Tip-tip untuk semua
Setelah kita hurai Bismillah, bahas dan nilai, barulah terasa munasabah selepas itu kita puji Tuhan. Yakni selepas bismillah, alhamdulillah...
Setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan, setelah kita sudah terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan, setelah kita terasa kita ini hambaNya yang patut merendah diri pada Nya, sebab pada Tuhan ada segalanya, yang mana pada Dia lah keselamatan kita, setelah kita rasa patut kita cintai dan takut denganNya.
Maka barulah rasa sedap hendak sebut alhamdulillah itu. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah. Kalau tidak, kita sebut alhamdulillah, kita tidak rasa apa-apa.
Tamsilnya ibarat kita kenal seseorang A yang dia itu orang yang baik dan membantu, tentu kita akan cerita dengan orang lain iaitu B yang tidak tahu sangat hal A itu. Kita puji A itu baik sebab kita yang memujinya terasa dan tahu A itu suka menolong dan suka memberi. B yang kita ceritakan padanya tentang kebaikan A tadi, mungkin percaya atas dasar kita puji. B mungkin tidak terasa apa-apa sebab itu bukan pengalaman dia. Sekadar dia baik sangka sahaja terhadap A.
Begitulah selama ini kita puji Tuhan tidak terasa apa-apa. Kadang-kadang alhamdulillah jadi wirid pula Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, baik sangka, merasakan ia perkataan baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.
Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Berbeza sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.
Sama ada yang mata boleh melihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Maka dalam keadaan itu, bila dia puji Tuhan, dia sangat terasa, sangat terhibur, sangat bahagia, sangat terbangun perasaannya. Orang yang begitu bila puji Tuhan, terutama bila dijadikan zikir, sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia sebab ada satu rasa yang tidak boleh hendak digambarkan.
Sebab dia puji Zat yang Maha berkuasa, yang sudah memperlihatkan pada dirinya, rahmat dan nikmat Tuhan itu. Seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat Tuhan itu macam salji turun. Maka indahlah bila dia sebut alhamdulillah.
Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak terasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, dia baca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan syahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa. Maka patut sekali Tuhan letakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahi rahmanir rahim. Kalau kita faham Bismillah itu seperti yang disyarahkan, maka kita pun cakap Alhamdulillah... ia akan jadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti. Kalau tidak, kita tidak akan rasa apa-apa. Maha Besar Tuhan.
Mari pula kita terokai isi atau intipati alhamdulillah. sama ada yang bersifat mata, akliah atau rohaniah. 'Segala puji bagi Tuhan'. Apakah 'puji' itu?
Erti Puji: Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (kalau orang) atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.
Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, kalau kita kata Alhamdulillah, maka bagaimanakan segala puji bagi Tuhan itu berdasarkan takrif tadi?
Bagaimanakan untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu? baiknya Tuhan, hebatnya Tuhan, maha kuasanya Tuhan, pemurahnya Tuhan dan maha agungnya Tuhan. Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu. Kalau Tuhan izinkan, katalah kita boleh hidup sejuta tahun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis.
Mengapa? Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas.
Kalau Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak cukup kerana ia tidak ada kesudahan. Maha besar Nya Tuhan.
Patutlah selepas Bismillah, ialah alhamdulillah sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh buat.Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan Nya, tidak akan ada stop.
Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian Alhamdulillah.
Memuji Tuhan ini ada 3 peringkat :
1.Memuji dengan yang ada hubungan dengan Zatnya
2.Memuji dengan yang ada hubungan dengan sifat-sifat Nya
3.Memuji atas rahmat dan nikmat Nya
Jadi memuji Tuhan itu adakalanya berhubung dengan Zat Nya, adakala berhubung dengan sifat-sifat Nya dan adakala atas rahmat dan nikmat Nya. rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan, yang ada yang bersifat mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.
1.Contoh kita memuji Tuhan atas di atas Zat Nya:
"Wahai Tuhan, Engkau yang maha kekal. Wahai Tuhan, Engkau maha esa. Wahai Tuhan, Engkau tidak perlukan ruang. Wahai Tuhan, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baru. Ya Tuhan maha suci Engkau dari mengambil tempat, berada dalam masa dunia dan akhirat".
2..Contoh pujian kita ke atas Tuhan berkait dengan sifat-sifat Nya: "Engkau Maha pengasih, Maha penyayang. Engkau maha pengampun. Engkau maha lembut. Engkau maha qahhar (keras) dan jabbar. Engkau maha bersykur, Engkau maha lemah lembut. Engkau maha agung, Engkau maha tinggi, Engkau maha pemarah (Tuhan memang layak)" Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.
3.Memuji Tuhan di atas pemurah dan penyayang Nya:
"Pemurahnya Engkau Tuhan, Engkau beri aku makan, beri aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat akli). Terima kasih Tuhan kerana kenalkan Diri Mu padaku. Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan aku (itu nikmat dan rahmat). Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak, pakaian, kesihatan, beri pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."
Jadi memuji Tuhan itu, yang semuanya layak untuk Tuhan, adakalanya pada Zat Nya, adakala pada sifat-sifatNya, adakala pada nikmat dan rahmat Nya.
Pembahagian pujian itu pula ada 5 iaitu:
1.Puji Tuhan pada diri Nya.
Tuhan memuji diri. Ini banyak terdapat dalam Al Quran dan Hadis.
Contohnya:
"Aku Tuhan, sembahlah Aku."
"Tidak ada Tuhan selain Aku."
"Aku adalah qahhar."
"Aku jabbar."
"Aku pengasih dan penyayang."
Dia memuji diri Nya. Ada Hadis mengatakan, "Aku kasih pada hamba Ku, lebih dari seorang ibu mengasihi anaknya."
Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri Nya?
Sebab Tuhan memang layak. Lagi pun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau dia hendak puji diri Nya, siapa yang hendak hukum Dia. Kalau kita hendak puji diri sendiri, nanti ada yang lebih atas yang akan tegur sebab ada orang yang lebih layak. Kalau Tuhan puji diri Nya, Dia pun memang tiada tandingan.Sebab itu ada amalan-amalan khusus kerana kita tidak mampu untuk puji Tuhan maka kita berkata, "Aku puji Engkau Tuhan sebanyak mana Engkau puji diri Engkau sendiri. Anggaplah ini juga pujianku untuk Mu". Ini termasuk rahmat Tuhan. Ini cara short cut sebab kita pun tak larat hendak puji Tuhan. Tuhan boleh terima, kan ini tidak boleh masuk akal. Secara logik mana boleh kongsi tetapi itulah yang disebut rahmat Tuhan itu luas. Dengan Tuhan tidak payahlah ikut prosedur yang logik-logik macam kepercayaan sesetengah golongan.
2. Pujian Tuhan pada hamba Nya:
Contohnya:
"Aku suka pada orang yang bertaubat."
"Aku suka orang yang bertaqwa"
"Aku suka orang yang pemurah"
"Aku suka orang yang buat dosa dan kemudian bertaubat atas dosanya"
"Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosanya daripada tasbih para aulia"
3.Pujian seorang hamba pada Tuhannya.
Itu mudah kita faham. Selemah-lemah kita, kita mesti ada puji Tuhan.
4.Puji hamba kepada hamba.
Contohnya: A kata B ini pandai dan sabar. Tetapi elok memuji dibelakangnya, takut dia tak tahan hendak bawa. Sebab puji di depan itu macam letak kayu balak di bahu. Ada ke orang yang boleh pikul kayu balak 10 ton atas bahunya?
Pujian dibolehkan kerana hakikatnya dia puji Tuhan. (Barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia, hakikatnya dia tidak bersyukur pada Tuhan). Kalau kita puji manusia, hakikatnya kita puji Tuhan. Sebab orang itu dapat nikmat dari Tuhan. Nikmat itu bukan hakiki
5.Pujian seseorang atas dirinya sendiri.
Itu tidak boleh kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Tetapi itu kena berhati-hati.
Contohnya: Nabi-nabi terpaksa puji dirinya. Macam Rasulullah SAW kata, ,"Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan." Kalau Rasulullah tidak sebut, umat akan terkeliru. Jangan ada orang yang anggap, ada orang yang lebih takut pada Tuhan dari Rasul. Dia ceritakan nikmat Tuhan pada dirinya bukan kerana megah tetapi kena berhati-hati. Takut berbunga di dalam hati.
Rasulullah mengatakan,"Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Sebab menyebut huruf dhad itu susah. Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan seperti oleh Rasul setelah diilhamkan.
Selepas sebut Bismillah, baru seronok hendak katakan alhamdulillah, iaitu segala puji hanya layak bagi Tuhan. Yang lain tidak layak dipuji. Itulah huraian dan tafsirannya bagi yang dikatakan "Segala puji hanya layak bagi Tuhan” itu.
Tip-tip untuk semua
Friday, June 4, 2010
6. Kuliah Al Fatihah: Ayat Ke Dua - Alhamdulillah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment