//

Tuesday, June 30, 2009

SAYURAN DAN KHASIATNYA

Sebenarnya sayuran diperolehi daripada tumbuhan sama ada diambil daripada daun, buah, pucuk, ubi atau batang sesuatu tumbuhan dan boleh dimasak ataupun dimakan mentah sebagai ulaman untuk dijadikan juadah pembuka selera. Disebalik fungsinya yang sebenar, tersirat seribu rahsia yang amat bernilai dalam perubatan.

Cili Merah Hindar Darah Beku
Cili merah atau nama saintifiknya Capsicum annuum yang berasal dari keluarga Solanaceae ini merupakan sejenis cili berisi tebal berwarna merah atau hijau dan mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Ia mengeluarkan buaga kecil yang bertukar menjadi buah pada setiap ranting daun. Cili merah kaya dengan vitamin C, vitamin A dan zat-zat galian seperti besi, kalsium, fosforus, sodium dan potasium. Sayuran ini dikatakan bernilai dari segi kesihatan untuk meredakan kesakitan yang ada kaitan dengan kegemukkan. Ia juga baik untuk pengedaran darah dan boleh mengatasi masalah sakit kerongkong. Cili merah mengandungi sejenis bahan yang menghalang sel-sel darah daripada bergumpal dan sekaligus menghalang sejenis penyakit darah beku yang dikenali sebagai trombosis

Brokoli Hindar Osteoporosis
Osteoporosis adalah sejenis penyakit yang kerap menyerang kaum wanita pada usia 35 hingga 50 tahun. Tanda paling ketara wujudnya penyakit itu ialah sakit kaki dan belakang kerana kekuatan tulang di bahagian berkenaan merosot di bawah tahap yang sewajarnya. Amalan mempertingkatkan kalsium dan mengurangkan protein dan fosforus adalah di antara petua-petua untuk menghindar, mengawal atau mengubati osteoporosis. Pengambilan makanan yang kaya dengan protein boleh menyebabkan tubuh kehilangan zat-zat galian, terutamanya kalsium yang penting untuk pembinaan tulang. Lantaran itu brokoli sejenis sayuran berdaun amat sesuai untuk menghindari penyakit ini kerana kandungan vitamin Knya yang dapat mengurangkan kehilangan kalsium, di samping membantu tubuh badan menyerapnya dengan lebih berkesan

Tomato Cegah Barah Prostat
Tomato, yang dikenali dengan nama sainsnya Lycopersicon esculentum, juga merupakan sejenis sayuran yang digemari ramai. Ia lazat dimakan mentah atau dimasak dalam pelbagai jenis hidangan. Tomato yang juga berasal dari keluarga Solanaceae, kaya dengan zat galian, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan. Ia juga baik untuk melicinkan kulit dan merupakan salah satu bahan awet muda yang penting. Satu kajian terbaru di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pigmen merah yang terdapat pada kulit tomato mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lycopene yang boleh mengurangkan risiko dikalangan kaum lelaki daripada mendapat penyakit barah prostat. Kajian itu juga menyatakan bahawa dengan memakan 10 biji seminggu dapat mengurangkan risiko penyakit itu sehingga 45 peratus

Bendi untuk Kecergasan Otak
Bendi juga merupakan sayur tempatan yang banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas dan lembab. Berdasarkan kajian tempatan yang dilakukan, bendi mengandungi sebanyak dua peratus protein, tujuh peratus karbohidrat dan satu peratus serat. Selain itu bendi juga kaya dengan zat galian dan vitamin terutamanya kalsium. Lantaran itu ia merupakan sayur yang elok untuk perkembangan otak. Dalam bidang perubatan, bendi digunakan sebagai perangsang buangan air kecil, berkesan untuk merawat gonorea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung

Bawang Putih halang Darah Tinggi dan Kanser
Bawang putih telah dikenal pasti dapat memecahkan kolesterol yang menyekat perjalanan darah pada salur darah. Kolesterol inilah yang menjadi punca penyakit darah tinggi. Bawang putih atau Allium sativum nama sainsnya juga membantu menyegarkan pernafasan sekalipun di tempat yang banyak karbon monoksida (asap kenderaan). Sayuran ini juga dapat menghindarkan seseorang daripada diserang kanser kerana kandungan mineralnya membantutkan ketumbuhan tumor dalam tubuh manusia. Di Korea contohnya, peratus pengidap darah tinggi begitu rendah sekali dan ini dikaitkan dengan amalan menjadikan bawang putih sebagai ulam setiap kali mereka makan

Bayam dan Nilai Perubatannya
Bayam sejenis sayuran yang kaya dengan vitamin A, C dan E serta zat besi seperti kalsium, potasium, magnesium, mangan dan zink. Tumbuhan ini yang dikenali sebagai Spinacia oleracea dari segi saintifiknya, berdaun hijau yang lembut dan berbentuk bulat atau bujur. Seperti sayuran lain, bayam bernilai tinggi dalam nilai perubatan. Jus bayam mengandungi zat besi secukupnya untuk mengatasi masalah-masalah yang ada kaitan dengan anemia. Kaedahnya adalah dengan mengisar daun bayam dengan segelas air kemudian diminum dua kali sehari

Kucai Redakan Masalah Senggugut
Kucai sejenis sayuran yang menyerupai pokok bawang berasal dari keluarga lili. Tumbuhan ini tengik baunyan tetapi enak dimakan sama ada sebagai sayur atau ulam. Kucai mengandungi vitamin B dan C, karotin dan komponen belerang. Ia bernilai tinggi dalam dunia perubatan tradisional, khususnya untuk mengubati senggugut, penyakit keputihan, darah tinggi dan sembelit. Kucai juga bertindak sebagai antiseptik untuk membunuh kuman bakteria dalam usus dan menjadi perangsang dalam proses pengecutan dan pengembangan usus. Ia juga melancarkan pengaliran darah, sekali gus menghindarkan pembekuan darah. Caranya sama ada dimakan sebagai sayur atau daunnya ditumbuk hingga lumat dan dikacau dengan air panas lalu diminum. Cara ini amat berkesan untuk menurunkan tekanan darah tinggi, penyakit keputihan serta senggugut

Terong Pipit Untuk Hasilkan Pil Perancang
Terong pipit merupakan tumbuhan liar di Malaysia dan di negara-negara tropika yang lain tetapi negara asalnya adalah Antilles. Biasanya dimakan mentah ataupun dicelur untuk dijadikan ulam. Daripada kajian, terong pipit mengandungi dua peratus protein, 0.1 peratus lemak, 7.9 peratus karbohidrat serta mengandungi banyak fosforus, sedikit zat besi, banyak vitamin A dan C serta sedikit vitamin B1. Menariknya, terong pipit juga mengandungi alkoloid jenis steroid yang dikenali sebagai solasodin dengan kandungan sebanyak 0.84 peratus. Steroid amat penting dalam perubatan, terutamanya untuk menghasilkan pil perancang keluarga. Selain buahnya yang mengandungi banyak khasiat, akar terong pipit juga boleh digunakan untuk mengubati retak pada kulit kaki, mencuci darah dengan meminum air rebusannya, penawar racun ular dan serangga serta menjadi ubat berkesan untuk meredakan sakit perut .

Cekur Penawar Keracunan Makanan
Cekur adalah daripada keluarga herba yang berasal daripada spesies Kaemferia galanga. Ia mengeluarkan enam hingga 12 helai daun yang tumbuh secara berkelompok dan berbau harum. Tumbuhan ini juga berbunga putih dan ungu muda. Daunnya enak dimakan sebagai ulam yang menyegarkan. Ia juga kerap digunakan sebagai sayur atau sebagai ramuan dalam masakan kari di rantau Asia Tenggara. Di Thailand, akar cekur dicampur dengan wiski untuk mengubat sakit kepala. Di Indonesia, cekur digunakan sebagai penawar untuk kes keracunan makanan, tetanus atau terkancing gigi, ulser mulut, barah, batuk dan selesema

Daun Pasli Pulihkan Hipotensi
Pasli, tumbuhan keluarga Umbelliferae lebih dikenali sebagai sayuran. Batangnya lembut serta memiliki daun yang kerinting, kaya dengan vitamin B, C dan E serta zat galian seperti kalsium, magnesium dan klorofil. Air rebusan daripada sayuran yang mengandungi pelbagai zat ini merupakan minuman terbaik untuk pesakit hipotensi iaitu penyakit tekanan darah rendah yang berpunca daripada anemia, kekurangan saraf akibat diabetes, paras gula rendah dalam darah, tiriod yang tidak aktif atau kekurangan zat makanan. Selain itu, pasli juga dikenal pasti dapat meredakan penyakit sengal-sengal tulang, membantu pencernaan makanan dan menguatkan semula otot-otot rahim selepas melahirkan anak

Pudina bantu Penghadaman
Pudina merupakan sejenis herba yang berasal dari keluarga Labiatae. Ia tergolong dalam spesies mentha. Tumbuhan ini mempunyai batang yang bersegi dan dedaun yang harum baunya manakala sesetengahnya mengeluarkan bunga-bunga kecil berwarna ungu muda atau merah jambu. Terdapat berbagai-bagai jenis pudina di seluruh dunia, antaranya Mentha spicata " moroc-can" yang berkesan dalam meredakan kekejangan otot, Mentha xsmithiana "rubra" yang digunakan dalam manisan dan minuman, Mentha aquatica untuk merawat cirit birit, Mentha arvensis, sejenis pudina Jepun yang boleh melegakan selesema dan menghilangkan rasa loya dan Mentha x piperita "crispa" yang boleh menjauhkan tikus.

Kesemua jenis pudina ini juga boleh bertindak sebagai perangsang dan membantu penghadaman serta mengurangkan flatulens. Ia juga bersifat sebagai antiseptik, antiparasit dan anti virus. Pemakanannya boleh meransangkan tubuh badan mengeluarkan peluh. Daun pudina juga digunakan untuk membuat ubat sapu untuk merawat selesema, sakit kepala, kekejangan otot dan sakit-sakit badan manakala minyak yang diperbuat daripada daun pudina boleh menghilangkan rasa loya serta kejutan dan mempertingkatkan konsentrasi

Peria Penawar HIV
Peria atau nama saintifiknya Momordica churantia, sayur hijau seakan timun, merupakan sayur yang paling mendapat perhatian pakar perubatan moden dewasa ini. Berasal dari Selatan China, peria digunakan sebagai salah satu herba dalam perubatan tradisional China. Air rebusan peria digunakan oleh pakar perubatan China untuk merawat penyakit asma dan haid yang terlewat selain untuk menyejukkan bahagian dalaman tubuh, misalnya rasa panas radang. Kini penggunaan peria semakin meluas. Di Asia tenggara, Australia dan Amerika Syarikat, peria kini menjadi bahan penting bagi merawat penyakit leukaemia, HIV dan AIDS.

Biarpun setakat ini belum ada kajian saintifik sepenuhnya dijalankan bagi menguji keberkesanan peria dalam menangani penyakit-penyakit tersebut, terdapat beberapa kes yang menunjukkan bahawa tumbuhan menjalar yang agak pahit rasanya itu boleh membantu menghentikan, dan ada kalanya membalikkan penyakit tersebut daripada merebak. Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel imun) dalam tubuh manusia. Ujian darah untuk menguji jumlah kiraan sel imun adalah perkara paling asas untuk mengetahui perkembangan dan betapa seriusnya tahap HIV dan AIDS. Dalam beberapa kajian yang dijalankan terhadap individu yang mana kiraan CD4 telah menurun ke paras yang berbahaya dan kritikal, didapati kiraan sel CD4 mereka meningkat semula setelah mengamalkan pengambilan peria dalam diet harian mereka untuk jangka masa tertentu. Menurut kajian tersebut, jika jumlah kiraan sel CD4 ini agak pada peringkat awal pengubatan (mengamalkan memekan peria), tahap peningkatan sel imun yang baru adalah lebih memberangsangkan.
Bagaimanapun terdapat juga laporan mengatakan bahawa dalam beberapa kes tertentu, pengubatan cara baru ini juga telah berjaya meningkatkan tahap CD4 terhadap individu yang mana kiraan sel tersebut telah menurun hingga ke paras sifar. Selain dapat meningkatkan sel imun tubuh, peria juga didapati berguna untuk merawat, ataupun mampu mengurangkan, penyakit-penyakit sampingan yang mempunyai kaitan dengan jangkitan HIV seperti arthritis dan "opportunistic infections", misalnya herpes kemaluan, tuberkolisis dan beberapa jenis penyakit kulit, yang menyerang lantaran lemahnya sistem imunisasi tubuh.

Sehingga kini kajian saintifik sepenuhnya atas keberkesanan peria belum dapat dilakukan, kerana faktor kos uji kaji yang terlalu tinggi. Namun ujian secara kecil-kecilan di makmal amat memberangsangkan. Sekumpulan pakar penyeledik di Amerika Syarikat telah berjaya mengasingkan sejenis protein yang terdapat didalam peria iaitu MAP-30. Ia dikatakan mengandungi sifat-sifat anti-kanser sepertimana yang terdapat pada tikus. Selain daripada itu MAP-30 juga mengawal merebaknya penyakit-penyakit virus seperti herpes dan poliomaelitis, dan menghalang penyakit tersebut daripada membiak dan merebak dari satu sel ke satu sel yang lain. Protein-protein lain yang diasingkan daripada tumbuhan jenis memanjat ini juga didapati boleh membantu mengurangkan keguguran dan menghalang pertumbuhan sel-sel kanser. Para saintis dari Itali pula telah mengesahkan bahawa protein daripada peria ini mempunyai sifat-sifat anti-virus.

KESIMPULAN
Jadi, menerusi penerangan yang diberikan, jelas membuktikan bahawa sayuran sememangnya mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Namun begitu kita tidak boleh menyalahkan masyarakat sekarang seandainya mereka memandang remeh tentang kelebihan yang terdapat dalam sayuran memandangkan mereka lebih terdedah dengan perubatan moden. Di sini, peranan kerajaan di samping institusi pengajian tinggi adalah penting dalam membuktikan kelebihannya. Kerajaan seharusnya tidak keberatan untuk menyumbangkan sebahagian kecil daripada pendapatan negara untuk projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan dengan pengkajian nilai perubatan sesuatu tumbuhan khususnya sayuran.

RUJUKAN
Dr. Ong Hean Chooi. 1997. Nutrien Dalam Ulam Penting Untuk Tubuh. Dewan Kosmik. Disember: 36-37.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998. Sayuran Tempatan Memiliki Khasiat Lebih Bernilai. Dewan Kosmik. Jabatan Botani UM, November: 38-39.
Fakhrul Syarikin.. 1998. Peria Sebagai Penawar HIV. Dewan Kosmik, November: 26-27.
Faezah Din. 1998. Masam-masam Tomato. Majalah Wanita, September:33-34.
Penulis Khas. 1998. Memanfaatkan Khasiat Sebatian Fitokimia. Dewan Kosmik. Febuari : 41-43.
Mastika. 1995. Tips Kesihatan. Jun:24.
Mastika. 1996. Tips Kesihatan. April:71.
Mastika. 1998. Tips Kesihatan. Januari:70.
Mastika. 1999. Tips Kesihatan. Mac:85.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software