//

Tuesday, September 17, 2013

Jangan Abai Tanda Jangkitan Vagina.

Tip-tip untuk semua

Hanya 25 peratus individu alami masalah berjumpa pakar sakit puan

Bukan mudah untuk seorang wanita meluahkan atau berterus terang dengan masalah dihadapi, khususnya membabitkan bahagian alat sulit. Dilema itulah yang menghantui sebahagian besar wanita dalam kehidupan mereka apabila berdepan dengan vaginitis atau jangkitan vagina.

Sungguhpun vaginitis adalah masalah ginekologi yang meluas di Malaysia, perasaan malu untuk menyatakan masalah yang dihadapi begitu menebal, sama ada di kalangan belum berkahwin mahupun wanita yang sudah berumahtangga. Masalah jangkitan vaginitis menjadi lebih rumit ditangani kerana kebanyakan wanita kurang pengetahuan mengenai penyakit itu.

Vaginitis adalah keradangan vagina yang boleh mengakibatkan lelehan, kegatalan dan kesakitan vagina. Lazimnya, ia disebabkan oleh bakteria, protozoa, fungus atau jangkitan campuran serentak dengan sekurang-kurangnya dua daripada tiga patogen berkenaan.

Tiada wanita terkecuali daripada mengalami keradangan atau jangkitan vagina. Ini bermakna, vaginitis dialami wanita pada semua peringkat umur di seluruh dunia termasuk yang sudah mendirikan rumah tangga dan belum berkahwin.

Kajian menunjukkan hampir 80 peratus wanita pernah mendapat jangkitan atau keradangan vagina (faraj) pada satu-satu masa sepanjang hayat mereka.

Bagaimanapun, Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan dan Ginekologi Kuala Lumpur, Dr Raman Subramaniam, berkata dianggarkan hanya seorang dalam setiap lima wanita (25 peratus) berjumpa pakar sakit puan kerana masalah vaginitis. Malah, kebanyakan mereka tidak tahu punca jangkitan.

Beliau berkata, kebanyakan masalah vaginitis juga dikesan bukan kerana wanita berkenaan ingin mendapatkan kepastian mengenai jangkitan itu, tetapi biasanya ketika datang membuat pemeriksaan rutin atau pap smear dan sebagainya. Dalam sesetengah kes bukan wanita itu sendiri yang mengesan jangkitan berkenaan sebaliknya, adalah pasangan.

“Jangkitan vagina atau dikenali sebagai vaginitis adalah masalah yang biasa dialami wanita, tetapi tidak semua mendapat rawatan yang betul sehingga menyebabkan masalah itu berterusan bertahun-tahun.

“Lebih-lebih lagi gejala vaginitis agak mengelirukan dan ada sesetengah doktor yang tidak melakukan diagnosis dengan sempurna seperti mengambil contoh lelehan vaginitis untuk analisis makmal,” katanya ketika pelancaran terapi gabungan vaginitis Neo Penotran yang mengandungi bahan antibakteria metronidazole (500 miligram) dan antikulat miconazole (100 miligram) anjuran Bayer Schering Pharma di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Raman berkata, biasanya diagnosis terhadap jangkitan itu memerlukan pemeriksaan contoh lelehan vagina di bawah mikroskop dan juga kultur, namun keberkesanan ujian bukan saja berbeza dan bukan sentiasa tepat, malah diagnosis sedemikian turut mengambil masa serta boleh meningkatkan kos kepada pesakit secara keseluruhan.

Pada masa sama, wanita yang mengalami vaginitis pula akan terus berasa tidak selesa dan ada kalanya jangkitan boleh bertambah teruk.

“Beberapa faktor mempengaruhi lelehan vagina iaitu umur, perubahan paras hormon dan penggunaan alat perancang kehamilan, haid atau kehamilan. Kadangkala alahan terhadap bahan kimia seperti sabun juga boleh menyebabkan keradangan vagina dan masalah ini akan hilang apabila penggunaan bahan kimia itu dihentikan,” katanya.

Kajian menunjukkan sebanyak 27 peratus kes vaginitis disebabkan jangkitan kulat dan ini diikuti bakteria sebanyak 21 peratus, parasit (lapan peratus) dan lain-lain (tiga peratus).

Bagaimanapun, bukan semua lelehan vagina berpunca daripada jangkitan. Sesetengah lelehan adalah normal jika ia berlaku pada tengah kitaran haid (selepas haid), terutama bagi wanita muda berumur pertengahan 20 atau 30 tahun.

“Seseorang wanita boleh mengalami lebih daripada satu jangkitan pada satu-satu masa. Lebih 30 peratus kes vaginitis membabitkan jangkitan bakteria dan fungus. Walaupun ia masalah biasa, wanita perlu mendapatkan rawatan pakar kerana punca vaginitis tidak boleh ditentukan melalui gejala atau pemeriksaan fizikal saja. Malah, tiada satu gejala khas boleh menentukan jenis jangkitan yang dialami seseorang wanita. Kadangkala gejala menjadi sangat teruk sehingga wanita tidak boleh tidur dan alami kesakitan,” katanya.

Sementara itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan Universiti Wayne State, Amerika Syarikat, Profesor Jack D Sobel, berkata adalah penting bagi wanita peka terhadap tiga penyumbang utama yang menyebabkan vaginitis dan gejalanya supaya mereka boleh membuat rawatan awal dan mendapat rawatan yang betul.

“Kebanyakan wanita menganggap jangkitan vagina begitu sulit dan amat peribadi untuk diberitahu kepada individu lain. Oleh sebab itu ada kecenderungan untuk tidak membincangkan masalah berkenaan dan membiarkannya tanpa sebarang rawatan,” katanya.

Wanita seharusnya menyedari tiga punca utama vaginitis dan gejalanya supaya mereka boleh mendapatkan rawatan sewajarnya. Sungguhpun boleh mengelirukan, gejala yang diperlihatkan tetap menjadi tanda amaran vaginitis.

Rawatan bagi vaginitis kata Dr Sobe, biasanya bergantung pada jenis yang mana satu wanita berkenaan hadapi. Tablet, gel vagina atau krim mungkin rawatan sesuai bagi vaginosis bakteria, manakala tablet metronidazole bagi trikomoiasis.

Vaginitis atrophic (yang terjadi akibat tahap pengurangan estrogen selepas menopaus) biasanya dirawat dengan estrogen dalam bentuk krim atau tablet. Bagi jangkitan yang bercampur, rawatan berkesan bergantung kepada diagnosis yang tepat, tetapi terapi gabungan adalah pilihan paling baik bagi sesetengah kes.

“Sekiranya diagnosis yang tepat tidak boleh atau tidak mungkin dibuat tanpa pemeriksaan kultur vagina, mikroskopi atau penilaian pH ini bermakna, wanita akan terus mengalami keadaan tidak selesa sementara menunggu keputusan ujian makmal. Penyelesaian terbaik ialah memberi preskripsi dengan spektrum luas dan mensasarkan semua tiga punca utama vaginitis,” katanya.

INFO
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelak jangkitan dan menjaga vagina:

1. Selepas mandi bilas sabun pada bahagian luar genitalia (lipatan mengelilingi bukaan vagina dan uretra) betul-betul dan pastikan bahagian itu benar-benar kering bagi mencegah kerengsaan.

2. Galakkan pasangan menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seksual, ia bagi mengelakkan jangkitan merebak melalui hubungan seksual.

3. Pakai seluar dalam daripada material kain kapas dan elak memakai seluar dalam yang lembap serta ketat.

4. Elakkan menggunakan sabun wangi bagi mencuci bahagian sulit, tampon atau penggunaan tuala wanita yang boleh menyebabkan kerengsaan.

5. Selepas menggunakan tandas, sapu dari bahagian depan ke belakang bagi mengelakkan penyebaran bakteria pada vagina.

6. Selepas mengadakan hubungan kelamin dan jika ingin mengelak kehamilan, jangan memancutkan air mani pada faraj.

Wanita dan vaginatis antara perkara yang berkaitan:

Wanita yang menghidap penyakit seperti kencing manis tidak terkawal juga mempunyai risiko tinggi mengalami jangkitan kulat dan masalah ini hilang apabila paras gula dalam darah terkawal.

Apabila mengalami jangkitan, segera jalani pemeriksaan. Pemeriksaan membabitkan soal selidik sejarah jangkitan faraj atau penyakit jangkitan kelamin, ujian rahim atau pH lelehan vagina. Ketika pemeriksaan doktor mungkin perlu mengambil sampel dinding rahim atau lelehan faraj untuk ujian makmal.

Vaginitis tidak menyebabkan kematian, tetapi boleh membuatkan seseorang wanita berasa tidak selesa, sakit pada vagina dan sebagainya.

Jika vaginitis berpunca daripada bakteria, ia boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID) yang seterusnya berpotensi menjejaskan kesuburan dan menyebabkan kehamilan luar rahim.
Jika punca vaginitis adalah gabungan antara bakteria dan trikomoniasis (bakteria yang berada dalam usus) ia boleh menjejaskan kehamilan hingga menimbulkan masalah kelahiran tidak cukup bulan dan bayi lahir dengan masalah kurang berat badan.

sumber;fb
Tip-tip untuk semua

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software