//

Friday, June 4, 2010

5. Kuliah Al-Fatihah: Ayat Pertama - Bismillahirrahmaanirrahiim 2/3

Tip-tip untuk semua

SOALAN:
Nampaknya untuk membuatkan hati manusia sampai dapat dimanfaatkan, itu bukanlah satu kerja yang mudah.
Dalam pendidikan sekular, orang mengasah akal untuk sampai dapat dimanfaatkan, itu juga bukan mudah.
Ternyata, hati itu adalah simpulan yang kalau kita tidak pandai membuka simpulan itu menyebabkan hati itu buta. Butanya hati itu menyebabkan manusia tidak nampak sebesar-besar perkara.


Apakah program untuk membuka semula hati yang tertutup?

JAWAPAN:
Dalam ajaran Islam, Rasulullah SAW sudah ingatkan,"awaludin ma'rifatullah". Mula-mula sekali dalam Islam itu ialah mengenal Allah iaitu dari kecil atau dari tadika -taman didikan kanak-kanak [kindergarten]

Itu asas untuk menggerakkan hati dan mencelikkan hati. Kalau hendak celikkan hati, mesti diketuk dengan Tuhan. Sila ambil perhatian.

Kalau diketuk dengan harta, maka nafsu yang akan celik.

Asas mencelikkan hati ialah kenalkan Tuhan dari tadika. Kalau dari tadika sudah selalu hatinya terhubung dengan Tuhan, bila dewasa, ia sudah mudah. Sudah ada asas.

Bila tidak ada asas, setelah berusia 30 tahun baru sedar maka bukan senang. Tapaknya sudah lama terlajak. Hati sudah terbiar. Sekarang baru hendak kenal Tuhan. Sistem inilah yang tidak berlaku.

Orang sekarang yang diajar adalah atas dasar ilmu, ajar sepintas lalu, Tuhan tidak dikenalkan, maka roh tidak tercanai.Hendak beragama anak-anak lebih banyak diajar tentang syariat sedangkan Tuhan belum dikenalkan.

Kita ada bermacam-macam programmer untuk menjayakan pelbagai projek, tetapi sayang tidak ada programmer hati sehingga hati tidak diprogramkan untuk hidup. Kita harap ia hidup sendiri sedangkan hatilah yang paling susah untuk dihidupkan. Macam hendak dapat sagu, kena tebang rumbia, kena pecahkan ruyung. Ini ruyung tidak dipecahkan tetapi kita harap dapatkan sagunya.

Kesimpulan: Kerana Bismillah adalah sebahagian dari Al Fatihah, hakikatnya dari Bismillah itu Allah hendak menghadiahkan kita sebesar-besar hadiah. Kalau kita faham ini, kita tidak akan pernah terputus hati dengan Allah. Kunci keselamatan dunia dan akhirat iaitu Al Fatihah yang di dalamnya ada Bismillah, inilah kemuncak kebesaran yang diperolehi dari Bismillah itu.

Didalam Bismillah itu ada Allah yang Maha Baik, yang sangat mencintai kita dan dari sana kita akan dapat mengenal diri bahawa kita rupanya hamba yang amat memerlukan Tuhan setiap detik. Bila itu berlaku, manusia mendapat kebahagiaan yang sebenarnya, rahmat dan berkat.

Yang sebenarnya Allah hendak beri istana yang besar iaitu Al Fatihah yang pintunya adalah Bismillah.

Ibu bapa mengalami ketandusan kasih sayang dari anak-anak walhal dia sangat melimpahkan kasih sayangnya kepada mereka, kenapa? Kerana mereka itu tidak menunaikan satu daripada tanggungjawab iaitu memahamkan bahawa Tuhan itu adalah sebesar-besar kasih sayang.

Ibu bapa berikan anak-anak nasi setiap hari, mengapa anak-anak tidak diberi iman pun setiap hari?
"Orang yang mendidik anaknya dengan Tuhan, roh akan hidup tetapi orang yang mendidik anak dengan wang, rohnya akan mati."

Satu pengkhianatan besar oleh ibu bapa bilamana mendidik anaknya dengan wang. Sedangkan mendidik dengan Tuhan itu adalah ketepatan untuk menghidupkan roh dan kemanusiaan anak itu. Secara tak sedar kita sebagai ibu bapalah yang membunuh kemanusiaan anak kita sendiri.



Tip-tip untuk semua

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software