//

Saturday, June 20, 2009

Antara Sebab Seseorang Mendapat Hidayah

Hidayah adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari sanalah sebagai titik tolak seseorang itu masuk Islam.Kemudian dari situ terus dia berusaha untuk mendapatkan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam ajaran Islam.Atau seseorang Islam itu telah terbuka pintu hatinya untuk beramal maka dari situlah dia berusaha untuk mempelajari ilmu Islam dari sumber Al Quran dan Hadis serta mengamalkannya.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.”
(Al An’am: 125)

Kalau seseorang yang belum Islam,belum mendapat hidayah ertinya hatinya belum terbuka untuk menerima Islam atau masuk agama Islam. Begitu jugalah seseorang yang berketurunan Islam, jika hidayah belum didapati ertinya hatinya tidak akan terbuka untuk beramal danmemperjuangkannya.

Setelah berusaha mempelajari dan setelah hati terbuka untuk beramal maka selepas itu mungkin akan mendapat taufik dari Allah Taala.
Ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berbetulan dengan kehendak Allah Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang itu kerana seluruh amalan telah bergabung di situ di antara hidayah dengan taufik. Walau bagaimanapun setakat hidayah itu pun sudah merupakan satu anugerah yang sangat berharga dari Allah Taala yang Maha Pemurah. Ini kerana dari hidayah itu pintu hati telah terbuka menjadi seorang Islam, atau seorang Islam telah terbuka pintu hatinya untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam.

Oleh kerana hidayah satu benda yang berharga, bukan semua orang mendapatnya atau memperolehinya. Walau bagaimanapun,untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam sebab atau ada berbagai-bagai cara yang tidak sama di antara satu sama lain.

Di bawah ini disenaraikan beberapa sebab seseorang itu mendapat hidayah iaitu:

1. Mereka lahir di dalam keluarga yang beragama, maka mereka mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana keluarga. Orang ini agak bernasib baik.

2. Mereka yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Mereka terus mencari dan mengamalkan.Golongan itu amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah.

3. Orang yang di dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.

4. Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji, memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan itu maka akhirnya mereka bertemu dengan kebenaran itu.

5. Golongan yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri majlismajlis agama maka mereka sebahagiannya mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.

6. Golongan yang diuji oleh Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin, atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi. Di situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.

7. Ada golongan yang mendapat kebenaran kerana Allah beri mereka mengalami alam kerohanian seperti mimpi melihat alam Barzakh, mimpi melihat orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat Kiamat atau Allah perlihatkan kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih, dan lain-lain lagi benda yang ajaib. Selepas itu mereka pun kembali kepada kebenaran.

8. Ada orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya-raya, kenderaan yang mewah, harta banyak tapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak-peranda, krisis sering berlaku, kasih sayang tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri, ukhwah tiada. Maka dari peristiwa itu mereka sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup di dunia lagi tidak menjamin mendapat kebahagiaan, apatah lagi di Akhirat kelak.

9. Ada golongan yang mereka sendiri alami kehidupan mewah, serba ada, apa hendak dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai. Hidup di dalam keluarga porak-peranda. Lantas mereka insaf dan sedar, akhirnya mencari jalan kebenaran.

10. Ada golongan yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doanya dikabulkan oleh Allah. Maka Islamlah dia, seperti kisah Sayidina Umar Al Khattab dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.


HIDAYAH DAN TAUFIK KENALAH JAGA
Hidayah dan taufik adalah merupakan intan berlian maknawi dan rohani. Ia adalah sangat berharga. Seperti jugalah intan berlian yang bersifat maddi (material). Sesiapa yang memilikinya,dia dianggap orang kaya dan mulia.

Begitulah orang yang memiliki intan berlian maknawi dan rohani. Dia merupakan orang kaya Tuhan. Dia telah mendapat segala-galanya. Sesiapa yang mempunyainya, hidupnya terpimpin. Akhlaknya mulia.Syariatnya terjaga. Imannya teguh dan bercahaya dan dia menjadi orang yang berbahagia.

Perlu diingat, hidayah dan taufik seperti jugalah barang yang berharga, umpama emas, intan, berlian, ia boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan pelihara sebaik-baiknya agar ia jangan hilang dari kita. Barang yang hilang dari kita, susah hendak memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas pulas berusaha mencarinya. Kalau tidak ia tetap terus hilang dari kita buat
selama-lamanya.

Oleh kerana itulah Allah SWT mengingati kita di dalam Al Quran:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)


MENJAGA HIDAYAH DAN TAUFIK

Bagaimana menjaga dan memelihara hidayah dan taufik agar ia kekal menjadi milik kita atau agar ia tidak hilang dari kita. Di antaranya ialah:

1. Kita syukuri nikmat Tuhan yang paling berharga itu. Kita rasakan bahawa ia adalah nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.

2. Kita istiqamah mengamalkannya dengan tekun serta penuhrasa bimbang kalau-kalau Allah SWT mengambilnya semula atau bimbang kalau Allah Taala tarik semula.

3. Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar. Terutama di waktu-waktu terasa malas hendak mengerjakan kebaikan dan terasa ringan hendak melakukan kemungkaran.

4. Bergaul selalu dengan kawan-kawan yang baik. Ini sangat membantu kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan kita terasa ada kawan.

5. Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Adanya pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat, tunjuk ajarnya serta ilmunya yang diberi dari masa ke semasa.


BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIK DITARIK SEMULA

Hidayah dan taufik kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula dari kita. Di waktu itu kita akan hidup terumbang-ambing. Tiada disiplin, tiada istiqamah,malas beramal, ringan saja dengan maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun punya kekayaan yang banyak dan serbaada.

Di antara sebab-sebab hidayah dan taufik ditarik balik ialah:

1. Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinannya. Di waktu itu kita kehilangan pemimpin. Terumbang-ambinglah hidup kita.

2. Derhaka dengan dua ibu bapa. Kita sia-siakan kedua-duanya.Kita biarkan ibu bapa tidak terurus dan terjaga hingga terbiar kehidupan kedua-duanya. Lebih-lebih lagi kalau dia marah atau rasa tidak senang dengan kita.

3. Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok atau telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan mula cuai, dengan halal dan haram mula tidak ambil kiraakhirnya takut dengan Tuhan perlahan-lahan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya sekali.

4. Menzalim orang lain. Dengan sebab menzalim, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit dicabut. Selepas itu cuai pun datang. Malas beribadah. Kemungkaran dan maksiat sedikit demi sedikit sudah berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam di dalam maksiat.

5. Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat. Kemudian terus terasa seronok dengan kebebasan itu. Kemudian terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu dan selepas itu terus hanyut dengan arus kemungkaran dan maksiat. Takut dengan Tuhan pun lenyap.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software