//

Friday, October 2, 2009

MACAM-MACAM JENIS GILA

Tip-tip untuk semua

G
ila ada bermacam-macam jenis.
Apabila gila sudah tentu tidak normal lagi kehidupannya
Ia jadi ekstrim dan melampau....
di luar pertimbangan akal sedar.
Kerana gila hidup sudah tidak seimbang

Ada gila harta, ada gila betina, ada gila ilmu, ada gila main, ada gila burung, ada gila ikan
Gila harta masa banyak dihabiskan untuk mencari harta.
Lupa rehat, lupa makan kecuali terpaksa seperti letih dan sakit yang bersangatan.
Gila harta tidak fikir halal atau haram asalkan boleh sahaja teruskan.
Siang malam fikir harta, kurang duduk di rumah hingga isteri pun kurang diminati.

Gila betina di dalam hidupnya fikir betina, tidak fikir yang halal atau haram.
Pantang lihat perempuan matanya tajam.
Mata keranjang itu adalah budayanya, hilang malu, hilang maruahnya.
Sudah ada isteri tidak juga puas, cari makan di luar rumah pula.
Duit dicari adalah kerana perempuan atau betina.
Duduk di rumah jarang ada suka berfoya-foya di luar rumahnya.
Kahwin cerai, kahwin cerai perkara biasa atau jadi budayanya.

Gila ilmu juga banyak terbuang masa.
Habis masa dengan ilmu, asyik belajar, asyik membaca....
kerja-kerja lain kurang diminatinya kecuali terpaksa.
Dia jadi ulat buku, tidur juga dengan buku.
Adakalanya tidur dengan buku lebih banyak daripada tidur dengan isterinya.
Isteri sering sakit hati kepadanya...
Duit habis membeli buku sahaja.
Isteri sampai cemburu dengan buku suaminya.
Tetamu datang pun layan tidak layan sahaja seolah-olah mengganggunya.
Orang berkawan dengannya pun menjadi jemu.

Gila main juga banyak membuang masa.
Kalau dia tidak bermain suka tengok orang bermain.
Macam-macam mainan yang dia suka terutama bola sepak yang popular.
Kadang-kadang isteri pun sakit hati dibuatnya.
Seolah-olah dia tidak dipeduli oleh suami kerana mainan hobinya.
Kerana mainan sanggup bermasam-masam muka dengan isterinya.

Ada orang gilanya dengan burung.
Berbagai-bagai jenis burung dibelanya.
Di keliling rumah penuh dengan sangkar burung jadi hiasan rumahnya.
Pantang ada masa lapang dan terluang dia ambil kesempatan memikat burung.
Lupa rehat, lupa makan, isteri pun kurang dia minat.

Ada pula orang yang gila ikan.
Suka membela ikan berbagai-bagai jenisnya.
dia sanggup beli ikan dengan harga yang mahal.
Dia rasa puas melihat, rasa terhibur dengan ikan-ikannya.
Selain membela suka pula memancing ikan.
Masa banyak dihabiskannya dengan memancing ikan di laut, di sungai atau di lombong.
Adakalanya berhari-hari memancing ikan dengan seronoknya.
Isteri di rumah selalu bimbang, bahkan selalu sahaja tinggal keseorangan.
Jika isteri menegurnya marah dan meradang.
Akibatnya rumahtangga selalu tegang.

Yang akhir sekali saya hendak ceritakan gilakan Tuhan.
Gilakan Tuhan pun hilang pertimbangan, hidup tidak normal tapi ia digemari Tuhan.
Hatinya rasa bertuhan jarang lekang.
Maklumlah orang bercinta takut.. dan cinta berlaku seimbang.
Takut kerana dikhuatiri cintanya kepada Tuhan tidak dibalas.
Mabuk dengan ibadah kerana takutkan Tuhan dan cintakan Tuhan melalui sembahyang.
Sebelum masuk waktu sudah menunggu-nunggu cinta agungnya iaitu Tuhan.
Sibuk berwirid dan berzikir dengan berbagai-bagai jenis zikir kerana mabukkan Tuhan.
Sebelum sembahyang, selepas sembahyang, menjelang tidur bersama Tuhan tidak lekang.
Setengah orang yang tidak faham dikatakan dia orang tidak siuman.
Bermalam-malam memanglah masanya dia melepaskan rindu dendamnya dengan Tuhan untuk dia dicintai dan diredhai Tuhan.
Di waktu malamlah air matanya selalu berlinang mengingatkan dirinya...kalau terbuat salah, Tuhan tidak sayang.
Aduh dia bimbang, dia kesal kalau-kalau Tuhan tidak terima dan tidak redha dengannya.
Ke mana dia pergi hatinya kembara bersama Tuhannya, berkelana bersama Tuhannya, bermusafir dengan cinta agungnya.

Apa sahaja yang dia lihat dia lihat Tuhannya dengan mata hatinya.
Hatinya selalu sahaja terhubung dengan Tuhannya kerana takut atau cinta Tuhannya.
Bahkan sering sahaja berkhidmat dengan hamba-hamba Tuhan kerana cintakan Tuhan.
Hartanya habis dikorbankan untuk manusia kerana cintakan Tuhannya.

Orang hairan, orang rasa pelik kerana berlainan dengan orang kebanyakan.
Hatinya sentiasa sibuk dengan Tuhan hingga hilang pertimbangan.
Memang begitu orang bercinta dia tidak peduli orang...
tidak peduli apa orang kata yang penting Tuhannya.

Yang dipedulikannya ialah cintanya tidak lekang di dalam ingatannya.
Hatinya banyak masa dengan Tuhannya, sekalipun fiziknya bersama manusia.
Di akhir zaman ini majoriti orang cintakan dunia bukan cintakan Tuhan,
jarang ada orang cintakan Tuhan.
Cinta harta, cinta betina, cinta ilmu, cinta mainan, cinta burung dan ikan tidak jadi masalah.

Yang menjadi masalah adalah cintakan Tuhan.
Cintakan dunia tadi orang tidak mengata, cintakan Tuhan orang mengata dan menghina.
Cintakan dunia orang tidak hairan, cintakan Tuhan orang hairan.

Begitulah watak dunia akhir zaman
Cintakan Tuhan sudah jadi DAGANG


Tip-tip untuk semua

1 comment:

  1. Allahurabbi, bila la nak gila kat tuhan...insyAllah, tgh usaha =)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software