Tip-tip untuk semua
PETIKAN : Sebab itu kalau kita baca sejarah, orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah seperti salji yang turun. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.Bottom of Form
-----------------------------------------
Bismillahirrahmanirrahim.
Anak-anak yang dikasihi sekelian...
Kita sudah memperkatakan muqaddimah Ummul Kitab. Belum memperkatakan isinya. Baru menyentuh yang luar-luar. Kalau ibarat istana, kita belum tahu apa yang di dalamnya dan secantik mana ia. Kita baru lihat dari luar. Lihat dinding luar@pagar istana itu pun sudah terasa keindahannya. Kalau kita masuk istana, tentu lebih puluhan kali keindahannya. Marilah kita lihat lagi ke dalam ummul kitab yang merupakan seluruh intipati isi Al Quran dan sunnah, demi untuk keselamatan manusia dunia dan akhirat.
Ummul Kitab atau pun Al Fatihah itu, bagi siapa yang mengamalkannya akan mendapat kemenangan. Ia bukan sahaja surah pembuka Al Quran tetapi pengertian sebenarnya ialah surah kemenangan. Dengan maksud, kalau diamalkan, ia adalah penentu, pembawa kemenangan. Ia bukan surah pertama diturunkan tetapi isinya kalau difahami, dihayati, diamalkan dalam kehidupan dan perjuangan, maka ia boleh membawa kemenangan.
Al Fatihah dimulai dengan Bismillah...iaitu dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Di sini Tuhan sebut namaNya, yang mana Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini adalah sifat Tuhan yang termasuk Asmaul Husna yang 99. Ertinya sifat-sifat Tuhan yang disebut dalam Asmaul Husna, yang ada dalam Quran dan Hadis, itu semua merupakan satu pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah. Daripada keseluruhan itu, yang merupakan 1 pakej, yang Tuhan tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga. Ertinya kebesaran Tuhan dan keagungan Tuhan tidak ada kesudahan tetapi Tuhan hanya sebutkan 99.Anehnya kerana daripada 99 sifat Tuhan itu, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan Rahim Nya.
Sebab itu Hadis ada menyebut, “Setiap perkara-perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillah maka terputuslah berkatnya..'
Tuhan tidak pilih sifat-sifatnya yang lain. Contoh: Bismillahi Jabbar, Bismillahi Sobur atau Bismillahi Syakur. Mengapa Rahman dan Rahim yang dipilih? Bismi itu bukan sifat. Rahman dan Rahim itu sifat Allah. Allah itu dikatakan Ismu jalalah, nama yang Maha Agung. Nama bagi satu Zat yang dikatakan Dia lah Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi. Yang dipopularkan, dimasyhurkan dan dipopularkan ialah dua sifat Nya iaitu Rahman dan Rahim .
Mengapa Tuhan tonjolkan 2 sifat ini dan tidak yang lain?
Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:
1.Kalau kita prihatin, memang 2 sifat inilah yang tertonjol. Katalah As Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahhar boleh dilihat sekali sekala seperti gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh (!). Sekali sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah Nya. Tetapi Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik tertonjol tetapi aneh kita tidak prihatin!.
Sebab itu kalau kita baca sejarah, orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah macam salji yang turun.
Yang terkesan ialah sifatnya yang sekali sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran, sebulan orang perbualkan padahal beberapa tahun sekali ia berlaku. Ajaib sekali.Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku. Patutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan itu sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik ia berlaku. Buktinya, ia berlaku dari kita bangun tidur sejak pagi. Sedar-sedar sahaja kita boleh bernafas.“Hidup lagi aku... Sayangnya Tuhan dengan aku. Dengan nafas itulah aku boleh hidup.” Kita hidup itu adalah dari kurnia Rahman dan Rahim Tuhan.
Bila kita pergi bilik air, itu Rahman dan Rahim Tuhan. “Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku.”
Masuk bilik air, ada air lagi untuk mandi. Kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu , bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit itu dahsyat. Kena air, ¾ sakit hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Mandi, bernafas dalam bilik air. Lepas itu kita boleh sembahyang dengan Rahman dan Rahim Tuhan juga. Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik.
Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan.Kalaulah Tuhan jerluskan, bukankah dahsyat. Boleh berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah, “Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan.”
Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti di lambak-lambak dengan nikmat Tuhan,Kalau dia bukan seorang pemimpin manusia, perasaan yang dirasa untuk dirinya sahaja maka dia akan mabuk [sakr] dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang dipakai.Dia seperti orang gila kerana tidak tahan dengan Rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin dia sudah mabuk. Kalau sudah mabuk, sudah tidak boleh memimpin orang ramai.
Tetapi biasanya pemimpin-pemimpin itu Tuhan kawal perasaannya supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang mabuk.Sebab itu kalau kita lihat ahli sufi yang bukan memimpin, ramai yang aneh-aneh. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab dia perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.
Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjat dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia jika dia bukan pemimpin manusia. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, mereka hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Melihat muka mereka pun terasa terhubung hati kita dengan Tuhan. Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia jadi semacam mabuk bersendirian.
Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya prihatin, memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang di padang pasir, didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, begitu sekali pun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahi rahmanir rahim. Namun kita buat tidak tahu dan kita tidak rasa…
Padahal saya sebut tadi, dari bangun tidur, di bilik air, depan rumah, belum jauh pun kita melangkah, begitu banyak nikmat Tuhan. Jadi munasabahlah Tuhan suruh menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang tertonjol. Tetapi sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati sudah terlalu lalai. Kalau orang bukan Islam, kita tidak hairan. Ini orang yang masih solat, puasa dan naik haji pun tidak rasa. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja.
Ini samalah dengan contohnya: Mungkin kita ada kawan, orang kaya yang pemurah. Dia ajak kita bersiar-siar sekali sekala. Dia memberi kita pakaian, memberi kita hadiah untuk dibawa balik kepada anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita round2 dengan keretanya. Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita mula bercakap, “Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.”
Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, kita tidak pernah rasa ibu ayah sayangkan kita. Malah berfikir pula,”Sayang kah ibu aku ni?Jangan-jangan benci.”
Kita boleh terikat hati dengan orang luar padahal sekali sekala sahaja orang buat baik pada kita. Itu pun dia kata dia sudah sayang dengan orang itu. Padahal ibu ayahnya hari-hari berbuat baik padanya, menanggung makan dan minum, tidak terasa olehnya ibu dan ayahnya sayang.
Ini samalah dengan apa yang orang buat pada Tuhan. Tuhan Pemurah dengan mereka, setiap detik dan setiap saat tetapi tidak pernah pula disebut. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.
Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita bukan yang belanja sebulan sekali. Tetapi yang tidak logik itulah berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.
Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita berkata, “Apalah Tuhan ni!!”. Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji tetapi tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan hendak hidupkan hati susah sekali padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari. Jadi Tuhan suruh baca Bismillah kerana Tuhan hendak isytiharkan 2 sifat ini yang menonjol. Sifat yang lain hanya berlaku sekali sekala untuk kesedaran, untuk insafkan manusia.
2. Hikmah kedua: Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, rohaniah, jangan lupa baca Bismillah. Supaya lahir cinta terhadap Tuhan.
Apa rahsianya?
Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita baca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan. Faedahnya bukan untuk Tuhan.
Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan cinta sesama manusia. Untungnya sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan.
Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan. Kalau yang diluar pun kita tidak sedar, yang mata boleh lihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat. Kerana manusia ini, walaupun dia sembahyang tetapi hatinya sudah buta. Kalau Tuhan tidak ingatkan dengan Bismillah, teruslah buta hati kita
Walau sudah diingat-ingatkan pun tidak sedar. Macam anak kita yang setiap hari duduk di rumah, kita beri pakaian, pergi sekolah beri duit belanja, beri buku, tetapi tidak pernah dia rasa ibu dia sayang. Orang yang sekali belanja dia, dia kata,”Macammana saya tidak sayang dia sebab dia belanja.” Padahal orang itu belanja sebulan sekali. Sedangkan ibu dia setiap hari belanja, dia tidak sayang, manalah hati tidak menangis. Itu adalah kerana kita juga iaitu ibu dan ayah tidak pun jatuh hati dengan Tuhan maka Tuhan balakan...maka anak kita pun tidak dapat rasa kasih sayang kita. Itu antara anak , ibu, ayah dan orang luar. Yang kita pula, antara manusia dengan Tuhan. Pemberian manusia kita rasa tetapi pemberian Tuhan kita tidak rasa. Kita sama dengan anak kita.
Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak fikir macam mana hendak balas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat sebagai kesyukuran kepada Tuhan. Jadi patutlah Tuhan suruh kita baca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia cinta Tuhan.Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia.Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan.
Selama ini kita belajar Bismillah,”Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut sunnah ya.” Setakat itu sahaja. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya cinta kita sesama manusia.
Tip-tip untuk semua
Friday, June 4, 2010
3. Kuliah: Al-Fatihah: Ayat Pertama – Bismillahirrahmaanirrahiim ½
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment