//

Friday, May 1, 2009

Khasiat Rosel - Hibiscus sabdariffa



Rosel banyak terdapat di kawasan yang beriklim tropika dan subtropika seperti di Afrika, India dan Asia termasuk Malaysia. Kini terdapat lebih dari 300 spesies tanaman rosel di seluruh dunia. Pokok ini boleh mencapai ketinggian lebih kurang 2 m dengan dahannya yang tumbuh menegak di peringkat awal dan melentur rebah apabila banyak buah. Batang, dahan serta tangkainya berwarna merah. Daunnya pula berwarna hijau dan berbentuk tapak tangan dengan tiga cuping yang meruncing ke hujung. Bunga rosel keluar di setiap sendi daun, berwarna kuning muda dan merah jambu manakala lengainya berwarna merah gelap dan berbentuk bujur.

Roselle bunga yang enak dimakan

Hibiscus rosasinensis ialah bunga raya yang menjadi kebanggaan rakyat sebagai bunga kebangsaan negara. Tahukah anda ada satu lagi spesies bunga raya yang boleh kita ketengahkan kerana kegunaannya sebagai makanan. Spesies bunga raya yang dimaksudkan ialah Hibiscus sabdariffa L. atau lebih dikenali dengan nama roselle. Tumbuhan roselle dikatakan berasal dari India tetapi ada juga yang mengatakan ia berasal dari Afrika Barat. Tumbuhan ini mula diperkenalkan di Malaysia sejak lebih tiga kurun yang lampau. Beberapa jenis roselle yang tumbuh secara liar di beberapa negeri dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti asam paya, asam kumbang dan asam susur. Di West Indies ia dinamakan Jamaican Sorrel. Pokok roselle boleh tumbuh daripada biji benih atau keratan dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 3–5 m serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun.

Bunga roselle berwarna cerah, salut bunga atau kaliksnya berwarna merah gelap dan lebih tebal jika dibandingkan dengan bunga raya biasa. Bahagian bunga roselle yang boleh diproses menjadi makanan ialah salut bunganya (kaliks) yang mempunyai rasa yang amat masam. Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis hasilan makanan seperti minuman, halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle. Tahukah anda daun dan batang muda roselle boleh dimakan sebagai ulam atau salad dan boleh juga digunakan sebagai perisa di dalam kuah kari? Sementara itu di Afrika, biji roselle dimakan kerana dikatakan mengandungi minyak tertentu. Di Sudan, roselle diproses menjadi minuman tradisional yang dinamakan Karkadeh dan merupakan minuman kebangsaan orang Sudan.

Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis hasilan seperti minuman, halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle

Potensi Roselle

Kajian awal MARDI pada tahun tujuh puluhan lebih menekankan pada penghasilan pewarna asli daripada roselle. Potensi roselle dalam menghasilkan pewarna merah begitu terserlah kerana dengan hanya memegang bunga ini, warna merah akan melekat di tangan. Kemudian pada tahun lapan puluhan penyelidikan berkembang kepada kajian penggunaan roselle dalam pengeluaran sirap minuman. Berdasarkan minat serta perhatian yang diberikan kepada industri makanan sejak awal tahun sembilan puluhan, roselle dijangka mempunyai potensi untuk dimajukan dalam mempelbagaikan penghasilan makanan di negara ini.
Tahukah anda daun dan batang muda roselle boleh dimakan sebagai ulam atau salad dan boleh juga digunakan sebagai perisa di dalam kuah kari?


Khasiat dan Kegunaan Rosel


Kaliks atau kelopak buah rosel yang berwarna merah kaya dengan vitamin A dan C serta zat mineral. Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda. Kaliksnya boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan. Pemprosesan biji rosel boleh dijadikan bahan kosmetik sementara kulitnya pula boleh dibuat tali

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Protected by Copyscape Web Plagiarism Software