//

Monday, April 27, 2009

Penjagaan Jantung

Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalarn tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dari awal diberikan kepada jantung.

Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.

Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang. Bagaimanakah caranya?

Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.

Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.

Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan. Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.

Kawalan berat badan

Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.

Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.

Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.

Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.

Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.

Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam

Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung.

Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.

Perubahan gaya hidup

Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah. Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software