//

Tuesday, October 6, 2009

Perihal Berdoa

Tip-tip untuk semua

D
oa ialah satu ucapan permohonan dari hamba-Nya kepada Allah SWT dengan rendah diri dari hati yang jujur dan ikhlas bagi mendapatkan rahmat, inayah dan pertolongan-Nya atau menolak segala bahaya, bala dan bencana dengan cara dan adab yang tertentu.

Berdoa merupakan salah satu ibadah, iaitu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu ibadah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, penuh tawaduk dan tertib

Dengan demikian, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan ruh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah SWT. Sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, pada suasana yang baik dan dilakukan di tempat yang betul.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang mukmin seperti diperintahkan- Nya kepada rasul.
Firman-Nya: Wahai rasul, makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mukminun, ayat 51)

Firman Allah lagi, “Wahai orang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).

Kemudian Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa, “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!”, padahal makanannya daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya? (Hadis riwayat Muslim)

Adab berdoa

Kita banyak berdoa.....
tetapi adakah Allah menerimanya?
Sudah kah kita fikirkan kenapa doa kita tidak di terima?
Kalau tidak di terima kecewakah kita?
Sudah kita berbuat sesuatu untuk doa kita diterima Allah?
Adakah kita telah mengikut adab-adab berdoa sebaik mungkin supaya doa kita diterima Allah?

Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab serta syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah.

Setiap doa yang hendak dibaca hendaklah mempunyai sifat dan tujuan yang baik.
Doa yang diucapkan sebaik-baik hendaklah dalam keadaan dan cara seperti berikut:

* Mengetahui tujuan berdoa atau apa yang hendak dipohon dari Allah SWT.
* Doa dibaca dengan betul dan tepat sebutan mahrajnya.
* Doa dibaca dengan suara yang jelas dan sederhana (tidak terlalu laju).
* Doa dibaca dengan suara yang sesuai (tidak terlalu kuat dan sebaliknya).
* Doa dibaca dengan penuh rasa khusyuk dan tawaduk kepada Allah SWT.

Antara adab-adabnya adalah seperti berikut :

1. Pastikan makanan, minuman dan pakaian, adalah dari sumber yang halal. Memakan makanan halal dan baik adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insya-Allah segala yang dimohon akan dikabulkan Allah.

2. Ikhlas dengan Allah semasa berdoa. Ikhlas ini maksudnya, buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan larangan-Nya. Ikhlas bukan sahaja untuk berdoa sebenarnya dalam segala ibadah dan perlakuan kita.

3. Seeloknya didahulukan dengan wudhuk. Sekiranya kita tidak boleh berwudhuk masih juga boleh berdoa.

4. Digalakkan solat sunat 2 rakaat dahulu sebelum berdoa.

5. Mengadap kiblat semasa berdoa.

6. Membuka telapak tangan dan angkat paras bahu semasa berdoa.

7. Berdoa dengan suara yang perlahan dan lembut. Kita bukan menyeru pada yang tuli atau yang jauh, Allah mendengar apa yang kita pinta. Berlemah-lembutlah dengan Allah semasa berdoa tu. Suara tidak terlalu keras dan tak terlalu perlahan.

8. Jangan terburu-buru dengan Allah. Kita meminta dengan berdoa, kita mesti bersangka baik dengan Allah bahawa doa kita sentiasa didengari dan dimakbulkan.

Ada 3 cara Allah makbulkan doa kita:
a) Dengan serta merta
b) Ditangguhkan untuk dimakbulkan di hari akhirat
c) Dijauhi kita dari mara bahaya dan bala bencana.

9. Dahulukan meminta doa untuk diri kita sebelum kita mendoakan orang lain.

10. Meminta doa dengan bersungguh-sungguh. Jangan berdoa seperti ini, “Ya Allah, berikanlah aku petunjuk jika Engkau suka”, sebab Allah boleh buat apa yang Dia mahu, kalau kita berkehendakkan sesuatu mesti bersungguh-sungguh meminta dengan Allah.

11. Jangan sombong dengan Allah semasa berdoa. Kita banyak berdosa, jadi digalakkan kita menyebut kesalahan kita semasa berdoa. Seperti Nabi Adam semasa berdoa, baginda berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diri aku.....”

12. Ulangi hajat kita sebaiknya sebanyak 3 kali ketika berdoa.

13. Jangan berdoa tentang perkara yang haram (seperti nak minum arak, nak menang judi) atau untuk memutuskan silaturrahim. Selagi kita tidak berdoa ke arah ini, insya Allah doa kita akan dimakbulkan dengan salah satu cara macam dalam no 8.

14. Berdoalah untuk hajat yang dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya. Setiap apa yang kita pinta pastikan kita pinta dari Allah. (contoh: nak cepat dapat jodoh atau nak naik pangkat dan lain-lain)

15. Jangan berdoa kepada perkara yang mustahil (contoh: ketul emas di bawah bantal apabila bangun tidur). Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.

16. Seorang imam, tidak boleh hanya meminta doa untuk dirinya sahaja. Mesti menggunakan perkataan yang merangkupi semua jemaahnya.

17. Berdoa dengan bertawassul (perantaraan) dengan orang alim. Dahulu, sahabat nabi bertawasul dengan Saidina Abbas (bapa saudara Rasulullah). Selepas Abbas meninggal dunia, sahabat-sahabat bertawasul dengan Rasulallah sahaja.

18. Bertawassul dengan perbuatan baik kita apabila berdoa. Misalnya jika kita dalam kesusahan yang teramat kita boleh berdoa sambil bertawassul dengan perbuatan baik yang pernah kita buat dahulu. Seperti, mendahului memberi makan kepada ibu bapa sebelum mamberi anak-anak dan keluarga makan.

Tempat berdoa

Tempat yang diharuskan berdoa antaranya ialah di tempat-tempat perhimpunan yang bertujuan untuk kebaikan seperti masjid, dewan, madrasah, rumah kediaman dan tempat terbuka (seperti padang).

Manakala yang tidak diharuskan berdoa ialah di tempat yang terdapat patung manusia atau haiwan, gambar-gambar atau lukisan yang tidak sopan yang terkeluar dari akhlak Islam.
Begitu juga di tempat-tempat yang mengandungi acara atau aktiviti yang berunsur maksiat, ditegah atau bertentangan dengan Islam seperti majlis tari menari atau yang seumpama dengannya.

Saat-saat doa paling mustajab

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, “Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud, pasti doamu diperkenankan Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)

Postur sujud ialah menungging dengan meletakkan kedua tangan, lutut, hujung kaki, dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta para malaikat bersujud kepada nabi Adam a.s. bererti inilah tingkat tertinggi dari sebuah penghormatan.

Sujud hanyalah untuk Allah SWT. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita bahawa tingkat paling tinggi dari rasa hormat adalah “Sujudlah pada-Ku”. Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud.

Itulah sebabnya mengapa umat Islam berbeza daripada umat agama lain. Mereka meletakkan dahinya atau kepalanya yang paling mulia ke tanah. Hal ini sekaligus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar yang mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Kesimpulannya

Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat apa yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut.” (Surah al-A'raf , ayat 55)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Semoga segala doa kita dimakbulkan Allah SWT. Amiin.

Dalam dakwah tiada istilah COPYRIGHT... . Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah SAW telah pun bersabda yang bermaksud, "Balighu anni walau ayah. (sampaikan daripada ku walau satu ayat)"– Hadis Riwayat Bukhari

Tip-tip untuk semua

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software