//

Monday, February 28, 2011

Tips menjadi ayah yang hebat

Tip-tip untuk semua

Fasa baru hidup lelaki selepas menimang cahaya mata, dulu solo, kemudian berkahwin dan sekarang sudah bergelar ayah! Pasti pengalaman berbeza dirasai lelaki tatkala melangkah ke alam perkahwinan. Dan sudah tentulah, bukan mudah mengubah tabiat lama selama hidup membujang dan tiada komitmen.

Andai ketika bersendiri, semua yang dilakukan hanya berpandu kehendak dan gerak hati. Sebaik menjadi suami, senario nyata berbeza. Lelaki yang berkahwin wajib melindungi isteri, menjaga hatinya selain menyediakan segala keperluan keluarga. Begitulah hakikatnya apabila sudah memiliki tanggungjawab besar.

Tiba masa bergelar bapa, lain pula ceritanya. Ketika asyik berseronok mendengar perkhabaran itu, sedarkah anda betapa besarnya tanggungjawab yang harus dipikul jejaka sebaik menerima anggota baru dalam hidup? Lelaki semestinya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memikul tugas baru sebagai ketua keluarga.

Tibanya si comel penyeri hidup, suara dan tawanya pasti melengkapkan hidup lelaki bergelar bapa dan suami. Indahnya mahligai yang dibina dengan kehadiran si kecil tanda kasih sayang anda berdua. Namun berdepan ‘tugas’ baru sebagai bapa, bagaimana agaknya melayan kerenah atau mood si kecil? Meragam, menangis tanpa henti siang atau malam, merengek, menguruskan aspek kebersihan termasuk memandi dan membersihkannya selepas membuang air kecil atau besar serta ketika si kecil tidak sihat?

Sebaik mendapat cahaya mata, inilah masanya bagi suami membuktikan rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada isteri. Bukan sekadar menjaga isteri dan si manja, sebagai ayah, anda harus melakukan lebih daripada itu. Anda perlu mengambil-alih tugas menguruskan rumahtangga selain belajar membancuh susu, memandikan bayi, memakaikan lampin dan paling mustahak, mengorbankan masa tidur anda.

Di sini kita berkongsi tips untuk panduan bakal bapa,ayah,walid,abi,daddy,papa dan lain-lain panggilan kepada 'ayah'

1 - Biasakan berjaga malam

Tiada alasan untuk tidur nenyak dan berdengkur sepanjang malam... :-T Jangan mengharapkan isteri sahaja untuk berjaga, sebaliknya tunjukkan kesungguhan anda untuk bangun bersama dan beri perhatian kepada si comel.

2 - Kejutan kasih sayang

Inilah detik terbaik untuk melakukan kejutan terbesar buat isteri yang telah berkorban bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat anda. Apa kata anda pula yang mengambil peranannya ketika isteri dalam pantang. Mungkin anda boleh mulakan dengan menyediakan sarapan, membantu isteri menguruskan dirinya, menyediakan keperluan si comel dan sesekali hadiahkan bunga tanda kasih sayang.

3 - Ringan tulang

Jika sebelum lahirnya si kecil, anda dimanjakan oleh isteri. kali ini, anda harus beralah dan mengambil alih peranan menjaga isteri dan anak. Memadailah dengan membantu menyediakan makanan, membasuh pinggan atau mengasuh si kecil.


4 - Sedia untuk kotorkan diri

Geli dengan najis si comel? Akurlah hakikat di mana anda harus membersihkan najis bayi dan belajar memakaikan lampinnya. Fikirkan ayah anda juga pernah melakukan perkara yang sama ketika anda masih kecil dahulu. Mungkin agak kekok pada permulaannya, namun, alah bisa tegal biasa. Ikuti cara-cara memandikan si comel dalam entry cara mandikan bayi.

5 - Dapatkan petua orang tua

Ketepikan ego serta sikap tahu seba-serbi. Sebagai ayah muda, anda perlu mendapat banyak nasihat dan petua daripada orang yang lebih berpengalaman. Guru terbaik untuk mendapatkan maklumat ialah ibu bapa serta saudara-mara atau kenalan yang lebih arif mengenai soal penjagaan bayi dan kanak-kanak. Tidak perlu malu kerana maklumat yang diberi akan memudahkan urusan menjaga si kecil.

6 - Buku panduan dan internet

Zaman sudah berubah, dunia semakin maju, banyak maklumat kini terletak di hujung jari anda. Sebagai ayah moden, anda harus menguasai ilu penjagaan awal bayi melalui bahan bacaan serta informasi di internet. Walaupun belum lagi memiliki cahaya mata, tidak salah andai memulakan pembacaan awal.


7 - Sediakan pengasuh

Jika mampu, dapatkan pengasuh untuk meringankan tugas anda dan isteri di rumah. Pengasuh bukan sahaja boleh menguruskan isteri yang sedang berpantang, malah pada masa yang sama boleh menjaga si comel yang memerlukan perhatian hampir 24 jam sehari.


8 - Belajar berhadapan dengan tekanan

Bohonglah jika anda tidak tertekan terutamanya apabila tiba saat si comel 'mengamuk' atau menangis tanpa henti. Jika waktu siang, mungkin anda tidak terasa, tetapi di kala tengah malam, tentu haru biru anda dibuatnya. Usah panik, uruskan saat itu dengan tenang dan penuh motivasi. Selidik punca bayi menangis, mungkin kerana kembung perut atau berasa panas atau mungkin juga kesejukan. Belajarlah bersabar!

9 - Kawal nafsu!

Sudah namanya lelaki, tidak dapat tidak, nafsu selalu bsergelora. Jangan gelojoh dan akurlah pada detik yang sesuai untuk bersama isteri dalam hubungan intimasi. Fikirkanlah yang isteri anda sudah bersusah-payah menggendong si kecil ke sana ke sini selama 9 bulan 10 hari tanpa keluh kesah dan kini dalam pantang pula. Tentulah mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala. Fikirkan juga yang kini ada orang ketiga yang harus diutamakan.

10 - Pastikan tabungan mencukupi

Ayah muda perlu memastikan tabungan sentiasa mencukupi bagi menghadapi saat-saat kecemasan terutamanya bila membabitkan si kecil yang mungkin diserang demam serta perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Peruntukan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk memenuhi keperluan kecemasan si kecil dan isteri sepanjang bergelar ayah.

Apabila anak-anak anda sudah semakin membesar, peranan seorang ayah semakin bertambah. Bagi ayah yang memilik anak-anak yang sedang membesar, ikuti tips yang berikut pula.

11 - Hormati ibu anak-anak anda

Salah satu hal terbaik yang dapat dilakukan ayah bagi anak-anaknya adalah menghormati ibu mereka. Setelah anda melafazkan ijab-kabul, anda wajar menjaga ikatan pernikahan anda agar tetap kuat dan penuh komitment.

12 - Luangkanlah waktu bersama anak-anak anda

Bagaimana seorang ayah meluangkan waktunya dengan anak-anak amat mempengaruhi perkembangan mental anak-anak. Jika anda nampaknya selalu terlalu sibuk untuk anak-anak anda, mereka akan merasa dipinggirkan dan ini mampu menjejaskan perkembangan mereka.

13 - Upayakanlah hak untuk diperdengarkan

Sering kali satu-satunya saat si ayah bersuara kepada anak-anaknya adalah ketika mereka melakukan sesuatu kesalahan. Mulakanlah mendekatkan diri dengan anak-anak dengan berbicara ketika mereka masih kecil. Jika anda biasa meluangkan masa untuk mereka, topik-topik sulit akan lebih mudah ditangani ketika mereka semakin besar. Luangkanlah waktu dan dengarkanlah idea-idae serta persoalan-persoalan mereka. Ingat, mereka kecil hanya sekali.

14 - Disiplinkanlah dengan kasih sayang tanpa syarat

Setiap anak memerlukan bimbingan dan disipli, bukan sebagai hukuman, melainkan untuk menetapkan batasan-batasan yang masuk akal. Ingatkanlah anak-anak anda akan ganjaran bagi perlakuan mereka dan berikanlah imbuhan yang munasabah atas perilaku baik mereka yang seperti kita ingini.

15 - Role model atau idola

Mungkin anda tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya, para ayah adalah role model atau idola bagi anak-anaknya. Seorang anak perempuan yang meluangkan waktu dengan ayahnya akan tumbuh dengan penuh kasih sayang dan tahu apa yang harus dicarinya dalam diri seorang suami, apabila dia dewasa kelak. Seorang anak lelaki yang meluangkan masa dengan ayahnya pula akan menghormati ayahnya. Setiap ayah seharusnya mengajar anak-anak lelakinya apa yang penting dalam kehidupan ini dengan mendemonstrasikan kejujuran, kerendahan hati dan tanggungjawab.

16 - Jadilah guru kepada anak-anak

Tidak dapat dinafikan, terlalu ramai bukan sedikit ayah yang menganggap bahawa mengajar adalah urusan isterinya dan orang lain. Contohnya, guru di sekolah. Jadikanlah anak sebagai amanah dan bukan sekadar anugerah. Seorang ayah yang memahami amanah yang dititipkan Allah Taala akan mengajar anak-anaknya tentang yang benar dan yang salah serta mendorong mereka untuk melakukan yang terbaik. Dengan ini ayah akan melihat anak-anaknya membuat pilihan yang baik dalam hidup mereka.

17 - Makanlah bersama-sama keluarga

Makan sarapan, makan siang, atau makan malam bersama-sama, boleh menjadi bahagian penting dalam kehidupan keluarga yang sihat. Selain memberikan hak kepada ahli keluarga (walaupun anda seorang yang sangat sibuk), ini juga memberi anak-anak peluang untuk membicarakan apa yang sedang mereka kerjakan dan apa yang ingin mereka kerjakan. Hal ini pernah dikupas dalam entry Manfaatkan waktu malam bersama keluarga.

18 - Bacakanlah cerita untuk anak-anak

Mulakanlah membacakan cerita untuk anak-anak semenjak mereka masih kecil. Setelah mereka lebih besar, doronglah mereka untuk membaca sendiri. Menanamkan semangat kecintaan untuk membaca adalah salah satu cara terbaik untuk memastikan anak-anak anda mengalami pertumbuhan peribadi yang lebih cemerlang dalam hidup mereka.

19 - Perhatikanlah kasih sayang anda

Anak-anak berhak untuk mendapatkan rasa tenteram yang tumbuh dari fikiran bahawa mereka diingini, diterima dan dikasihi oleh keluarga. Orang tua terutama para ayah, perlu membiasakan diri memeluk anak-anaknya. Memperlihatkan kasih sayang setiap hari adalah cara terbaik untuk memberitahu mereka bahawa anda sayang kepada mereka.

20 - Sedarlah bahawa tugas sebagai ayah takkan pernah selesai

Walaupun setelah anak-anak besar dan bersedia untuk meninggalkan rumahpun, mereka akan tetap mencari hikmat serta nasihat daripada ayah mereka. Mungkin persoalan bagi meneruskan pendidikan, pekerjaan baru atau pernikahan, para ayah terus memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak mereka.

Diharapkan tip-tips yang disenaraikan di atas dapat menjadi guideline para ayah di luar sana. Kita semua kalut dengan gejala sosial yang melanda masyarakat. Jika setiap ayah dan ibu berganding bahu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna, mungkin krisis sosial dapat dikurangkan di masa hadapan.

Tip-tip untuk semua

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software