//

Tuesday, April 28, 2009

AWET MUDA

RUGILAH mereka yang tidak suka makan ulam dan sayur-sayuran. Amalan memakan sebiji timun sehari sebenarnya boleh membantu seseorang itu kekal sihat, segar dan paling penting, awet muda.

Rugi juga kepada mereka yang tidak pandai menjaga emosi, cepat marah dan mudah berasa tertekan akibat bebanan kerja, kerana semua faktor ini akan membuatkan seseorang itu kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya.

Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Namun hari ini, ramai mengalami proses penuaan sebelum waktunya, menyebabkan mereka sanggup berbelanja mahal bagi mendapatkan produk untuk awet muda.

Menurut Penasihat AGIF Anti Aging Clinical Centre, Dr Kogelen Govindasamy, proses penuaan dipengaruhi dua faktor; dalaman dan luaran. Faktor dalaman ini termasuk masalah kesihatan dan emosi.

Katanya, seseorang individu akan kelihatan lebih cepat tua jika mengalami masalah kesihatan, iaitu fisiologi tubuh terganggu akibat ketidakcekapan organ penting seperti jantung, hati, buah pinggang dan pankreas. Malah, gangguan pada sistem peredaran darah, kelenjar perembes hormon, paru-paru dan otak juga akan mempercepatkan proses penuaan kerana setiap organ perlu berfungsi pada kecekapan 99 peratus untuk memastikan seseorang itu kekal sihat dan menjalani proses penuaan normal.

Ini bermakna individu yang menghidapi penyakit sebenarnya mengalami proses penuaan lebih cepat berbanding orang sihat.

“Badan manusia mempunyai 100 trilion sel dan setiap hari kira-kira sejuta sel mati dan ia perlu diganti. Pada kanak-kanak, sejuta sel yang mati ini akan diganti dengan sejuta sel baru, tetapi bagi orang dewasa berumur 20 tahun ke atas, hanya 60,000 atau 60 peratus sel diganti.

“Sebaik mencecah umur 20 tahun, semua orang akan menjalani proses penuaan. Proses ini berlaku dengan cepat apabila meningkat umur 40 tahun dan bagi yang mengalami masalah kesihatan, penggantian sel mungkin berlaku kurang 10 peratus, menjadikan seseorang itu lebih cepat tua,” katanya.

Manakala masalah emosi seperti gangguan psikologi (disebabkan kehilangan orang disayangi, perceraian dan putus cinta) dan tekanan kerja juga boleh menyebabkan kemerosotan keremajaan sel.

Malah, kajian menunjukkan suri rumah sepenuh masa menghadapi tekanan lebih besar berbanding yang ada pekerjaan tetap. Bagi wanita bekerja, ketiadaan pembantu rumah dan perlu menjalankan semua tugas rumah tangga sendirian menyebabkan mereka mengalami tekanan dua kali ganda berbanding suri rumah sepenuh masa.

Masalah penuaan mendadak dan cepat di kalangan wanita menjadikan produk awet muda laris di seluruh dunia.

Dr Kogelen berkata, walaupun kajian itu dijalankan di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi wanita Asia, terutama di negara membangun, turut merasai kesan sama.

* Faktor luaran seperti pencemaran alam sekitar, khususnya pencemaran udara (karbon monoksida) mempercepatkan proses penuaan normal.

* Masalah ini lebih serius di negara membangun yang giat menjalankan industri pemprosesan petroleum, pekilangan dan kenderaan.

* Karbon monoksida boleh merosakkan sel otak, sel tisu lembut dan organ penting seperti hati. Ia juga mengganggu perembesan Hormon Tumbesaran Manusia (HGH) yang penting dalam proses penggantian sel.

* Kedua-dua faktor (dalaman dan luaran) ini sebenarnya boleh dikawal dengan amalan pemakanan yang tepat, seperti mengambil makanan kaya omega-3 dan asid amino perlu daripada susu soya serta rumpai laut.

* Elak menggunakan bahan mengandungi HGH haiwan kerana ia akan mendatangkan kesan sampingan bebanan nitrogen kepada hati dan buah pinggang. Bebanan nitrogen ini akan membunuh sel otak dan menjejaskan fungsi tisu lembut yang berfungsi menapis toksin serta seluruh fungsi badan. Ketika ini, keracunan dalam badan akan berlaku, walaupun memakan makanan berkhasiat,” katanya.

* Antara langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penuaan mendadak adalah menghindarkan makanan mengandungi asid lemak tepu (periksa label kandungannya tidak melebihi lima peratus), mengurangkan pengambilan garam dan gula.

* Elak mengambil makanan dijeruk (sayur atau buah), berproses (sosej, frankfurter, burger dan naget), makanan segera yang digoreng dalam minyak penuh, ubat mengandungi steroid pada jangka masa panjang dan barang penjagaan kulit yang banyak bahan kimia.

* Jangan sapu pewangi badan terus kepada kulit, sama ada di ketiak atau pelipat siku. Kajian menunjukkan 30 peratus pesakit barah payu dara disebabkan menyapu bahan itu pada ketiak,” katanya..

* Amalkan memakan sayur separuh masak yang dibasuh bersih, serat larut air seperti oats, bijirin dan kekacang; menggunakan minyak masak mengandungi omega-3, 6 dan 9; beras tinggi kandungan serat serta sayur-sayuran merah yang banyak karoten, contohnya lobak, lada benggala, cili dan tomato. Ia penting untuk menggalakkan peredaran HGH dalam badan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software