Tip-tip untuk semua
Antara faktor yang menyebabkan suami isteri bergaduh dari masa ke masa ialah kerena mereka tidak menggunakan teknik-teknik yang betul untuk berdamai. Pakar-pakar komunikasi interpersonal memberi panduan bagaimana cara untuk mencapai perdamaian yang tahan lama.
1. Jangan merajuk
Sejak masik kanak-kanak lagi, perempuan sudah pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka hendak. Perbuatan merajuk ialah sejenis tingkah-laku manipulatif, atau putar-belit. Ramai isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan untuk memaksa suami mengalah. Apabila bergaduh, jangan suka merajuk.
Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah. Malah ia boleh memburukkan lagi masalah yang ada. Walaupun dengan cara merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia
akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah bila mereka hendak berdamai. Ini disebabkan si suami tahu bahawa dia sedang dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Orang yang menganggap dirinya dihukum tidak mempunyai dorongan untuk memulakan proses berdamai.
Manakala orang yang menghukum tidak mahu berdamai selagi dia belum menang. Isteri-isteri berani merajuk kerana dia yakin suaminya akan mengalah dan memenuhi kehendaknya. Dengan itu, maka menanglah si isteri. Tetapi itu adalah keyakinannya sahaja. Banyak perbuatan isteri adalah berdasarkan keyakinan palsu. Lain kali, bila dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan dirinya sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum oleh isterinya sendiri.
2. Jangan menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak yang satu lagi.
Lelaki dan wanita mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk "menarik diri" di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.
3. Jangan berdusta
Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri pun mahu berdamai juga, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong bersedia untuk melupakan usaha berdamai.
4. Jangan mencari salah
Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Di sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati orang itu. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.
5. Berhentikan bahasa negatif
Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada menggunakan bahasa negatif. Antara contoh-contohnya;
"Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu." (tuduhan)
"Kenapa abang tak mahu dengar nasihat saya?" (tuduhan)
"Ini salah awak juga." (tuduhan)
"Kalau awak baik dan sayang kepada anak isteri, kita takkan selalu bergaduh." (tuduhan)
"Abang tak guna langsung." (celaan)
"Awak tak senonoh!" (celaan)
"Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga." (celaan)
"Awak tak sedar, diri awak tu siapa." (celaan)
Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.
6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok
Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah tentang apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan "dahulu" dan "semalam" daripada kata-kata kita. Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh menyelesaikan "dahulu" dan "semalam".
7. Senyum semula
Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.
8. Mulakan berdamai
Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti bahawa kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai kata orang itu menolak usaha kita, kerana dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya kita
telah berusaha untuk berdamai, jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.
9. Kenal pasti punca masalah
Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang
suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya, dan konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi untuk mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan. Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagi label kepada perbuatan orang itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia telah lakukan sehingga tercetusnya konflik.
Contohnya;
a. "Awak tak bertanggungjawab." (x)
"Saya mahu supaya saya diberi wang belanja dapur yang cukup tiap-tiap bulan." (/)
b. "Awak degil." (x)
"Saya mahu supaya cakap saya didengar dulu sebelum awak bantah." (/)
c. "Awak sudah bosan dengan saya." (x)
"Saya mahu supaya saya diberikan sedikit perhatian, jadi saya tak berasa diri saya diabaikan." (x)
10. Kenal pasti perubahan
Terangkan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan. Oleh kerana konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah-laku itu. Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah tingkah-lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah-laku yang mana satu yang mesti diubahnya.
Sebagai contoh, perkataan biadab di dalam ayat "Awak biadab." mempunyai makna yang kabur, kerana perkataan itu tidak memberitahu dengan tepat perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi, sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan bagaimana dia hendak mengubah tingkah-lakunya kepada yang "tidak biadab".
Contoh;
a. "Jangan biadab pada saya." (x)
"Jangan menengking saya." (/)
b. "Jangan suka tunjuk gaya." (x)
"Tak payahlah awak belajar main golf." (/)
c. "Jangan pemalas." (x)
"Jangan selalu tidur siang." (/)
d. "Layan saya dengan betul." (x)
"Jangan paksa saya makan nasi bungkus selalu." (/)
e. "Jangan syirik." (x)
"Jangan bomohkan saya." (/)
Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari sebagaimana manusia perlu belajar cara berlari menggunakan teknik-teknik yang betul.
Tip-tip untuk semua
No comments:
Post a Comment