Tip-tip untuk semua
Petikan : Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu.
Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita tolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyatlah yang akan dihadapinya
-----------------------------------------------------------------------
Bismillahirrahmanirrahim.
Anak-anak yang dikasihi sekelian,
Alhamdulillah, kita teruskan program kita. Moga-moga Allah beri kita ilmu untuk jadi panduan, bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah. Moga-moga hati kita ini jadi wadah yang boleh menerima ilmu-ilmu.
Soalan: Benarkah Bismillah sebagai ayat pertama Fatihah itu ikhtilaf?
Jawapan saya, itu bukan ikhtilaf. Bismillah itu sangat besar maksudnya, tidak boleh dikatakan ikhtilaf. Kalau kita mengaji ilmu tafsir, tujuh ayat dalam Al Fatihah itu dirangkapkan 2-2. Seperti bentuk sajak. Hujungnya disamakan,mim dengan nun, akhirnya dipasang-pasangkan.
Tujuh ayat Fatihah itu jangan kita anggap sebagai kebetulan.Agar hidup ini dipandang berat dan supaya tidak disia-siakan, janganlah kita anggap semua itu kebetulan.
Tawaf, perjalanan antara Safa dan Marwah juga 7 kali.Semua hal-hal yang berhubungkait dengan manusia, Tuhan ciptakan dengan bilangan tujuh.
Maha Suci Tuhan yang mentakdirkan Al Quran yang mempunyai 6,666 ayat, diringkaskan kepada 7 ayat yang menjadi satu matan. Yang mana Allah menetapkan bahawa 7 ayat itu sama dengan 6,666 ayat Al Quran. Maha Hebat Allah. Mengapa Allah berbuat begitu adalah diluar kemampuan kita untuk memahaminya.
Apa istimewanya angka 7 itu?
Cuba kita fokus kepada 7 ciptaan lain yang mana ia bukan merupakan huruf atau ayat tetapi bersifat maddi atau maknawi...ada 7 anggota badan, 7 langit, 7 syurga, 7 neraka, 7 hari dan 7 nafsu.
Hari juga diciptakan 7, tidak 8 atau 9. Mengapa tujuh? Allah yang Maha Tahu rahsianya. Itu manusia tidak boleh menjawabnya. Allah juga memilih untuk membuat anggota badan itu tujuh. Semua ciptaan-ciptaan yang berkait rapat dengan pengendalian hidup manusia, Tuhan samakan dengan Al Fatihah, ummul Kitab ini.
Cuba kita lihat nafsu yang ada 7 peringkat. Manusia akan bermula dengan paling jahat kepada paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya.Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk study dan praktikan berkaitan nafsu, manusia akan mampu membawa dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan pernah menjadi seorang yang bernafsu amarrah, pernah mencapai tahap nafsu lauwamah, mulhamah, mutmainnah,radhiah dan paling tinggi akan sampai ke mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai ke nafsu kamilah yakni nafsu yang paling atas.
Manusia biasa boleh menjangkau sampai mardhiah kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.
Setakat kita ini jika mencapai tahap mulhamah pun sudah OK, kalau boleh pergi sampai ke mutmainnah, itulah yang terbaik untuk kita.
Bagaimana untuk kita mengendalikan nafsu kita supaya sampai jadi taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan dapat merasai bagaimana dia merangkak dari satu tahap ke satu tahap.
Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi sangat berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya. Tetapi untuk itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ayat Al Quran terlalu banyak namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita tumpukan kepada tujuh ayat sahaja.
Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita menguasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka dengan cara itulah sahaja kita boleh mengendalikan nafsu kita.
Yang sebenarnya kalau kita boleh menguasai 7 ayat itu,kita boleh sampai ke peringkat ke tujuh nafsu kita yang mana nafsu itu kita boleh tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh berbuat hingga sampai peringkat ke tujuh itu. Rasulullah SAW boleh tetapi setakat kita yang hari ini makna Fatihah pun belum boleh faham, rasanya tidak sempat untuk kita sampai ke peringkat itu. Jika dapat peringkat mulhamah pun sudah cukup.
Allah menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan 7 ayat dari surah Al Fatihah itu. Allah menetapkan, kekuatan 7 ayat Al Fatihah itu boleh mengendalikan 7 peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama.
Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta 7 ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan 7 peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah wujudkan nafsu itu 7 peringkat. Kita lihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumi kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam 7 ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan 7 peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan.
Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu.
Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita tolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyatlah yang akan dihadapinya.
Sayangnya universiti-universiti tidak menetapkan ini untuk dikuasai.Hari ini orang hanya belajar bagaimana untuk menguasai lombong bijih dan minyak. Mereka tidak fikir untuk menggali lombong Al Fatihah, satu kekuatan untuk mendapat syurga atau neraka. Manusia akan masuk neraka mengikut kadar dia melihat Al Fatihah itu. Seorang yang inginkan syurga Allah maka kuasailah Fatihah itu.
Menyentuh tentang hari yang 7 pula, rupanya Allah jadikan hari-hari itu tidak sama. Seorang boleh menguasai harinya dengan baik apabila dia menguasai kekuatan Fatihah.
Tip-tip untuk semua
Friday, June 4, 2010
2. Kuliah Al Fatihah : Muqaddimah II - [Tujuh Ayat]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment