//

Saturday, February 27, 2010

Kaedah Membenteng Iman

Tip-tip untuk semua

6mm Rubber Wood Prayer Beads - Muslim RosarySebutir biji benih yang kita semai, yang kita harapkan ia tumbuh dan membesar dan seterusnya berbuah, mestilah di pagari, untuk mengawalnya dari serangan musuh-musuhnya. Tanpa pagar yang kukuh dan sempurna, musuh-musuh tanaman akan merosakkan biji benih yang kita semai itu dan kita tidak akan memperolehi hasilnya lagi. Di waktu itu janganlah disalahkan musuh-musuh itu, tetapi salahkanlah diri sendiri yang tidak menjalankan tugas mengawal tunas yang tumbuh. Dan banyak lagi bentuk serangan perosak yang katogeri halus akan menyerang 'pokok' yang kita tanam saperti ulat daun,semut, anai-anai, kutu daun, hatta sudah berbuah pun masih di rosakkannya buah tersebut kalau kita tidak jaga.. saperti ulat buah, kutu buah. Dari itu bukan sekadar pagar yang perlu di bina, racun serangga perosak juga perlu. dan kalau berbuah, setidak tidaknya mesti di balut dengan surat khabar atau plastik untuk menjamin buah akan selamat membesar seterusnya masak dan boleh di makan hasilnya.

Demikian satu ibarat yang boleh difahamkan bahawa iman itu sesudah diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentenginya daripada serangan musuh-musuh yang akan merosakkan iman. Tanpa pagar atau benteng yang kukuh, pasti iman akan terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan. Di antara benteng iman itu ialah :

* Yakin
* Ikhlas
* Mengerjakan amalan sunat
* Istiqamah beramal
* Bertatasusila atau berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah

Yakin

Benteng yang pertama dan terpenting ialah yakin. Adapun sebabnya mengapa kita perlu yakin kerana dengan yakinlah yang menjamin sahnya iman seseorang. Apa yang hendak kita yakinkan. Itulah segala rukun iman yang enam dan segala hal yang berkaitan dengannya. Meyakini perkara rukun iman itu adalah syarat penting untuk sahnya iman. Jikalau satu perkara sahaja yang tidak di yakini, walaupun yang lain diyakini, ianya akan membawa kepada rosaknya iman. (rujuk bab Perkara yang boleh merosakkan iman).


Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu wajiblah kita belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata. Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk ragu-ragu dan mewas-waskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita akan terperangkap di dalam perangkap syaitan. Dan jikalau kita kita terperangkap di jalam jerat syaitan di dalam soal-soal keyakinan, maka hapuslah segala pahala amal dan hapuslah iman. Jikalau terjadi demikian, maka matilah kita sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di dalam neraka.

Untuk mengelak dari terjebak dengan nasib seburuk itu, eloklah dari sekarang diusahakan mendirikan benteng iman yang paling utama ini iaitu Yakin. Untuk itu perlu ada ilmu. Iaitu mempelajari ilmu Tauhid yang menjadi ilmu fardhu ain untuk kita pelajari. Kerana dengan ilmu Tauhid sahajalah kita dapat menolak segala hasutan syaitan yang tidak pernah putus asa berjuang menghapuskan iman kita.

Ikhlas

Benteng iman yang kedua ialah Ikhlas. Seperti yakin, ikhlas juga sangat penting. Tanpa ikhlas, sesuatu amalan akan tertolak. Amalan yang lain kalau ikhlas akan diterima oleh Allah. Ikhlas ialah meniatkan sesuatu yang dilakukan atau yang ditinggalkan kerana Allah. Kalau tidak diniatkan sesuatu yang kita lakukan itu kerana Allah , maka amalan tersebut itu tidak di anggap ikhlas dan tertolak serta tidak ada nilaiannya disisi Allah.

Ikhlas itu yang sebenarnya adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Tetapi walaupun ia rahsia, namun Islam ada membuat garis panduan untuk kita mengukur hati kita dan membentuk kita agar benar-benar ikhlas. Caranya, orang puji atau keji pada kita, kita rasa sama sahaja. Pujian tidak membanggakan danm kejian tidak mengecewakan kita. Itulah tanda ikhlas. Bagi orang yang beramal dan melakukan kebaikan, tidak mengharapkan pujian dan tidak berkesan segala kejian itulah ikhlas. Bagi orang yang ikhlas, mereka tidak mengharapkan sesuatu melainkan keredhoaan Allah. Pandangan dan pujian manusia langsung tidak diendahkan. Pernah suatu ketika di dalam peperangan, Sayidina Ali k.w.j diludahi mukanya oleh seorang musuh, terus dilepaskan peluang untuk membunuh musuh tersebut. Bila ditanya kenapa dia melepaskan musuh tersebut sedangkan musuh itu telah meludah mukanya. Maka dijawab oleh Sayidina Ali " Aku takut kalau-kalau pukulanku sesudah ludahnya itu adalah kerana marah bukan kerana Allah." Demikian contoh orang yang ikhlas yang sanggup mengenepikan kepentingan diri dalam usaha mencari keredhoaan Allah.

Untuk mendapatkan ihklas bukannya mudah. Tanpa usaha yang sungguh-sungguh melawan nafsu dan syaitan, ikhlas tidak akan kita dapati. Syaitan telah bertekad untuk menghancurkan kita. Ingatlah janji Iblis ketika dihalau Allah s.w.t dari syurga yang difirmankan oleh Allah di dalam Al Quran :

"Jawab Iblis : Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas dikalangan mereka." ( Sod : 82-83 )

Syaitan akan menyelinap di dalam hati setiap manusia untuk merosakkan amalan dengan rasa ujub dab riak. Orang yang tidak mempunyai ikhlas sekalipun tuan guru, ustaz ustazah,, kadhi, imam apalagi orang biasa, pasti Allah biarkan mereka itu terperangkap di dalam jerat ujub dan riak yang merupakan jerat syaitan dan nafsu. Bila Allah biarkan yang sedemikian, maka nerakalah tempat kembalinya. Oleh itu hati-hatilah di dalam melakukan setiap amalan dan pohonlah pimpinan Allah agar setiap amalan yang kita lakukan itu adalah untuk Allah semata-mata bukan untuk kepentingan diri dan nafsu kita.

Mengerjakan Amalan Sunat

Selain daripada itu, kita hendaklah banyak melakukan amalan-amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca Al Quran, bersedekah untuk menguatkan iman kita. Selain kita mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyakkan amalan sunat kerana :

1. Amalan sunat itu menyempurnakan amalan wajib kita
2. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga

Di dalam kita melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangat sampai melalaikan perkara yang wajib. Contohnya ; kerana hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat atau tertinggal sembahyang subuh. Atau banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturrahim sesama manusia. Kerana bersilaturrahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dahulu.

Kerana itu banyak kita lihat mereka yang banyak melakukan amalan-amalan sunat tetapi masih terlibat dengan maksiat. Ini adalah tertipu kerana meninggalkan maksiat itu lebih utama dari melakukan amalan sunat. Kalau kita sembahyang tahajud tetapi masih melakukan maksiat, maka lebih baiklah tidak tahajud asalkan tidak melakukan maksiat. Ertinya amalan sunat itu tidak ada nilainya disisi Allah, jikalau kita masih menderhakaiNya.

Istiqamah Beramal

Sikap istiqamah (tetap) beramal itu adalah merupakan salah satu dari benteng iman. Seseorang yang telah memiliki sifat ini akan dapat mengawal imannya daripada dicelahi oleh musuh-musuh iman yang hendak merosakkannya. Yang penting di dalam beramal ibadah ialah mengekalkan amalan itu (istiqamah) walaupun sedikit.
Sabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik amalan itu ialah amalan yang kekal walaupun sedikit."

Di dalam satu hadith Qudsi Allah s.w.t berfirman : "Hai hambaKu, mengapa kamu berasa jemu beramal sedangkan Aku tidak pernah jemu memberi pahala kepadaMu."
Musuh kita iaitu syaitan dan nafsu, tidak pernah rehat dan jemu untuk menghancurkan kita, maka dengan istiqamah, barulah seimbang pertahanan kita terhadap musuh. Ertinya kita juga tidak rehat di dalam mempertahankan iman kita. Banyakkan melakukan ibadah dan kebaikan walaupun sedikit kerana kita tidak tahu mana satu amalan kita yang Allah nilai.

Bertatasusila Dan Bertertib Di Dalam Melakukan Ibadah


Di dalam beribadah, kita perlu bertatasusila dan bertertib kerana itu adalah adab sopan kita melakukan ibadah kepada Allah. Perkara ini sangat penting di dalam kita melakukan ibadah kerana telah sepakat ulama’ tasawwuf mengatakan :

"Yang banyak menjauhkan seseorang hamba itu dari Allah bukan kerana tidak cukupnya ilmu dan amal tetapi kerana kurangnya adab di dalam melaksanakan ilmu dan amal."

Bayangkanlah kita berhadapan dengan raja dengan bercekak pinggang dan bersuara tinggi, tentu kita akan dihukum oleh kerana kurang ajarnya kita dengan raja. Cuba bayangkan kita dengan raja sekalian raja iaitu Allah s.w.t yang hita sembah dan hadapkan muka kita didalam sembahyang, kita lalai kepadaNya. Kita berjanji " sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam." Di dalam doa iftitah, tetapi selepas sembahyang dengan selamba dan muka tak malu, kita memungkiri janji kita kepada Allah s.w.t. Kerana itu semakin kita melakukan ibadah, semakin jauh kita dengan Allah.

Semakin banyak sembahyang, semakin banyak maksiat yang kita lakukan. Ini adalah berpunca dari kurangnya adab kita dengan Allah s.w.t. Kerana itu perlulah kita menghalusi ibadah dan akhlak kita di dalam kita berhadapan dengan Allah s.w.t dan berhadapan dengan makhluk ciptaannya. Kerana barangiapa yang mengasihi makhluk di bumi, maka dia akan dikasihi oleh penduduk langit.

Tip-tip untuk semua

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software