//

Friday, May 29, 2009

Kanser Pangkal Rahim

Lindungi isteri anda....

Beri isteri perlindungan kesihatan. Ini cara moden dan paling baik untuk menunjukkan kasih sayang kepada isteri, terutama bagi melindungi mereka daripada serangan barah pangkal rahim — barah kedua paling umum di kalangan wanita Malaysia.

Berdasarkan laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2003, barah pangkal rahim yang juga dikenali sebagai kanser serviks menduduki tangga kedua tertinggi selepas barah payu dara dengan catatan 12.9 peratus daripada semua kes kanser wanita.

Setiap tahun barah pangkal rahim meragut 270,000 nyawa wanita di seluruh dunia atau satu kematian dalam setiap dua minit. Di seluruh dunia, dianggarkan 500,000 kes baru barah pangkal rahim dicatat dan 266,000 kes daripadanya membabitkan wanita di negara Asia Pasifik, termasuk Malaysia. Daripada jumlah ini 143,000 kes berakhir dengan kematian atau satu kematian bagi setiap empat minit.

Barah pangkal rahim mewakili 7.9 peratus kemasukan ke hospital daripada semua kes kanser dan menyebabkan 10.5 peratus kematian di kalangan pesakit barah wanita di hospital kerajaan
“Hakikat ini menyedihkan kerana barah pangkal rahim adalah satu-satunya barah yang boleh dielak,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Datuk Dr Abdul Aziz Yahya.
Katanya, kira-kira 80 peratus pesakit hanya mendapatkan rawatan ketika penyakit sampai ke tahap serius iaitu apabila mengalami gejala seperti pendarahan atau pengeluaran bendalir faraj yang tidak normal, pinggul terasa sangat sakit dan sakit ketika mengadakan hubungan seks.

“Pendarahan selepas mengadakan hubungan seks antara tanda penting barah kian membesar. Oleh kerana tiada tanda atau kesakitan pada peringkat awal barah pangkal rahim, ramai wanita kurang memberi perhatian pada penyakit ini.

“Barah pangkal rahim boleh dikesan melalui ujian lumuran pap (pap smear) yang diperkenalkan sejak 60 tahun lalu. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2003 menunjukkan tahap kesedaran wanita di negara ini terhadap barah pangkal rahim masih rendah.

“Walaupun 90 peratus wanita tahu mengenainya, hanya 55.2 peratus pernah menjalani ujian lumuran pap sekurang-kurangnya sekali. Daripada jumlah ini hanya 32.1 peratus menjalani ujian lumuran pap secara berkala. Malah, ada yang tidak pernah dengar mengenai ujian ini,” katanya.

Yang menyedihkan, ramai berasakan ia tidak penting kerana mereka tidak sakit (23 peratus), tidak pernah dengar mengenai ujian ini (20.3 peratus), sibuk (18.3 peratus), malu (9.8 peratus), takut sakit (9.2 peratus), tidak mendapat cukup maklumat (3.8 peratus) dan lain-lain (15.8 peratus).

Barah pangkal rahim disebabkan jangkitan Virus Human Papilloma (HPV). Walaupun ada lebih 100 jenis HPV ditemui, dua jenis paling kerap menyebabkan barah ialah HPV16 dan HPV18 (70 peratus) selain HPV31 dan HPV45.

Siapa berisiko menghidap barah pangkal rahim?

Semua wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. Lebih cepat seseorang wanita terdedah kepada aktiviti seks, lebih awal dia mendapat jangkitan. Lebih kerap dia melakukan hubungan seks, risikonya lebih tinggi kerana dia boleh mendapat jangkitan berulang.

Sebenarnya semua wanita terdedah pada jangkitan HPV, tetapi biasanya sistem imun badan dapat menghapuskannya dalam masa satu atau dua tahun. Namun dalam sesetengah keadaan, virus ini terus tinggal dalam badan sehingga wanita tua tanpa menyebabkan barah.

Virus akan membiak dan mula menyebabkan barah apabila sistem imun badan lemah. Proses ini mengambil masa lama; antara lima hingga 10 tahun untuk membentuk fasa pra kanser. Dari fasa ini ia mengambil masa lima hingga 10 tahun lagi untuk menjadi kanser. Ini sebabnya wanita disaran menjalani ujian lumuran pap yang boleh mengesan kehadiran sel kanser dari peringkat awal.

Kini ada cara lebih baik untuk melindungi wanita daripada barah pangkal rahim, iaitu melalui suntikan vaksin. Jika sebelum ini suntikan vaksin diberi sebelum seseorang wanita terdedah pada aktiviti seks (dari umur sembilan hingga 26 tahun) kini julat perlindungan vaksin baru lebih luas iaitu untuk semua wanita daripada 10 hingga 45 tahun.

“Ini bermakna wanita yang mengadakan hubungan seks dan ada anak masih boleh mendapat perlindungan daripada barah pangkal rahim. Pakar perubatan kini meletakkan vaksin sebagai perlindungan pertama barah pangkal rahim supaya wanita tidak dijangkiti HPV, diikuti ujian lumuran pap.

“Walaupun ada perlindungan vaksin, wanita perlu menjalani ujian lumuran pap secara berkala (setiap satu atau dua tahun). Ia perlu dilakukan secara seiringan kerana profil risiko barah berubah pada setiap orang,” kata Dr Abdul Aziz pada pelancaran Cervarix, vaksin baru penentang barah pangkal rahim anjuran GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd.

Vaksin ini mempunyai antigen bagi melawan jangkitan HPV16 dan HPV18 yang bertanggungjawab menyebabkan lebih 70 peratus kes barah pangkal rahim di seluruh dunia.

Rumusan khas ASo4, sejenis sistem adjuvan berfungsi meningkatkan tindak balas imun dan melanjutkan tempoh perlindungan daripada jangkitan HPV.

Berdasarkan kajian klinikal, didapati tahap imun wanita yang diberi suntikan vaksin terhadap jangkitan HPV kekal tinggi sehingga 5.5 tahun dan lebih menarik, ia turut memberi perlindungan silang terhadap HPV31 dan HPV45.

Bila waktu terbaik untuk mendapatkan suntikan?

Secara praktikal, waktu terbaik mendapatkan suntikan ialah sebelum melakukan hubungan seks buat kali pertama. Suntikan diberi dalam tiga dos iaitu pada bulan pertama, kedua dan keenam.

Bagaimanapun, bagi wanita lebih berusia, sudah berkahwin dan ada anak, vaksin ini dapat memberi perlindungan daripada jangkitan masa depan. Lebih penting, ia juga dapat melindungi fasa pra kanser daripada terus berkembang kepada fasa kanser.

“Jangan tunggu sehingga ada tanda penyakit untuk mendapatkan pemeriksaan. Barah pangkal rahim tidak hanya menjejaskan kualiti hidup wanita, malah mempengaruhi kehidupan seisi keluarga, termasuk suami dan anak,” katanya.

Kajian LPPKN
- Tahu mengenai kewujudan ujian lumuran pap — 90 peratus
- Pernah menjalani ujian sekurang-kurangnya sekali — 55.2 peratus
- Menjalani ujian secara berkala — 32.1 peratus

Alasan yang diberi
- Berasa tidak penting kerana tidak sakit — 23 peratus
- Tidak pernah dengar mengenai ujian ini — 20.3 peratus
- Sibuk — 18.3 peratus
- Malu — 9.8 peratus
- Takut sakit — 9.2 peratus
- Tidak mendapat cukup maklumat — 3.8 peratus
- Lain-lain — 15.8 peratus

Antara halangan ;
- Kurang pendedahan
- Masalah ekonomi dan logistik (rumah terlalu jauh dari hospital)
- Kurang sokongan suami
- Terlalu ramai anak dan tiada orang boleh menjaga mereka ketika ibu ke hospital

* dipetik dari akhbar

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software