah kelemahan yang kita suburkan sejak pada usia remaja lagi. Manusia tidak akan lebih memburu cinta. Itu hakikatnya. Alangkah malangnya jika yang diburu tanpa jemu itu hanya kebatilan?

Jika ditanya, mengapa ada cinta yang sehodoh dan sebodoh ini? Jawabnya mudah, cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi oleh kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.

‘Retua’ yang memburu cinta terlarang adalah mereka yang kosong jiwanya. Di dalam hatinya belum ada kemanisan iman. Lalu ia mencari dan terus mencari. Allah tidak mengumpulkan dua cinta dalam satu hati. Akhirnya kekosongan itu diisi oleh cinta palsu. Bila makanan yang lazat tidak lagi memberangsangkan, bila tidur sudah diganggu insomnia, bila rangsangan naluri seksual tidak bergetar lagi, hati yang kosong akan bertambah kosong. Sunyi, sepi, sayup-sayup ada suara yang berdetak di hati, “ah, rumah kata pergi, kubur kata mari…”

Ah, tidak sudi dia ke sana. Takut dan benci mati. Lalu dalam keadaan terpinga-pinga syaitan membisikkan cinta lama. Ke sana kau, burulah kebahagiaan itu selagi usia masih ada! Lalu dengan mata yang kabur, uban yang bertabur dan tenaga yang sudah mengendur itulah si tua terus memburu cinta dengan keinginan yang membara dan menyala-nyala. Tanpa disedari yang diburunya itu hanyalah tipuan syaitan pada minit-minit terakhir dalam hidupnya!

Bila usia telah tua… ertinya Allah telah memanggil. Bersedialah untuk pergi. Pergi bukan untuk berpisah tetapi untuk bertemu-Nya. Di sana ada cinta yang lebih bahagia dan lebih sempurna. Jangan terkesima lagi dengan cinta fatamorgana!

sumber; Ustaz Pahrol Mohd Juoi
------------------------------


Nasyid;

Antara dua cinta

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fata morgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan, leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hati ku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta Mu yang ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang ku bunuh

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Bercerita Tentang Jodoh

Tip-tip untuk semua

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.

“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”

“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.

“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.

“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.

“Habis mengapa putus?”

“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”

Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”

“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”

“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”

“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”

“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”

“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”

“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”

“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.

“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.

“Maksud abang?”

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”

“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”

Wasilah Memilih Jodoh

“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.

“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”

“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”

“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”

‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.

“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”

“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”

“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”

“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”

Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”

“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.

“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”

“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”

“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”

“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah

“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”

“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”

“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”

“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”

“Hikmah untuk kita?”

“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”


P/S

Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.

Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.

Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.

Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya.

Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku - ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.

Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!

sumber; Ustaz Fahrol Mohd Juoi

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Cinta Dipertengahan Usia

Tip-tip untuk semua

Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis. Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam keadaan selamat dan berguna.

Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?

Pena akan rosak sekiranya ia digunakan bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis, bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak. Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!

Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan. Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar.

Ketika itu hiduplah kedua-duanya (suami dan isteri) dengan perasaan yang hambar dan tawar. Tanpa cinta, manusia akan “bertukar” sama ada menjadi haiwan ataupun robot yang tidak punya rasa kemanisan lagi – bukan sifat-sifat luarannya, tetapi sifat-sifat dalamannya. Hidup berumah tangga tanpa cinta umpama kapal yang belayar tanpa angin. Keserasiannya mudah retak. Hanya kerana kesalahan yang sedikit, perbalahan dan krisis mudah berlaku. Keadaan rumah tangga pada waktu itu boleh diumpamakan sebagai “hidup segan, mati tak mahu”.

Memang, pada usia empat puluhan dan ke atas (dalam sesetengahnya keadaan lebih awal lagi), suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu hormon testosteron akan berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.

Lelaki Andropaus

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropous yang mengakibat kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah,cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan “mood” yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.

Manakala secara interpersonal dia mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya semakin menyusut.

Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” pun akan berlaku curang!

Wanita Menopaus

Bagi kaum wanita pula, mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.

Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak islamiah lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.

Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur. Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu apabila dirasakan ada yang tersasar di pertengahan jalan kehidupan itu.

Suami andropaus dan menopaus hakikatnya diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego. Cuma selalunya ego lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Ego itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau tindakan yang bertentangan dengan syariat.

Penyakit Ego

Ego dengan manusia berpunca daripada ego kepada Allah. Orang yang besar diri sebenarnya tidak mengenal kebesaran Allah. Jika Allah “dibesarkan” dalam dirinya, nescaya terasa kerdillah diri dan dengan itu seseorang manusia akan mudah berhubung dengan manusia lain. Kenal Allah juga akan membuahkan rasa cinta kepada-Nya. Dan cinta kepada Allah itulah sumber cinta kita sesama manusia. Gugurlah tiga ciri ego – berasa diri lebih baik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran daripada diri suami dan isteri. Dan dengan itu, mudahlah mereka berdua menghadapi krisis pertengahan umur.

Jadi, sangat penting dijaga niat dalam membina cinta dalam rumah tangga. Ia hakikatnya satu hijrah dari alam bujang ke alam perkahwinan dan hijrah itu mestilah didorong oleh niat yang baik, benar dan betul. Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang akan mendapat ganjaran atau balasan mengikut apa yang diniatkannya.

Bagaimana pula dengan pasangan yang telah terlajak? Maksudnya, mereka yang berkahwin tanpa sedikit pun terniat kerana Allah? Yang berkahwin hanya atas dorongan fitrah dan dilangsungkan atas dasar adat bukan ibadat? Perlu diingat, tidak ada istilah terlambat dalam melakukan satu kebaikan. Selagi ada nyawa di badan, maka selagi itulah kita mampu membetulkan atau memperbaharui niat dalam perkahwinan. Bertaubatlah atas niat yang salah dan sebagai gantinya, binalah niat baru yang lebih benar dan jitu.

Gelanggang Ibadah

Katakan pada diri bahawa rumah tangga ini pada hakikatnya ialah gelanggang untukku dan pasanganku serta seluruh anggota keluargaku untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukan sahaja terbatas kepada solat, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Tetapi semua tugas menyelenggarakan sebuah keluarga juga dikira sebagai ibadah. Suami yang mencari rezeki yang halal, mendidik isteri, membimbing anaknya adalah suami yang sedang beribadah kepada Allah.

Begitu juga isteri yang memasak, mencuci pakaian, menjaga anak-anak ialah juga isteri yang hakikatnya sedang beribadah kepada Allah. Selagi semua anggota keluarga beribadah dan rumah tangga dijadikan gelanggang ibadah, maka akan wujudlah ketenangan, kemesraan dan kasih sayang sesama mereka.

Katakan juga bahawa rumah tanggaku akan hancur sekiranya ia tidak lagi menjadi gelanggang ibadah buat seluruh anggota keluargaku. Aku, pasanganku dan anak-anak yang bertindak bertentangan dengan tujuan kami diciptakan akan merobohkan syurga yang indah ini.

Memang pada awal rumah tangga dibina segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas fitrah… Maksudnya semua manusia secara fitrahnya (instinct) inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang berasaskan fitrah sahaja tidak cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.

Fitrah perlukan syariat. Syariat itu ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus. Kasih akan pupus. Sama ada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.

Ingatlah bahawa cinta itu adalah rasa. Ia tidak terbina oleh urat, daging dan tulang. Tetapi ia rasa yang terbina di hati. Di daerah rasa, tidak ada tua atau muda. Tidak ada permulaan, pertengahan atau pengakhiran. Di hati yang beriman, tetap ada cinta. Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua… justeru cinta itulah yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!

sumber; Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Sajak: Sayangi Keluarga

Tip-tip untuk semua

SAYANGI KELUARGA

Bahagia seluruh semesta

bermula dari sebuah keluarga

dari titis susu ibu tersayang

terbinalah sungai kasih yang panjang

Tumbuh dari keringat ayah

kita perah pengorbanannya yang melimpah

air matanya mengalir di darah kita

membina semangat dan cita-cita

Rentaslah seribu lautan

kembaralah di serata benua

tak kan kau temui semurni cinta

semurni cinta keluarga

Bila langkah remajamu ditusuk sembilu

kembara dewasamu diamuk nafsu

kenanglah pesan ibu

ingatlah madah ayah:

Kembalilah ke jalan Allah

Tip-tip untuk semua

Baca Lagi...


Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software