Jangan beri cinta pada sebarangan
Memberi cinta atau meletakkan cinta kepada sebarangan adalah sia-sia dan akan menyesal
Kerana cinta itu mahal biarlah pulangannya sepadan dengan mahalnya
Kalau kita cinta kepada sesuatu kita pula yang memberi sesuatu kepadanya adalah orang yang bodoh macam baghal
Kita beri cinta pada perempuan terutama yang bukan isteri kita, berbagai-bagai perkara dan benda dia minta kita berikan kepadanya
Bukan dia yang memberi sesuatu kepada kita bukankah kita dibodohinya?
Adakalanya setelah dia kikis harta dan kekayaan kita, dia pun tarik diri dari kita, apakah untungnya?
Begitu juga kita berikan cinta kepada isteri kita, berbagai-bagai perkara yang dia minta kita kena beri juga
Dia tidak fikir lagi apakah kita ada atau tidak ada
Sudahlah cinta kita beri kepadanya, kita diminta pula apa sahaja!
Sepatutnya dialah yang memberi kita apa sahaja
Kerana kita telah bayar dengan kecintaan kepadanya, cinta itu bukankah mahal?
Kita cinta harta, kita cari untuk kita milikinya
Siang malam kita tidak rehat dibuatnya kerana cintakan harta
Setelah dapat apa yang kita mahu
Banyaklah harta yang ada pada kita, hingga kita jadi orang kaya
Aduh! Sedihnya kita pula kena jaga harta
Kalau tidak jaga orang curi pula atau dia binasa
Sepatutnya kecintaan telah kita beri kepadanya, dialah jaga kita,
mengapa pula kita jaga dia
Kita pula telah diperbodoh oleh harta
Kita diperhambanya hingga menyusahkan kita
Kita letak dia di tempat yang mulia dan terpelihara
Hartalah yang mulia bukan kita yang mulia, kita tidak dipedulikannya
Sekali lagi harta boleh memperbodoh kita
Mengapa manusia tidak pandai meletakkan cinta
kepada Zat Dialah yang akan menjaga kita
Dia akan urus kita, bertanggungjawab kepada kita, memelihara kita
Siang malam Dia akan jaga kita
Di waktu susah disenangkan-Nya kita!
Ketika sakit disembuh-Nya kita!
Di kala kita miskin dikayakan-Nya kita!
Di waktu kita lapar dikenyangkan-Nya kita!
Di waktu kita takut, dihiburkan-Nya kita!
Bahkan Dia memberi segala-galanya kepada kita selama mana kita masih hidup di dunia
Yang saya maksudkan ialah Tuhan kita yang menghidup dan mematikan kita
Bukankah baik kita cintakan Dia, kita beri kasih sayang kepada-Nya
Alangkah patutnya bahkan indahnya kita mencintai satu Zat yang belum kita kenal Dia, jauh sekali mencintai-Nya
Dia telah beri kita hidup, rezeki, kesihatan, hiburan dan lain-lainnya
Kita belum beri kasih sayang kepada-Nya Dia telah pemurah dengan kita, terutama udara
Tanpa kita bayar apa-apa kepada-Nya
Kalaulah kita kenal Dia dan cinta pula dengan-Nya Dia akan beri kita sesuatu yang bersifat rohani dan maknawi pula
Yang bersifat maknawi dan rohani itu lebih mahal daripada kehidupan yang lahir di dunia
Untungnya kekal abadi, kita terima di Akhirat sana di dalam Syurga
Apakah dia?
Iaitu rahmat-Nya
Dia akan anugerah yang lebih besar lagi yang kita akan terima dari-Nya
Hidayah-Nya. taufiq-Nya, iman dan taqwa, cinta-Nya, redha-Nya, keampunan-Nya akhirnya adalah Syurga-Nya
Mengapa kita tidak jatuh hati dengan Zat yang kita tidak cinta pun pemurah-Nya sudah diberi-Nya kepada kita?
Kalau kita cintai Dia lebih besar lagi kita terima redha dan keampunan-Nya
Kita tidak payah jaga Dia, Dialah yang jaga kita
Kita tidak payah tadbir Dia, Dialah yang mentadbir kita
Kita tidak payah menjaga keselamatan-Nya, Dialah yang menjaga keselamatan kita
Bahkan di waktu kita tidur pun Dia jaga kita begitu setia
Mengapa kita beri cinta murahan, yang menyusahkan kita???
Kitalah yang memberinya bukan dia memberi kita
Macam-macam kita memberinya, itu pun dia tidak setia
Alangkah bodohnya kita bahkan malang sekalilah kita kerana ditipunya kita
Di mana akal kita hingga tidak mampu berfikir secara rasional?
Marilah kita merubah sikap untuk menyelamatkan diri kita
Kita cintailah Tuhan, yang Dia memberi kita segala-galanya hidup dan mati kita
Cintakan Tuhan selamat kita ke Syurga
Monday, July 20, 2009
Cinta itu mahal
Aku Ingin Belajar Dengan Diriku Sendiri
Tuhan, aku ingin belajar dengan diriku sendiri
Ajarkanlah aku agar aku dapat ilmu dari kejadianku ini
Aku kaji diri lahirku, aku renung diri batinku
Aku nilai akal fikiranku, kekuatannya, bagaimana ia mendapatkan ilmu, bagaimana ia memproses ilmu
Cara mana dia menyimpan ilmu dan maklumat yang didapati dan bagaimana ia mengeluarkan ilmu dan maklumat itu
Waktu bila ia terangsang menerima ilmu dan maklumat dari yang dilihat, didengar, disentuh dan dirasa
Ketika bila pula ia terangsang mengeluarkan ilmu dan maklumat yang tersimpan itu
Kemudian aku belajar perjalanan nafsu dan peranannya, kehendak-kehendaknya bila ia merangsang, akibatnya, baik buruknya dan kesannya
Aku kaji juga hatiku atau jiwaku, perasaan yang mendatang silih berganti selalu peranannya dan kesannya
Aku kaji jasad lahirku, keadaannya, peranannya, waktu sakit, waktu sihat
Tuhanku... rupanya setiap kejadian yang berlaku pada diriku lahir dan batin, ada hikmah yang tersembunyi
Segala-galanya yang terjadi adalah didikan bagiku
Samada yang berlaku itu nampaknya positif mahupun negeriatif, ada rahsia yang tersirat ia sungguh seni
Aku nilai dengan basirahku secara halus dan teliti semuanya baik bagiku
Lantas aku faham dan mengerti mengapa Engkau lakukan kepadaku
Adakalanya aku senang, adakalanya aku susah
Ada ketikanya aku sihat ada waktunya aku sakit
Adakalanya badanku letih ada waktu badanku gagah dan cergas
Aku kaji perjalanan hatiku selalu, perasaannya silih berganti
Ada masa aku miskin ada masa tiba-tiba aku kaya
Dan berbagai-bagai lagi keadaan yang berlaku padaku silih berganti terutama perasaan hati
Adakalanya aku sedih adakalanya aku gembira
Adakalanya aku benci adakalanya aku suka
Adakalanya hatiku resah gelisah, adakalanya hatiku tenang dan senang/damai
Adakalanya hatiku rasa marah adakalanya hatiku rasa lapang dada
Adakalanya hatiku rasa jijik, adakalanya hatiku rasa biasa sahaja
Adakalanya hatiku pilu adakalanya hatiku riang dan ceria
Adakalanya hatiku rasa malu adakalanya biasa sahaja
Adakalanya aku rasa takut ada ketikanya aku rasa berani
Adakalanya hatiku rasa curiga adakalanya hatiku rasa percaya
Di sini sungguh banyak ilmu yang aku dapat, di sini sungguh banyak rahsia diriku dari-Mu yang aku gali
Rupanya sifat yang sering berubah pada diriku itu menyedarkan aku, bahawa aku adalah hamba-Mu
Kerana sifat hamba atau makhluk adalah berubah-ubah selalu
Di sini aku faham lagi bahawa sifat hamba itu tidak sempurna, sentiasa baru
Rupanya aku hamba-Mu menerima ketentuan dari-Mu
Sungguh Engkau Maha Pentadbir termasuk diriku
Aku faham lagi bahawa aku lemah, hamba memanglah lemah, agar aku selalu bergantung dengan-Mu
Dan seterusnya aku faham apa yang berlaku kepada diriku bukan kehendak aku
Rupanya segala-galanya yang berlaku pada diriku adalah kehendak-Mu
Di sini menunjukkan kelemahanku lagi bahawa sedikit pun aku tidak ada kuasa pada diriku walaupun sebesar habuk atau sebesar debu
Kuasa-Mulah sepenuhnya yang berlaku pada diriku, tidak campurtangan sedikit dariku
Kehendak-kehendak-Mulah yang terjadi ke atas diriku
Menjadikan aku takut kepada-Mu, rupanya takut aku itu kepada-Mu itulah yang Engkau mahu
Aku renung lagi kejadian yang berlaku kepada diriku, apakah rahsianya kejadian itu
Rupanya di waktu susah dan berlaku bala, agar aku sabar supaya aku dapat pahala sabar
Di masa-masa yang lain aku senang, sihat, kaya, agar aku bersyukur, supaya aku dapat pahala syukur
Itulah yang Engkau mahu dariku
Supaya aku dapat kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan
Hikmah yang lain aku dapat faham supaya aku tidak sombong, tidak riyak, tidak megah, tidak bakhil, tidak tamak
Sifat-sifat itu adalah Engkau benci
Aku faham agar aku tidak di dalam kemurkaan-Mu
Begitulah yang aku faham, terima kasih Tuhan Engkau beri aku faham tentang diriku
Setelah aku kaji, renung, analisa diriku lahir dan batinnya, sungguh banyak ilmu yang aku dapat dari diriku ini
Sungguh ajaib dan menghairankanku
Di dalam diriku ada berbagai ilmu, bahkan lautan ilmu, ada ilmu hikmah, ada ilmu tauhid, ada ilmu syariat, ada ilmu tasawuf, ada ilmu akhlak
Ada ilmu yang tersurat, ada ilmu yang tersirat, ada ilmu falsafah, ada ilmu manusia, ada ilmu saikologi, ada ilmu biologi
Ada benih baik, ada benih buruk, terpulang kepada kita yang mana kita hendak suburkan
Patutlah Tuhan mengingatkan kita di dalam satu ayat Al Quran yang berbunyi:
“Di dalam diri kamu apakah kamu tidak menganalisanya.”
Hadis juga ada berkata: “Barangsiapa mengenal dirinya nescaya dia mengenal Tuhannya.”
Ertinya kalau kita perhatikan tentang diri kita sendiri,kita akan mendapat berbagai-bagai ilmu, kita akan takut Tuhan, kita akan cinta kepada-Nya, kita akan sentiasa rasa bertuhan, kita akan rasa kehambaan
Kita akan mendapat sifat taqwa
Sifat taqwa adalah bekalan kita ke Akhirat
Itulah dia keselamatan kita dunia Akhirat
Rupanya di dalam diri kita penuh dengan lautan ilmu kalau kita perhatikan.
Maha Suci Engkau Tuhan, Maha Besar Engkau, sungguh berkuasa Engkau
Penyakit Jemu
Jemu adalah sejenis penyakit rohani, tapi orang tidak anggap penyakit
Jemu ertinya hati atau jiwa sudah sangat benci, selera sudah tertutup tentang sesuatu
Nafsu sudah tidak mendorong ke arah itu
Jemu itu tentulah menimpa berbagai-bagai perkara
Adakalanya di sudut makan minum sahaja
Adakalanya di sudut ilmu
Adakalanya jemu dengan isteri sendiri... ini bahaya sekali
Biasanya berlaku jemu bertemu dengan seseorang yang memang dia sungguh kenal dan tahu
Tidak kurang juga jemu di sudut suatu kerja
Berlaku juga berkawan yang sudah lama bersama
Boleh jadi juga jemu dengan mesyuarat yang pernah selalu dia ikut sama
Boleh juga berlaku seseorang yang berjuang, lalu jemu hendak meneruskan perjuangannya
Boleh berlaku juga jemu dengan hobi yang selama ini menjadi kesukaannya
Tidak kurang juga jemu hendak pulang ke rumah kerana sesuatu
Jadi... jemu boleh berlaku berbagai-bagai perkara pada seseorang manusia
Bila berlaku jemu tertutup pintu hati, nafsu terkunci untuk melakukannya kecuali terpaksa
Kalaulah terpaksa juga membuatnya aduh sungguh terseksa jiwa dan menderita
Jika membuat perkara yang jemu berlama-lama dari muda, umur masih muda cepat jadi tua
Apabila berlaku jemu hendak memulihkan semula amat payahnya
Lebih-lebih lagi kalau ia ada hubungan dengan kerja
Jemu dengan makanan minuman mungkin kerana ia bukan makanan dan minuman asas tapi terpaksa dimakan dan diminum
Kalau makanan asas seperti nasi ia tidak mungkin jemu
Jemu dengan ilmu mungkin belajar sudah terlalu lama
Atau ada matapelajaran yang susah dan bukan pula diminati boleh jemu juga
Berjuang juga boleh jemu
Mungkin jemu itu sudah begitu lama berjuang tidak menang-menang dan berjaya
Atau berjuang boleh jemu kerana ujiannya terlalu berat dan mencabar, boleh jemu juga
Kerja juga boleh jemu kerana terlalu lama dan kerana terpaksa untuk hidup
Boleh jemu kerana suasana tempat kerja sama ada kerana suasana atau orang-orangnya tidak membantu memberi gembira jiwa derita
Atau bos tempat kerja pemarah dan pemberang sahaja
Kasih sayang langsung tidak ada, jemu pun tiba
Pulang itu hanya terpaksa... jiwa derita
Seperti ibu bapa yang pemarah, tidak ada kasih sayang, asyik berleter sahaja
Atau mendapat isteri atau suami buat serba tidak kena.Mudah marah-marah sahaja
Boleh jadi juga dahulu isteri terasa cantik sekarang dirasakan tidak cantik dan menarik
Di luar ramai perempuan yang nampak cantik
Sudah ada yang menggoda dan tergoda
Lihat isteri yang di rumah benci sahaja
Bahkan setengah orang benci dengan masjid
Bukan kerana malas beribadah
Tapi masjid sudah tidak ada ukhwah
Di dalam masjid tidak ada suasana ibadah
Orang ke masjid ibadah ala kadar, cakap-cakap dunia yang meriah
Bahkan di masjidlah tempat mengata dan mengumpat
Beribadah lebih sedikit ada orang tidak senang
Orang melihat lain macam sahaja